Masa

1.6K 22 0
                                    

Jam dinding di dinding itu kelihatan usang. Walaupun begitu, ia masih tetap lagi berfungsi dengan baik - sebagai penunjuk masa. Kita sedia maklum bahawa masa itu emas, walaupun masa itu fizikalnya tidak kelihatan dan berbeza dengan emas namun tetap kita bersetuju bahawa sesungguhnya masa itu emas. Ini ajaran dari orang tua-tua. Jadi haruslah kita ikuti tanpa perlu banyak soal.

Berbalik kepada masa, aku sedang menunggu menghabiskan masa di kedai kopi Cina ini sejak dari tadi lagi. Kemungkinan juga aku sudah duduk di sini selama 1 jam, memandangkan punggungku sudah mula berasa kebas dan tidak selesa. Kopi di dalam cawan sudah hampir kosong. Sisa-sisa roti bakar kelihatan di atas piring berwarna merah. Aku capai sebatang kretek dan membakar dengan penuh berhati-hati. Aroma tembakau dan cengkih menghiasi ruang udara di sekitar hidungku. Asapnya tebal, dan berbau lebih busuk berbanding rokok jenama biasa. Jarang-jarang aku lihat anak muda di zaman ini menghisap kretek di kedai kopi hipster, mungkin malu tidak mahu dicop sebagai orang kampung. Tapi aku peduli apa. Ini selera aku. Aku punya sukalah.

Aku angkat tangan memanggil seorang perempuan Cina muda yang bergetah tubuhnya. Aku ingin memesan secawan lagi kopi pekat. Mengikut pengalaman aku, paduan kopi pekat bersama sebatang kretek akan membangkitkan rasa berahi dan indah yang tak mampu ditewaskan oleh mana-mana pil dadah sintetik. Itu apa yang aku rasalah. Kalau kau tak sependapat dengan aku, aku peduli apa sebab aku tak pernah paksa kau untuk bersetuju dengan pendapat aku.

Perempuan Cina muda datang hampir dengan secawan kopi pekat yang masih lagi berasap. Aku hirup perlahan-lahan. Tidak mahu terlalu gopoh, kerana khuatir keasyikkannya akan hilang begitu saja. Aku pejamkan mata. Ahhhh, terasa nikmat menyusuri tubuhku yang gedempol ini. Kretek yang menyala tadi aku sedut dan hembuskan asapnya. Ahhhh, lagi sekali aku berada di dalam keadaan yang penuh nikmat. Asyik dalam duniaku sendiri. Tanpa perlu sesiapa pun menemani.

Ah, bercakap tentang menemani. Asalnya aku berjanji dengan seseorang untuk bertemu di sini. Tapi sudah 1 jam berlalu namun batang tubuhnya masih belum kelihatan. Apakah dia lupa? Apakah dia sibuk? Apakah dia sudah mati semasa dalam perjalanan ke sini? Aku sendiri tidak tahu. Yang aku tahu, dia tidak menepati masa. Tidak menghormati bahawa sesungguhnya masa itu emas.

Aku tinggalkan 4 helai not berwarna biru muda dan bangkit dari kerusi yang aku duduki sejak dari tadi. Aku mahu pulang ke rumah dan berak kerana sejak 15 minit yang lalu perut aku mulai buat hal. Sudahlah kena menunggu, rasa ingin berak ini benar-benar membuatkan diriku hilang sabar.

"Ahh, pergi mati sama dia."

Cerpen : Himpunan Cerita Pendek Where stories live. Discover now