DI ruang tamu rumah Dato Manaf, sekujur tubuh terbaring lena berselimutkan gebar yang cukup lembut. Farra Hani membuka matanya perlahan-lahan lalu memerhatikan keadaan sekelilingnya. Telefon pintar di atas meja kopi dicapai. Sudah pukul 11 pagi. Lamanya gadis itu tidur. Mesti Airil sudah pergi kerja. Sungguh dia tidak sedar bila Airil meninggalkannya.
Dalam keadaan separuh sedar, Farra Hani bangkit dari perbaringan. Dia duduk di atas sofa sambil membetulkan rambutnya yang kusut. Mata Farra Hani terpandang sebuah balang kaca di atas meja kopi. Lama matanya terhala ke situ. Farra Hani mencapai balang kaca tersebut dan juga sekeping kad berwarna biru lembut di atas meja.
Morning, princess.
Mak Nab cuti lagi hari ni. So, abang dah siapkan breakfast untuk Hani. Jangan lupa makan, okey? Ranting kayu yang Hani pegang sepanjang Hani tidur semalam, abang letak dalam balang kaca. Jangan sedih lagi ya... Ranting kayu tu akan teman Hani sepertimana abang teman Hani.
Love you...
Wajah Farra Hani kosong. Tidak menggambarkan sebarang perasaan. Mata gadis itu merenung ranting kayu yang diambilnya semalam. Lama. Dia kembali dihimpit rasa sedih. Bukan mudah untuk dia melupakan apa yang terjadi semalam. Farra Hani melepaskan keluhan beberapa minit kemudian. Balang kaca diletakkan semula di atas meja. Farra Hani menyandarkan badannya ke belakang semula.
Minda Farra Hani mula terbayangkan mimpinya malam tadi. Aneh! Mimpinya malam tadi tidak sama dengan malam-malam sebelum ini. Mimpinya semalam, sungguh pelik. Nak kata seram atau menakutkan, tak juga. Nak kata indah, tak juga. Sukar untuk Farra Hani klasifikasikan mimpinya.
Gadis itu bermimpi dia berjumpa dengan seorang lelaki. Seorang lelaki yang mampu membahagiakannya, mampu menghilangkan segala deritanya, mampu mengasihinya dan menyayangi dirinya dengan ikhlas. Wajah lelaki itu pada mulanya tidak jelas. Namun, setelah lama dihanyut mimpi, Farra Hani bisa melihat wajah lelaki itu. Farra Hani terus memegang kepalanya.
"Dah kenapa pula aku mimpikan abang Mika? Hesy, mengarut betul," desis Farra Hani.
Tidak mahu dirinya terbawa-bawa dengan kejadian dan mimpi semalam, Farra Hani mula bangkit dan mengemas tempat tidurnya. Gebar dilipat kemas lalu dibawa ke dalam biliknya. Farra Hani mula menyegarkan badannya. Sehelai jubah berwarna hitam disarungkan ke tubuh. Jubah pemberian arwah mak longnya. Sehelai selendang yang berwarna hitam diletakkan di atas kepala, menutupi rambutnya. Farra Hani bercadang untuk melawat kubur papanya dan juga mak longnya.
Sebelum gadis itu meninggalkan rumah Dato Manaf, dia menjamah sarapan yang disediakan oleh abang saudaranya. Airil menyediakan pankek buatnya. Farra Hani bersarapan seorang diri di dapur. Satu pesanan ringkas melalui aplikasi Line dihantar kepada Airil sesudah dia menghabiskan sarapan, mengucapkan terima kasih kepada abang saudaranya.
MIKAIL AMSYAR duduk seorang diri di restoran Subway sambil menikmati makanan tengah harinya. Jam sudah menunjukkan pukul tiga petang baru lelaki itu mengisi perutnya. Kesibukan membuatkan dirinya alpa tentang waktu makan. Janji temunya pada pukul tiga setengah petang sudah ditunda ke hari lain.
Seorang gadis yang baru melangkah masuk ke dalam restoran menarik perhatian Mikail Amsyar. Mata lelaki itu terhala pada seorang gadis berjubah hitam. Entah mengapa, matanya terlekat di situ. Merenung seraut wajah yang kelihatan tidak bermaya. Hidung gadis itu kemerah-merahan. Adakah gadis itu baru sahaja menangis?
Segala pergerakan gadis itu diperhatikan Mikail Amsyar. Dari gadis itu membeli sandwic di kaunter sehinggalah gadis itu duduk di sebuah meja. Wajah gadis itu membuatkan dia tidak mahu mengalihkan pandangannya. Seketika kemudian, Mikail Amsyar mula tersedar akan perbuatannya lalu lelaki itu terus beristighfar. Menyedari kesalahannya sendiri. Mikail Amsyar menyebak rambutnya ke belakang. Sandwic yang dibeli sudah pun habis dijamah. Minuman di atas meja masih lagi tinggal separuh. Untuk menghilangkan dahaga, lelaki itu menyedut baki minumannya.
YOU ARE READING
Layakkah Aku?
General FictionTajuk: Layakkah Aku Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0246-89-5 Harga: RM36 (Semenanjung) // RM39 (Sabah & Sarawak) Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi Karyaseni 26 tahun Farra Hani hidup d...