BAB 02

1.8K 38 5
                                    

"KAU putus cinta lagi, Hani?"

Terbelalak mata Puan Suzana bertanya selepas dimaklumkan Hania yang dia sudah pun putus cinta dengan Syamim. Sebelum ini dia pernah membawa Syamim bertemu dengan kedua orang tuanya dan kedua orang tuanya sudah mula berkenan dengan Syamim si bakal doktor itu. Tapi, apakan daya, jodoh dia dengan Syamim tiada

"Yalah mak, Hani ada kata putus urat kentut ke?" jawab Hani dengan soalan sambil menyumbat cekodok ke dalam mulut.

"Amboi, loyer buruk kau, kan? Apa nak jadi dengan kau ni Hani? Umur dah 25 tahun. Tahun depan dah masuk 26 tahun, tapi seorang lelaki pun tak melekat nak jadikan kau bini. Kau ada bela saka ke apa?" leter Puan Suzana. Di dalam keluarganya ada satu tradisi untuk semua anak perempuannya, termasuk Hania. Mujur dia tiada anak lelaki. Jika ada, pasti anak lelakinya turut menjadi mangsa tradisi keluarganya yang pelik lagi aneh itu.

"Apa mak ni? Tak baik tuduh Hani bukan-bukan, tau?"

Teh 'O' panas bancuhan emaknya dihirup sedikit bagi melancarkan salur kerongkongnya yang sesak dek cekodok.

"Apa bising-bising ni?"

Muncul Encik Harun dari arah bilik utama sambil melipat lengan kemejanya. Dia sudah siap untuk ke pejabat sebentar lagi.

"Mak ni yah, ada ke tuduh Hani bela saka bila tak ada lelaki melekat dekat Hani? Sampai hati mak buat tuduhan melulu," adu Hania sambil tarik muncung. Dia memang manja dengan ayahnya berbanding dengan emaknya yang kuat berleter itu.

Encik Harun geleng kepala lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang selalu didudukinya, iaitu di kepala meja makan.

Kecil kelopak mata Puan Suzana menjeling anak bungsunya. Pantang ada suaminya, laju sahaja anak bungsunya itu mengadu. Teko dicapai lalu isinya dituang ke dalam cawan suaminya.

"Saya ni bukan apa, bang. Si Hasni dengan si Hisya tu, sebelum umur 23 tahun dia orang dah kahwin. Saya kahwin dengan abang pun masa umur saya 23 tahun. Dalam adik-beradik saya, tak ada yang lebih dari umur 23 tahun baru nak kahwin. Anak bungsu abang ni aje yang dah terlajak usia, tapi masih tak berlaki lagi," Puan Suzana sambung berleter.

Itulah tradisi yang Puan Suzana pegang sejak dulu. Disebabkan adik beradiknya termasuk adik-beradik arwah bondanya hampir kesemuanya berkahwin sebelum atau selewat-lewatnya kala usia 23 tahun, dia mahu tradisi itu dikekalkan sehingga generasinya yang akan datang. Malangnya, tradasi itu telah dicemari Hania, si anak bungsunya itu.

"Alah awak tu, jangan diikut sangat dengan tradisi merepek keluarga awak tu. Saya kahwin dengan awak, usia saya dah 29 tahun masa tu tau? Lahir jugak tiga orang anak dari rahim awak, kan?" balas Encik Harun lalu menghirup minumannya. Sempat dia mengenyit mata ke arah anak bungsunya.

Terus kembang hidung Hania selepas dibela ayahnya. Muncung bibir yang sebelum ini panjang bertukar senyuman paling bahagia dalam dunia. Kenyitan ayahnya dibalas secara sembunyi-sembunyi.

Puan Suzana yang perasan dengan kenyitan dua beranak itu menjeling siling, meluat. Nampaknya, tradisi kahwin sebelum usia 23 tahunnya hanya sampai ke genarasinya sahaja. Selepas itu, punah!

"Dahlah, tak payah awak nak peningkan kepala. Ada jodoh nanti, adalah lelaki nak dekat anak bungsu awak ni," ujar Encik Harun, cuba mengusir keresahan isterinya.

Puan Suzana tarik muncung geram lalu melabuhkan punggung di atas kerusi yang bersebelahan dengan suaminya dan berhadapan dengan Hania.

"Saya bukan apa, bang. Saya takut anak bungsu awak ni jadi anak dara tua. Walaupun di zaman serba moden ni, dah ramai perempuan kahwin lewat, saya tak naklah anak kita ni pun jadi salah seorang dari mereka. Perempuan ni kalau umur dah lebih 30 tahun, susah nak beranak," luah Puan Suzana apa yang menjadi kerisauannya. Cekodok buatanya mula disumbat ke dalam mulut.

Encik Suamiku HipsterWhere stories live. Discover now