Cinta

3K 24 3
                                    

"Atas dasar apa perhubungan yang kita sedang jalinkan ini, Mansor?" Sufiah bertanya, sambil redup matanya memandang anak sungai yang mengalir jernih.

"Sudah tentulah atas dasar cinta, Piah. Takkan itu pun kau tak tahu?" Jawab Mansor tenang.

"Cinta? Cinta apa Mansor? Kalau perut aku ni dah berisi? Kau nak bertanggungjawab ke Mansor? Cuba kau jawab soalan aku ni," pinta Sufiah perlahan.

"Sudah tentu Piah. Aku akan bertanggungjawab. Aku janji akan menikahi kau tak lama lagi. Buat masa sekarang, aku sedang berbincang elok-elok dengan keluarga aku. Cuma, aku rahsiakan tentang kehamilan kau itu. Percayalah Piah, aku akan bertanggungjawab ke atas anak dalam kandungan itu," tutur kata Mansor lembut, menyenangkan hati Sufiah.

Sufiah cuma tersenyum. Harapan dia agar Mansor menjadi lelaki yang bertanggungjawab, tidak seperti lelaki yang berhati binatang. Walaupun Mansor cuma bekerja di kebun kelapa sawit, namun dia pasti Mansor akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik andai mereka bernikah suatu hari nanti.

"Marilah Piah, kita pulang sekarang. Lagipun sudah mahu senja, nanti apa kata orang kampung pula kalau ternampak kita di sini. Maklumlah, mulut makcik makcik di sini puaka sungguh," ajak Mansor. Sufiah hanya mengangguk dan bangun lantas berjalan ke arah basikal miliknya yang disandarkan pada sepohon pokok. Apabila Sufiah berpaling, Mansor sudah tidak kelihatan lagi.

Sufiah mengayuh santai. Tiada apa yang hendak dikejarkan olehnya petang itu. Sambil itu, dia terkenangkan janji yang Mansor ucapkan. Tiba-tiba menitis air mata Sufiah. Sufiah memberhentikan kayuhannya dan menangis teresak-esak di atas basikalnya. Sufiah tahu, Mansor akan menepati janji yang dibuat. Cuma Sufiah tidak tahu, bahawa Mansor akan pergi meninggalkan dia buat selamanya selepas mengucapkan janji itu. Sufiah tidak mahu salahkan Mansor, ajal maut di tangan Tuhan. Cuma Sufiah kesal, Mansor tidak dapat hidup lebih lama untuk melihat anak mereka lahir ke dunia ini. Sudah 4 bulan Mansor pergi meninggalkannya. Sufiah tahu dia tidak akan dapat meneruskan hidup selepas Mansor tiada. Apa yang akan jadi pada dirinya? Pada anak di dalam kandungannya? Sufiah risau andai dia menjadi mangsa bualan orang kampung. Kasihan ibu bapanya. Kasihan adik beradiknya. Kasihan anak yang dikandungnya. Terpaksa menanggung kesan akibat keterlanjurannya yang lalu.

Hari ini, Sufiah nekad. Sufiah tahu akan akibat perbuatannya. Tapi Sufiah tidak tahan menanggung seorang diri. Sufiah mengelap air mata di pipi, dan meneruskan kayuhan. Sampai sahaja di jambatan hujung kampung, Sufiah memberhentikan basikalnya. Sufiah turun dan menuju ke tepi jambatan. Dia cuma mampu memerhatikan air sungai keruh yang mengalir deras itu. Bayangan wajah Mansor dan ahli keluarganya bermain di fikiran.

Dan dengan memejamkan matanya, Sufiah terjun ke dalam sungai yang keruh itu. Lalu dibiarkan dirinya ditenggelami air dan hanyut di bawa entah ke mana-mana.

Cerpen : Himpunan Cerita Pendek Where stories live. Discover now