Kisah Cinta Mat Gig

956 24 6
                                    

Muzik bingit memenuhi ruang sempit itu. Kelihatan Jerry termengah-mengah kepenatan dek kerana seronok sangat di dalam moshpit. Malam ni ramai anak muda (dan bapak budak) yang memenuhi ruang sempit ini. Maklumlah, band lagenda Buttermilk kembali beraksi setelah entah berapa tahun berhibernasi. Jerry memang peminat tegar Buttermilk sejak dari zaman persekolahan lagi. Jadi apabila dia mendapat tahu band kesayangannya akan membuat kemunculan semula bersama line-up asal, Jerry dapat rasakan bahawa dunia seakan kembali berputar ke beberapa tahun yang lepas. Semasa dia masih lagi muda, bergetah dan bertenaga.

Jerry mengambil nafas di suatu sudut yang agak jauh dari pentas persembahan. Kelihatan di atas pentas sebuah band yang dianggotai oleh sekumpulan makwe sedang beraksi. Maka ramailah para jejaka miang dan kesunyian yang memenuhi barisan hadapan pentas. Jarang sekali kita nampak situasi begini apabila masuknya waktu solat fardu Subuh di masjid atau surau berhampiran. Jerry hanya tersenyum sambil sesekali kepalanya diangguk-angguk tanda dia boleh masuk dengan muzik yang dibawakan oleh band makwe-makwe itu. Pandai organizer susun band yang akan buat persembahan. Band yang dibarisi oleh makwe-makwe ini bermain sebagai band penutup persembahan selepas Buttermilk. Maknanya, walaupun selepas Buttermilk selesai beraksi namun ruang kecil itu masih lagi penuh.

Jerry mengeluarkan sekotak rokok John yang hampir lunyai. Dibakar olehnya sebatang rokok yang seakan sudah tiada rupa sebagai rokok. Jerry menghembuskan asap rokok dengan puas. Namun fokusnya terhadap sesi menghisap rokok sedikit terganggu dengan suatu pemandangan indah di hadapan. Di hadapan matanya berdiri seorang makwe yang sempoi cara pemakaiannya sedang asyik melayan alunan muzik yang dimainkan. Jerry merasakan seperti ada sesuatu yang bergetar di rusuk kirinya. "Mungkin inilah bakal zaujah yang dicari-cari aku selama ini" bisik hati kecil Jerry.

Jerry rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk dia menamatkan zaman forever alonenya. Sudah hampir 2 tahun rasanya sejak dia putus dengan Atiqah. Atiqah merupakan makwe yang paling lama bertahan dengan dia. Itu pun ada dalam 6 bulan. Paling singkat masa bercinta dengan Juraimah, 8 hari je bertahan. Tapi dia bercinta dengan Juraimah ni masa sekolah dulu. Kiranya kisah bercinta dengan Juraimah ni terjadi sebelum kisah bercinta dengan Atiqah. Tapi Jerry tak pernah menyalahkan takdir. Jauh sekali dia nak meroyan setiap hari dekat Twitter. Bagi dia, dah tiada jodoh nak buat macam mana. Namun kali ni, jauh di sudut kecil hatinya kuat mengatakan bahawa makwe di hadapan mata dia sekarang merupakan makwe yang dicari-cari selama ini. Nak tak nak dia kena berani mengambil langkah untuk berkenalan. Kalau tak, mahu menyesal sampai ke raya haji tahun depan.

Jerry ni senang cerita ada rupa. Muka hensem, badan tak gemuk, tak kurus sangat. Senang kata badan sedap-sedap mata memandang. Orangnya berukuran tinggi yang jenis jadi kesukaan para makwe. Senyuman pun manis, tambah pula ada tahi lalat atas bibir. Memang senanglah hati para makwe cair bila kena ayat. Tapi Jerry bukan kaki perempuan. Dia jenis yang setia punya orang. Kau cantik macam mana pun, kalau time tu dia dah ada makwe memang takkan nak dilayannya kau. Tapi yang peliknya, senang sangat dia ni putus cinta. Mungkin ada sikap yang ada pada dia yang bekas makwe-makwe dia tak berkenan. Atau boleh jadi juga bekas makwe-makwe dia yang ada peel tak semenggah sampaikan si Jerry ni naik menyampah.

Okay, berbalik kepada situasi Jerry tadi. Setelah selesai menghabiskan rokok, Jerry berjalan perlahan menuju ke arah makwe tadi. Setiap langkah diatur dengan kemas. Namun setiap kali kaki melangkah, makin pantas degupan jantungnya terasa. Bukan calang-calang makwe yang boleh buat Jerry jadi sampai macam ni. Sedar tak sedar, Jerry dah berdiri di sebelah makwe tu. Macam biasalah, Jerry acah-acah melayan band kat depan padahal dia tengah memikirkan macam mana nak memulakan perbualan dengan makwe tu.

"Errr, sedap lagu band ni. Apa nama band ni ek? Awak macam tau je lagu diorang?" Tanya Jerry setelah diyakini inilah masa yang sesuai.

"Ohh, band ni? Nama band ni Apple. Diorang ni dari Ampang." Jawab makwe kat sebelah. Manja suara dia.

"Apple ek? Tak pernah dengar la pulak. Kiranya memang awak follow band ni dari dulu ke macam mana?"

"Ye, saya follow diorang dari awal diorang start lagi. Kira lagu diorang ni sesuai la dengan saya. Catchy sound diorang ni," makwe tadi menambah.

Jerry tersenyum. Sekurang-kurangnya makwe ni tak sombong. Jenis peramah juga, tak macam makwe acah-acah kaki clubbing.

"By the way, saya Jerry. Awak?" Tanya Jerry dengan lebih selesa.

"Ohh, saya Julia." Jawab Julia sambil tersenyum. Manis sungguh senyuman Julia. Terasa bagaikan di awangan setelah memandang wajah dan senyuman manis Julia.

"Datang sini dengan siapa? Takkan sorang je?" Kali ni soalan Jerry lebih berani.

"Ehh, takdelah. Saya datang dengan boyfriend saya. Tadi katanya nak ke toilet kejap." Lagi sekali Julia jawab dengan senyuman.

Namun bagi Jerry kali ini senyuman Julia dirasakan tak berapa manis. Terasa bagaikan ditusuk sembilu bisa setelah mendengar jawapan Julia. Lantas tak semena-mena Jerry mengeluarkan handphone dan seolah-olah membaca sesuatu.

"Nice to meet you, Julia. Sorry sebab kacau, saya pun nak keluar ni sebab member saya tengah tunggu kat luar tu. Enjoy okay?" Ucap Jerry dalam kepayahan. Julia hanya mengangguk sambil tersenyum.

Tanpa menoleh ke belakang, Jerry berjalan menuju ke arah pintu. Terasa bagaikan berat sungguh kaki Jerry melangkah. Sayup-sayup kedengaran burung berkicauan riang, berterbangan bebas serta bersilih ganti dengan deruan ombak memukul pantai. Sehingga tiba-tiba, hanya bunyi cengkerik sahaja yang kedengaran.

Krik krik krik.

Cerpen : Himpunan Cerita Pendek Where stories live. Discover now