Jiwa Luka

463 16 4
                                    

Menitis air mata jantan Sufian kala menonton drama bersiri Goblin episod 13. Bagi Sufian, dia dapat merasakan betapa sedih dan pilunya hati Eun Tak di saat Goblin meninggalkan dia untuk ke alam yang lain. Sudahlah yatim piatu, bila sedang bahagia di alam percintaan datang pula ujian yang sebegitu dahsyat.

"Kuat sungguh dugaan yang melanda dirimu, wahai Eun Tak," bisik hati kecil Sufian.

Setelah habis menonton, Sufian duduk termenung sambil merenung ke luar jendela. Emosinya sedikit terganggu pada hari ini. Hilang segala mood kegembiraannya. Nak makan pun dah tak lalu. Makwe dia Whatsapp pun Sufian buat tak tahu. Biarlah hari ini dia menyelami peritnya perasaan Eun Tak setelah kehilangan kekasih yang disayangi.

Mustafa pulang ke bilik petang itu setelah selesai menghabiskan assignment di perpustakaan. Penat dalam memerah otak tak usah dikatakan lagi. Mahu saja dia menjerit di tepi telinga pensyarahnya, tapi apakan daya dia tak berani nak buat perkara yang tak masuk akal itu. Mustafa pelik apabila melihat Sufian hanya duduk diam sambil termenung menghadap tingkap. Kebiasaannya pada waktu begini Sufian lebih suka menghadap telefon bimbit tapi tidak pada hari ini. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada rakan sebiliknya itu.

"Pian, apasal kau senyap je ni? Pulak tu dok termenung tu dah kenapa?" Soal Mustafa yang prihatin.

"Aku tengah sedih ni Mus," balas Sufian pendek.

"Ah sudah, Suzila mintak clash ke Pian? Kau dah bincang elok-elok ke dengan dia?"

Cepat-cepat Sufian menggelengkan kepala. Apa ke situ pula Mustafa ni. Hubungan dia dan Suzila masih lagi baik dan bertahan sehingga kini.

"Bukanlah Mus, aku sedih bila Eun Tak terpaksa berpisah dengan Goblin. Habis meraung dia tadi masa Goblin ucap selamat tinggal, terkesan kat jiwa romantis aku ni Mus." Sufian menjelaskan dengan tersekat-sekat tutur katanya.

Mustafa cuma menggeleng-geleng kepalanya. Mahu saja dilempang muka teman sebiliknya itu. Namun ternyata dia masih lagi mempunyai kesabaran yang tinggi.

"Kau ni kang kalau aku dah lempang muka tu baru kau tau. Pergi ambik wuduk cepat, bawak bawak la solat Asar. Orang lain pun layan drama Korea jugak, tapi takdelah jadi macam kau ni," kata Mustafa yang tiba-tiba sedang memegang watak sebagai ustaz segera.

"Alah kau ni, aku nak layan perasaan sikit pun tak boleh. Dok membebel macam pak lebai kenapa entah," ada sedikit rajuk dalam nada Sufian.

Mustafa cuma buat endah tak endah dan tetap menyuruh Sufian untuk segera melaksanakan tanggungjawabnya pada Yang Maha Esa. Nak tak nak Sufian terpaksa mengalah sambil berlalu ke bilik mandi.

.....

Malam itu, terdengar sayup-sayup esakan dari katil Mustafa. Habis bergetar badannya menahan tangisan. Mujurlah Sufian tengah sedap dibuai mimpi.

"Betullah kata Pian, lain macam betul sedihnya episod 13 ni," bisik hati kecil Mustafa.

Cerpen : Himpunan Cerita Pendek Where stories live. Discover now