Dalam kepekatan malam, kelihatan sekumpulan anak muda sedang menunggang motosikal dengan riang ria hati mereka. Karim, Kulop Stopa, Wan Berahim, Ajak Rock dan Joe Rabak menuju ke tempat yang ingin dituju. Dalam kepala otak masing-masing, terbayang keseronokan yang bakal mereka tempuhi. Keseronokan yang bersifat nakal sebenarnya. Biasalah kalau dah nama pun budak muda, macam tak biasa nak buat benda nakal ye tak? Kalau skema sangat, pergi join Belia 4B lepas tu buat aktiviti yang skema. Kan ke tak seronok kalau macam tu?
Perjalanan yang mengambil masa selama 10 minit itu ternyata penuh dengan gurau senda oleh mereka berlima. Habis sepanjang jalan tu huru hara dengan suara malaon-malaon yang tak reti nak melekat kat rumah masing-masing. Pantang ada benda yang boleh digelak, habis berderai ketawa masing-masing. Sesekali kelihatan macam sudah hilang pedoman. Maklumlah, kalau berkonvoi macam ni memang seronok. Cuba kalau seorang diri, takdenya nak gelak. Agaknya sepanjang perjalanan tekun menghadap jalan sambil di dalam hati membaca surah surah pendek.
Akhirnya, tiba jua mereka ke tempat yang dituju. Senyum kian melebar di pipi mereka. Yang paling lebar tak lain tak bukan Ajak Rock, sebab mulut dia lebar tak patut. Ada orang kata bila dia tarik lagu Awie memang tak ada masalah langsung, sebab tu la dia digelar Ajak Rock oleh rakan sekampung. Tapi kadang-kadang dia layan juga lagu kumpulan nasyid In-Team. Semuanya gara-gara nak mengorat Saleha anak Lebai Majid.
Setelah berlegar-legar di kawasan sekitar, barulah mereka bertemu dengan port yang sesuai untuk parking motor masing-masing. Nak parking motor pun kucar kacir. Biasanya kalau time parking punyalah masing-masing ambik masa yang lama, siap nak solex bagai. Tapi kali ni tidak. Nak kunci segala bagai memerlukan masa yang lama, dan mereka sama sekali tidak mahu membuang masa melakukan perkara seperti itu. Setelah berpuas hati, mereka semua menuju ke sebuah kawasan ala-ala setinggan tapi sebenarnya bukannya setinggan. Kawasan yang penuh dengan kontena, kemungkinan besar juga ini merupakan kawasan penempatan pekerja warga asing di kampung itu.
"Kamu ni biar betul Kulop, takkan tempat macam ni ada ayam?" Tanya Karim seakan tidak percaya.
"Iya Karim, baru minggu lepas aku ke sini untuk main ayam. Kamu ni takkan la tak percaya dengan aku," seakan kecil hati nada Kulop Stopa.
"Alah, kita cakap macam tu pun dia nak ambik hati pulak. Kamu tu dah tua Kulop oiiiii." Karim menjawab sambil tangannya mengelap peluh yang tak henti-henti mengalir.
"Hahaha, aku memain je la. Haaa, ok kita dah sampai. Nanti pandai-pandai kamu la nak pilih ayam yang mana ye?" Kata Kulop Stopa.
Maka, tersenyum rianglah mereka semua yang berada di situ. Kalau diikutkan balik, ini merupakan kali pertama Karim bermain ayam. Sebelum ini dia tak pernah mencuba, maklumlah kata orang main ayam itu berdosa. Karim pula jenis manusia yang menjaga nama baik keluarga, jadi memang dia tak pernah nak main ayam sebelum ni. Tapi dek kerana terlampau bosan, Karim terjebak juga dengan projek main ayam malam ni. Takpelah, sesekali apa salahnya, bisik hati kecil Karim.
YOU ARE READING
Cerpen : Himpunan Cerita Pendek
Short StoryTulisan dari blog yang dihimpunkan ke sini. Dan juga tulisan yang ditulis bagi mengisi masa lapang. Mengandungi kisah yang direka dan juga kisah benar yang diolah semula mengikut kehendak nafsu penulis.