Peluh jantan menitik perlahan dari dahi Karim. Manakala Kulop Stopa kelihatan tenang menyedut asap Surya. Karim tahu, Kulop Stopa tenang sebab dia dah biasa buat perkara maksiat ni. Sebab tu dia boleh setenang James Bond. Tiga orang rakan yang lain sedang mengelamun entah ke mana. Walaupun masing-masing berstatus kutu berahak namun ini bukan kerja yang biasa mereka lakukan. Boleh jadi dalam hati masing-masing sedang berdebar hebat. Kulop Stopa hanya tersengih apabila menyedari rakan-rakannya senyap tanpa berkata-kata.
"Oiii, apahal senyap macam kenduri orang mati je ni? Rilek la, buat macam biasa dah la. Hahahaha!!" Berterabur gelak Kulop Stopa, memecah suasana sunyi.
"Kamu tu dah biasa kat sini, memang la takde rasa apa-apa Kulop oiii," balas Karim. Sambil itu matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling.
"Hahahahahahahaha!!" Lagi sekali Kulop Stopa gelak tanpa ada rasa kasihan sambil sesekali tangannya melibas langau yang berterbangan di depan wajahnya.
Tauke cina tadi sudah hilang dari pandangan mata mereka berlima di sebalik tirai yang menutup pintu. Kulop Stopa tersengih memandang rakan-rakan yang lain. Baginya, sebentar lagi dia dan rakan-rakan akan mengalami satu pengalaman yang menyeronokkan. Penat berdiri, Kulop Stopa duduk di atas kerusi sambil diikut oleh Karim yang sudah kelihatan letih kakinya.
"Kulop, kiranya kamu selalu la ye datang ke sini? Apa seronok sangat ke aktiviti kat sini?" Tanya Karim sekadar menginginkan kepastian.
Tanpa menjawab sepatah pun Kulop Stopa cuma menunjukkan isyarat bagus. Itupun sudah cukup meyakinkan buat Karim. Manakala Wan Berahim yang cuma memerhatikan mereka berdua sejak dari tadi mengeluarkan sebatang rokok yang diselit di telinganya lantas membakarnya.
"Joe, aku sebenarnya ada sikit rasa tak sedap hati la. Kau tak rasa ke?" Ada sedikit riak kegusaran di wajah Ajak Rock.
"Alah, takde mende la. Kamu janganlah fikir yang bukan-bukan Jak. Aku dah lama pegang petua ni. Kalau nak buat benda jahat, kita jangan sesekali fikir benda yang tak patut," balas Joe Rabak menyedapkan hati kawannya itu.
Setelah 5 minit hilang daripada radar, tauke cina tersebut muncul semula di hadapan mereka. Dia memberi isyarat agar mereka berlima mengikutnya masuk di sebalik tirai yang menutupi pintu itu. Kulop Stopa bangun menuju ke arah pintu, diikut oleh 4 orang rakannya.
"Kejap lagi korang boleh pilih ayam mana yang korang berkenan tau? Jangan malu-malu, pilih je mana yang sedap mata memandang," terang Kulop Stopa.
Akhirnya apa yang dinantikan oleh mereka berlima muncul di hadapan mata. Kulop Stopa yang sudah biasa dengan situasi itu nampak tenang dan bersahaja. Manakala Karim, Wan Berahim, Ajak Rock dan Joe Rabak tercengang memerhatikan sekumpulan ayam di hadapan mereka. Langsung tak berkelip mata mereka. Mungkin terkejut agaknya.
"Haaa, tunggu apa lagi? Lu olang boleh pilih mana ayam yang lu olang suka. Cepat pilih, boleh cepat start." Tauke cina memberi arahan ringkas.
Namun mereka berempat masih lagi kaku di tempat berdiri masing-masing. Apa yang ada di depan mereka ternyata amat mengejutkan. Seinci pun mereka tidak berganjak, apatah lagi bersuara. Tiba-tiba Karim bergegas keluar dari tempat itu, diikuti oleh Wan Berahim, Ajak Rock dan Joe Rabak. Kulop Stopa pula terjerit-jerit dari dalam memanggil rakan-rakannya masuk kembali namun tidak diendahkan oleh mereka.
"Binatang punya Kulop Stopa! Mati-mati aku ingat dia ajak kita main ayam yang itu, rupanya dia ajak kita berlaga ayam!" Joe Rabak menyumpah Kulop Stopa tanpa belas kasihan. Wan Berahim dan Ajak Rock tidak terkecuali menyumpah di dalam bahasa Inggeris dengan lancar sekali. Tidak mereka sangka begini pengakhirannya.
Karim pula kelihatan sedikit kecewa kerana fantasi nakalnya tidak menjadi kenyataan malam itu. Perlahan-lahan dibuang bungkusan tissue magic yang dipegang olehnya sejak dari tadi lagi.
YOU ARE READING
Cerpen : Himpunan Cerita Pendek
Historia CortaTulisan dari blog yang dihimpunkan ke sini. Dan juga tulisan yang ditulis bagi mengisi masa lapang. Mengandungi kisah yang direka dan juga kisah benar yang diolah semula mengikut kehendak nafsu penulis.