Ada sesuatu yang bermain di fikiran aku pada waktu ini. Kau. Ya, kau yang bermain di fikiran aku pada ketika ini. Tiba-tiba aku teringatkan kisah kau dan aku. Kisah kita pada suatu masa dahulu. Masa kita yang walaupun singkat, tapi bagi aku penuh dengan kemanisan. Walaupun sebenarnya pengakhirannya sangat pahit.
Mungkin, jalan hidup kita berbeza. Jalan cerita kita telah ditetapkan oleh Tuhan sedemikian rupa. Namun aku bersyukur kerana setidak-tidaknya kau muncul sebagai penyeri dalam perjalanan hidupku walaupun untuk seketika sahaja. Ada orang berkata, kadangkala kita dipertemukan oleh Tuhan dengan seseorang mungkin cuma sebagai watak sampingan dalam kisah hidup kita. Kerana hidup ini sebenarnya umpama satu perjalanan. Boleh jadi perjalanan itu panjang ataupun singkat. Dan dalam perjalanan tersebut, akan muncul beberapa watak yang akan melengkapkan kisah perjalanan hidup kita.
Walaupun cerita kita singkat, namun aku bersyukur kerana dipertemukan dengan kau. Sekurang-kurangnya, aku orang pertama yang bawa kau naik ke atas bukit untuk menikmati kerlipan cahaya lampu yang menerangi Kuala Lumpur kan?
"Babi, apahal sendu sangat mamat ni? Celaka betul, mat sendu rupanya. Lahanat punya mangkuk!"
Maki Ghafar tanpa tolak ansur, sementara itu Ahmad Rosli gelak terbahak-bahak sambil berguling atas lantai beralaskan tikar getah. Mat Piah pula tergeleng-geleng kepalanya sambil menghirup kopi o panas yang masih lagi berkepul-kepul wapnya.
YOU ARE READING
Cerpen : Himpunan Cerita Pendek
ContoTulisan dari blog yang dihimpunkan ke sini. Dan juga tulisan yang ditulis bagi mengisi masa lapang. Mengandungi kisah yang direka dan juga kisah benar yang diolah semula mengikut kehendak nafsu penulis.