BUNYI telefon di atas meja kecil di sisi katil membuatkan lenanya yang nyenyak disebabkan terlalu penat menjadi raja sehari malam tadi, terganggu.
Terkapai-kapai tangannya mencari di mana telefon pintarnya berada. Dia yang tidur dalam keadaan meniarap mendekatakan tubuhnya pada meja kecil di sisi katil. Mata yang kering terasa pedih untuk dibuka.
Tercapai sahaja tangannya pada telefon pintar, dia membawa gadjet canggih itu mendekati wajahnya. Terteran nama 'mama' sedang membuat panggilan. Dengan lemah lagi lesu, dia menjawab panggilan itu.
"Assalamualaikum, mama," sapa Saffarin terlebih dahulu dengan suara serak basahnya.
"Waalaikumussalam. Kamu baru bangun ya Farin? Dah pukul sembilan pagi ni tau? Subuh tadi solat tak?" melengking suara Puan Zaidah di hujung talian.
Hampir meletup gegendang telinga Saffarin dek suara mamanya yang persis petir itu.
"Tadi subuh Farin dah bangun. Sambung tidur balik lepas solat. Malam tadi Farin sampai kondo pukul tiga pagi ma. Letih."
"Mama pun letih jugak tau? Boleh aje mama bangun awal siap sediakan breakfast untuk papa kamu lagi. Sekarang ni tengah fikir nak masak apa untuk lunch."
"Mama lainlah, mama dah biasa. Farin tak biasa. Farin kena cukup tidur lapan jam sehari. Baru kekal awet muda."
"Sudah! Jangan nak merepek ya? Ni, mama nak tanya. Kenapa kamu tak angkut isteri kamu balik kondo kamu? Kenapa biarkan dia balik rumah mak dia?"
Saffarin terkejut kecil mendengar kata-kata mamanya yang sedari tadi melengking sahaja. Dia mendudukan diri lalu bersandar di kepala katil. Rasa hairan terus menguasai dirinya.
"Farin nak kena bawak dia balik kondo Farin ke? Mama tak suruh pun malam tadi?" jawab Saffarin dengan soalan. Kepalanya yang tidak gatal digaru lagi.
"Ya ALLAH budak bertuah ni. Nak kata umur baru 22 tahun, tak jugak. Umur kamu tahun ni dah 34 tahun Farin oiii. Tak kan hal macam tu pun kamu tak boleh fikir?"
"Manalah Farin tahu, mak. Bukannya Farin pernah kahwin pun sebelum ni. Lagipun dia kan tak bawa baju, macam mana Farin nak bawa dia balik ke kondo ni?"
"Itu bukan alasannya, Farin. Hani tu dah sah jadi isteri kamu. Kamu kenalah jaga dia. Mana boleh main biar dia balik rumah mak dia. Hisy kamu ni, tak kan hal tu pun kamu tak boleh fikir? Terkejut mama bila mak mentua kamu call mama tadi. Katanya Hani ikut dia balik malam tadi."
"Dah dia kata dia nak ikut mak dia balik, tak kan Farin nak larang, ma? Lagipun, Akem ada dekat sini, tak manis pulak kalau dia ikut Farin balik sini, kan?"
Ada sahaja alasan Farin.
"Kamu tu suami, dia tu isteri. Dia perlu ikut cakap kamu. Bukannya kamu ikut cakap dia pulak. Fasal Akem tu, nanti kamu suruh dia balik sini. Suka sangat melepak dekat kondo kamu tu. Entah apa dia buat dekat sana. Suruh dia angkut sekali baju-baju dia yang ada dekat sana." Arah Puan Zaidah, tegas sekali.
"Ala, Akem tu bukan sesiapa pun, adik ipar dia jugak, kan? Lagipun dekat kondo ni ada tiga bilik ma. Bukannya Akem selalu lepak sini pun. Kadang-kadang aje."
"Emmm... kalau macam tu suka hati kamulah. Tadi mama dah call mak mentua kamu dan kami dah bincang fasal hal ni. Mama nak kamu jemput Hani tengah hari ni jugak." Nampaknya Puan Zaidah sudah menggunakan kuasa vetonya.
"Apa? Tengah hari ni? Tak boleh ke, Farin jemput dia esok atau lusa? Tak akan lari gunung dikejar ma."
"Memanglah gunung tak lari kalau kamu kejar sebab gunung tak ada kaki. Isteri kamu tu ada kaki tau? Bukan setakat berlari, dia nak pecut laju pun boleh. Mama dah cakap pada mak mentua kamu yang kamu nak datang jemput Hani tengah hari nanti. Kalau kamu tak jemput, siap kamu. Mama bakar kondo kamu dengan butik kamu sekali, nak?" Puan Zaidah serius dengan arahannya sehingga sanggup mengugut anak sendiri.

ANDA SEDANG MEMBACA
Encik Suamiku Hipster
Roman d'amourMengikut tradisi keluarganya, setiap keturunannya perlu berkahwin sebelum atau selewat-lewatnya usia 23 tahun. Namun, kala usia Hania sudah mencecah 25 tahun pun, dia masih belum ada kekasih hati yang bisa dijadikan suami. "Aku dah tak ada pilihan...