Kalau duduk asrama tapi perangai tak nakal baik duduk kat rumah je. Ini fakta sahih yang aku dengar dari mulut seorang kutu yang selalu kena panggil ke bilik warden. Jadi malam-malam di asrama adalah malam yang paling heaven di alam semesta bagi seorang remaja belasan tahun macam aku.
Aku seperti biasa akan mendengar dan turut sama melabon bersama geng-geng yang lain. Biasanya cerita tentang awek kelas Awam 2, siapa gengster blok KL, apa projek hujung minggu dan kenapa sedap sangat murtabak telur dewan makan menjadi bualan hangat kami.
Tapi malam tu aku tengok tetiba ada kucing dalam dorm. Entah siapa punya kerja agaknya yang bela kucing kat dalam dorm ni. Jadi aku pun ajukan soalan pada semua yang di dalam dorm tersebut.
"Ni sape pulak yang bawak naik kucing ni? Ke kucing ni sesat?"
"Aku bawak naik tadi, saje nak bela kucing. Maklumlah,aku kan suka kucing."
Itu jawapan Joni. Ya, beliau memang sukakan kucing dan ada membela kucing di rumahnya (mengikut kata beliau). Aku berpuas hati dengan jawapan Joni memandangkan dorm ni bukan dorm aku, tapi dorm Joni.
"Jangan sampai dia berak merata dah la Joni. Memang kau la yang kena cuci"
Kata-kata tegas seorang kutu di dalam dorm membuatkan Joni tersengih sambil memberi jaminan bahawa kucing belaan beliau itu takkan berak merata, hasil penat lelah latihan yang telah diberikan.
Dah penat melabon sampai nak ke pukul 1 pagi, masing-masing pun dah mengantuk. Kucing yang ada dalam dorm tadi aku dah tak nampak. Pergi berjalan-jalan agaknya, fikir aku. Aku pun mengambil keputusan ke toilet untuk kencing, basuh kaki, touch up rambut dan juga menghisap rokok. Setelah selesai segalanya, aku menuju semula ke dorm Joni untuk menumpang tidur di sana. Dari luar aku nampak dorm dah bergelap, tanda lampu sudah ditutup.
Aku pun terus ke katil dan mencapai sekeping tilam. Trend bentang tilam atas lantai untuk tidur beramai-ramai memang tengah top masa tu. Boleh merapatkan hubungan silatulrahim sesama mukmin. Jadi aku pun humban tilam yang aku pegang tadi ke lantai.
Lepas setting kedudukan tilam bawah kipas, aku pun terus landing dengan gaya terjun tiruk separa terlentang. Elok je kaki aku cecah ke tilam, aku terasa kat kaki aku ada benda ketul-ketul tak berapa besar, tak berapa cair dan basah. Terus aku melompat bangun pergi ke suis lampu untuk tengok apa sebenarnya benda kat kaki aku.
Celaka.
.....
Malam tu juga, Joni menghantar pulang kucing yang dibela oleh beliau tak sampai 24 jam keluar dari asrama.
YOU ARE READING
Cerpen : Himpunan Cerita Pendek
Short StoryTulisan dari blog yang dihimpunkan ke sini. Dan juga tulisan yang ditulis bagi mengisi masa lapang. Mengandungi kisah yang direka dan juga kisah benar yang diolah semula mengikut kehendak nafsu penulis.