Mak

949 39 12
                                    

"Relaks la brooo, awal lagi kot nak balik."

Aku cuma tersenyum memandang wajah Fahmi yang sedang memujuk aku untuk terus duduk di atas kerusi plastik mamak Hameed Maju. Nak tak nak aku kena gerak sekarang, sebab esok aku kena bangun pagi sebab ada urusan nak kena selesaikan.

"Tak boleh Mi, esok pagi aku ada hal nak kena setel. Malam esok kalau takde apa-apa hal boleh la kalau nak melepak sampai pukul 4 pagi. Aku balik dulu tau?"

Fahmi hanya mengangguk sambil tersengih. Aku meletakkan beberapa keping not RM di atas meja dan mengangkat punggung dari kerusi plastik mamak Hameed Maju dan bersalaman dengan Fahmi. Oleh kerana mamak Hameed Maju letaknya hanya beberapa langkah dari rumah aku, maka aku cuma berjalan kaki sahaja. Cuma cuaca malam ni lain macam dia punya sejuk, nak kata malam Lailatulqadar mustahil pula sebab puasa pun belum lagi. Mungkin malam ni Tuhan nak bagi peluang pada aku untuk rasa suasana malam yang sejuk, maklumlah sejak dua tiga hari ni selalu sangat aku mengeluh kepanasan sampaikan susah nak tidur. Malam ni aku gerenti, tidur aku pasti akan nyenyak sekali.

...

Shit! Aku rasa macam dah lambat ni. Sepatutnya aku bangun jam 7.30 pagi, tapi mungkin kerana terlampau sedap tidur aku bangun lewat sejam dari waktu yang aku jangkakan. Kelam kabut aku bersiap pagi ni. Kebetulan pula hari ini hari Jumaat. Ada beberapa tempat yang perlu aku tuju hari ini. Tapi yang paling utama aku tak boleh lupakan satu tempat ni. Yang ni wajib aku pergi, kalau boleh memang aku tak pernah miss untuk pergi setiap hari. Lagi-lagi pada tarikh yang agak istimewa macam hari ni. Sebab tu sambil mandi sambil tu aku menyumpah diri sendiri sebab tak dengar bunyi alarm yang dah aku set sebelum tidur malam tadi. Tak memasal aku jadi agak kelam kabut pagi ni.

...

"Mak, Ajak mintak maaf mak. Pagi ni Ajak lambat sikit sebab Ajak bangun lambat. Kalau Ajak masih lagi tinggal dengan mak, mesti mak dah membebel kat Ajak kan? Yelah, mak kan tak suka Ajak bangun lewat. Mak selalu pesan, jangan bangun lewat nanti rezeki payah nak masuk. Tapi tu la, pagi ni Ajak lewat sebab Ajak tak dengar langsung bunyi alarm. Ajak mintak maaf ye mak?"

Aku tunduk, tak berani langsung nak angkat muka masa tu.

"Hari ni hari special, sebab tu la Ajak rasa ralat sangat sebab Ajak terlewat. Selamat hari lahir, mak. Ajak sayang sangat kat mak. Mak, Ajak rindu dengan mak. Kadang-kadang, waktu makan Ajak teringat dekat mak. Teringat dengan lauk kegemaran Ajak yang selalu sangat mak masakkan. Mana ada orang lain yang boleh masak ayam masak lemak sama macam mak. Ayam masak lemak mak sorang je yang Ajak boleh makan sampai bertambah nasi 2 ke 3 pinggan. Kalau makan kat kedai? Huh, jangan haraplah mak."

Suasana sekeliling sepi. Mungkin mak marahkan aku. Atau mungkin tidak?

"Mak, sekarang Ajak dah tak kerja. Ajak baru je berhenti kerja semalam. Tempat kerja lama Ajak tu tak best la mak, orang kat situ semua pandang macam Ajak ni tak betul. Terpaksalah Ajak cari kerja lain lepas ni. Kalau tak, siapa nak bayar bil elektrik air kat rumah tu kan? Tapi tunggu dululah, buat masa sekarang Ajak malas nak fikir pasal kerja. Tapi kan mak, Ajak boringlah duduk rumah tu sorang-sorang. Kalau boleh Ajak nak duduk dengan mak macam dulu. Boleh jugak Ajak teman mak duduk menjahit depan tv. Sambil tu boleh sembang-sembang macam dulu. Ajak tak tidur pun takpelah, asalkan dapat temankan mak menjahit."

Aku terdiam. Lalu aku menarik nafas dalam-dalam sebelum kembali menyambung.

"Mak, Ajak nak bagitau, hari tu Nora cakap dia tak jadi kahwin dengan Ajak. Dia kata dia dah tak tahan dengan Ajak. Dia rasa dia tak boleh nak hidup dengan Ajak. Kata Nora, macam mana nak kahwin kalau Ajak selalu sangat berhenti kerja. Lepas tu kan mak, sampai hati dia kata Ajak gila, mak. Tapi apa Ajak peduli, asalkan Ajak ada mak pun dah cukup. Pergi matilah dengan Nora tu, Ajak tak kisah pun tak dapat kahwin dengan perempuan macam tu. Dia tak pernah faham Ajak agaknya, dia tak macam mak langsung. Memang elok pun kalau Ajak tak kahwin dengan dia."

Aku pandang ke langit. Awan mendung menandakan kemungkinan besar hujan akan turun sebentar lagi. Nampaknya, cuaca pun dengki dengan aku. Kalau boleh aku nak duduk lama-lama kat sini dengan mak, tapi kalau dah hujan nak tak nak aku kena balik juga.

"Mak, nampaknya Ajak tak boleh lama hari ni. Langit dah mendung, kejap lagi mesti hari nak hujan. Nasib baiklah Ajak sempat datang jumpa mak pagi ni. Esok pagi Ajak datang lagi ok? Esok harap-harap cuaca cantik sepanjang hari, bolehlah Ajak temankan mak lama sikit kan? Lagipun, sekarang kan Ajak dah tak kerja jadi bolehlah Ajak datang temankan mak setiap hari kan? Mak, ajak balik dulu tau? Ajak rindu sangat dengan mak. Kalau boleh, setiap kali bangun pagi Ajak nak tengok muka mak macam dulu. Nak cium tangan mak, cium pipi mak sebelum keluar rumah. Bila Ajak balik rumah letih-letih, tengok muka mak je rasa letih tu terus hilang. Tak macam sekarang, hari-hari Ajak rasakan hidup Ajak kosong sangat. Tapi takpelah, Ajak akan terus kuat demi mak. Selagi Ajak hidup, selagi tu Ajak akan cuba kuat untuk mak. Mak, selamat hari lahir mak. Ajak sayang mak sangat-sangat."

Aku cium batu nisan yang tertulis nama mak. Hari ini hari lahir mak yang ke 65. Kalau mak masih hidup, sudah tentu aku akan jadikan hari ini hari yang paling istimewa untuk dia sampaikan dia tak boleh lupa langsung.

Dengan perlahan-lahan, aku melangkah kaki tinggalkan mak untuk hari ini. Esok awal-awal pagi, aku akan datang temankan mak lagi. Aku tak nak lewat macam hari ni. Aku janji!

Cerpen : Himpunan Cerita Pendek Where stories live. Discover now