KELUHAN demi keluhan dia helakan. Memikirkan bagaimana rupa tunangannya sungguh membebankan. Itu belum pening memikirkan andai tunangannya 'over size'. Adakah makanan yang ada di restoran di mana dia mahu membawa tunagannya yang 'over size' itu cukup untuk menampung mengisi perutnya?
Tapi, pilihan apa yang dia ada? Suka atau tak, dia perlu berhadapan dengan tunangnya.
Dia yang sudah siap terus membelek-belek wajahnya di hadapan cermin. Dia bersyukur, selepas tiga minggu, jambangnya yang sebelum ini dicukur bersih kini kembali panjang seperti sebelum ini. Barulah dia berkeyakinan untuk berhadapan dengan khalayak.
Memandangkan butiknya bakal melancarkan koleksi terbaru bulan hadapan dengan konsep hipster, hari ini dengan rasminya dia mengayakan konsep itu dalam pemakaiannya. Bezanya dia lebih memilih konsep vintage hipster untuk dirinya berbanding konsep hipster untuk koleksi butiknya yang lebih untuk golongan remaja dan 20-an.
Telefon pintarnya dia atas meja bercermin besar di hadapannya tiba-tiba berbunyi. Pantas telefon canggihnya dicapai. Panggilan dari mamanya. Dia mengeluh berat.
"Assalamualaikum mama," jawab Saffarin, lemah.
"Waalaikumussalam. Kamu dekat mana ni? Dah dengan Hani?" terus dua soalan mamanya ajukan.
"Ma, Farin masih dekat rumahlah. Kan Farin dah cakap tadi, Farin berjanji dengan dia tengah hari. Farin tengah bersiap ni."
"Dah pukul sebelas kamu tak siap lagi? Kenapa lambat sangat? Kamu janji dengan Hani pukul berapa?"
"Pukul dua belas. Ala, bukannya jauh pun kondo Farin ni dengan Kampung Pandan tu."
"Memanglah tak jauh, tapi kita ni dekat KL, bukan dekat kampung nenek kamu. Tak fasal-fasal jalan sesak, merajuk pulak dia nanti sebab tunggu kamu lama sangat."
"Tak adanya nak merajuk. Ni, kalau mama asyik call Farin aje, macam mana Farin nak bersiap cepat?" perli Saffarin.
"Amboi, perli mama. Mama cuma nak ingatkan kamu aje. Manalah tahu kamu buat-buat terlupa. Kamu tu bukan betul sangat. Suka mereka alasan."
"Isy mama ni, tak percaya Farin pulak. Farin dah siap ni. Tinggal pakai perfume lepas tu geraklah."
"Ha, yalah. Kamu ada dapat tak alamat yang mama send ke kamu tadi?"
"Dapat ma," lemah Saffarin menjawab.
"Kalau kamu tak jumpa rumah dia, guna GPS. Jangan nak buat-buat tak jumpa lepas tu bagi alasan dekat mama tak jadi jumpa sebab sesat. Mama sunatkan kamu kali kedua kalau kamu bagi alasan tu. Ingat!" Puan Zaidah memberi amaran keras.
Saffarin tergelak kecil.
"Apalah mama ni, ke situ pulak. Ya, nanti Farin gunalah GPS untuk cari rumah dia."
"Ha, baguslah. Kamu jangan tipu mama ya? Kalau mama tahu kamu tipu mama, siap kamu."
"Ya mama. Kalau mama terus call macam ni, bila Farin nak bertolak? Dah lambat ni? Nanti kalau jalan sesak macam mana?" Ada sahaja alasan Farin mahu segera menamatkan panggilan.
"Yalah, mama letak dulu. Ingat! Jangan tipu mama, assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Talian ditmatkan. Saffarin mengeleng kepala.
Selesai bersiap, dia terus meninggalkan bilik itu untuk bertolak ke Kampung Pandan.
**********
"YA ampun Hani, kau pakai baju apa ni? Kau ingat kau nak pergi menoreh? Cuba pakai baju yang ayu sikit? Pakai blaus dengan skirt labuh ke? Rambut tu, cuba buat gulung-gulung macam rambut Fazura tu, kan cantik macam tu? Ini? Dengan kemeja besar ala-ala kau buat macam jecket, seluar jean. Yang kau pakai topi dekat kepala tu dah kenapa? Dah macam tomboi mak tengok tau?" bebel Puan Suzana dek rasa terkejut melihat penampilan anaknya ketika ini.

ANDA SEDANG MEMBACA
Encik Suamiku Hipster
RomanceMengikut tradisi keluarganya, setiap keturunannya perlu berkahwin sebelum atau selewat-lewatnya usia 23 tahun. Namun, kala usia Hania sudah mencecah 25 tahun pun, dia masih belum ada kekasih hati yang bisa dijadikan suami. "Aku dah tak ada pilihan...