PROLOG
"KAU nak ke mana?" Satu suara garau milik seorang lelaki yang berbaju hitam menyoal seorang gadis yang sedang melarikan diri bersama kaki yang terincut-incut. Lelaki itu mula menghampiri si gadis.
"Tolong!!! To..." Lelaki itu segera menutup mulut si gadis yang menjerit setelah gagal dalam cubaan melarikan diri. Kemudian dia menolak tubuh si gadis ke sebuah pokok besar. Ingin menghalang si gadis daripada meronta-ronta.
"Shhh... Baik kau diam sebelum geng aku datang sini. Kalau mereka datang sini, aku tak janji kau akan bernafas lagi esok."
Apabila si gadis sudah berhenti meronta, lelaki itu menyambung bicaranya.
"Jangan takut. Aku tak akan bunuh kau. Kau bukan sasaran kami. Sasaran kami bapak kau dan bapak kau dah mati sekarang ni. Aku boleh lepaskan kau. Tapi kau kena rahsiakan apa yang berlaku. Kalau kau nak selamat, kau jangan sebut pasal kami. Biar semua orang ingat bapak kau mati sebab kemalangan. Bukan sebab ada orang nak bunuh dia. Faham?"
Si gadis hanya mendiamkan diri. Tidak mampu memberi sebarang respons.
"Nyawa kau dalam bahaya kalau kau cakap pasal kami. Bos aku pasti tak akan lepaskan kau. Walau macam mana kau sembunyi, bos aku tetap akan jumpa kau dan dia akan pastikan kau mati. Jangan main-main dengan bos aku. Bukan kau sahaja dia akan bunuh. Mak kau dengan abang kau sekali dia akan bunuh. Aku akan lepaskan kau. Kau buatlah pilihan kau sendiri. Sama ada nak terus hidup atau nak jadi macam bapak kau. Mati. Kalau kau nak terus hidup, kau tutup mulut kau. Ingat pesanan aku! Kau hanya menempah maut kalau kau beritahu pasal kami."
Genggaman di bahu si gadis dilepaskan. "Pesanan aku yang terakhir. Jangan percayakan sesiapa. Kadang-kadang orang yang rapat dengan kita boleh jadi musuh kita."
BAB 1
MATAHARI memancar terik lewat tengah hari itu. Seorang gadis berdiri tegak sambil memandang pemandangan di hadapannya. Pada awalnya dia tidak bercadang langsung untuk menjejakkan kaki ke sini. Setelah satu jam lebih memandu, dia kini berada di sini. Gadis yang berusia 26 tahun itu membetulkan kedudukan topi di atas kepalanya. Bangunan tinggi bertemakan Perancis yang berada di depan mata masih menjadi santapan mata si gadis.
"Very interesting journey. Untunglah kau, Hani. Sambil menyelam minum air. Sambil mengintip boleh melancong sekali. Two in one. Kelas gitu," ucap Farra Hani perlahan kepada dirinya sendiri. Sebuah senyuman nipis terlakar di bibir gadis itu. Kamera DSLR yang tergantung di leher dicapai dan dia mula merakamkan beberapa keping gambar.
Ceria sahaja wajah Farra Hani tika itu. Gadis itu ralit menangkap gambar suasana di Colmar Tropicale Bukit Tinggi. Senyuman terhias di wajah gadis itu. Tanda dia berpuas hati dengan gambar yang ditangkapnya. Abang Airil mesti terkejut kalau tengok gambar-gambar ni. Hmmm, mungkin bukan setakat terkejut. Dia mesti mengamuk, detik hati Farra Hani yang teringatkan abang saudara kesayangannya.
Bayangan Airil yang sedang mengamuk mula bermain dalam minda Farra Hani, membuatkan gadis itu tertawa kecil. Mereka baru sahaja bercadang untuk bercuti di sini minggu lepas.
Meskipun Farra Hani kelihatan teruja menangkap gambar, sasarannya masih diperhatikan. Langkah diatur mengekori jejak lelaki itu. Dia akan pastikan dia tidak kehilangan jejak lelaki itu. Saat sasarannya melangkah masuk ke sebuah restoran, Farra Hani terus melepaskan nafas lega.
"Akhirnya..." Tersimpul sebuah senyum di wajah gadis itu. Gadis itu kemudian menyambung bicaranya dengan nada yang cukup untuk didengari oleh dirinya sahaja.
YOU ARE READING
Layakkah Aku?
General FictionTajuk: Layakkah Aku Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0246-89-5 Harga: RM36 (Semenanjung) // RM39 (Sabah & Sarawak) Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi Karyaseni 26 tahun Farra Hani hidup d...