KAFE Coffee & Tea yang terletak berdekatan dengan butik Farra Hani pada petang itu tidak berapa sesak. Seperti biasa, Farra Hani memilih untuk duduk di tempat biasanya. Tempat di mana kedudukan meja agak tersorok berbanding dengan meja-meja lain. Gadis itu selesa untuk bersantai di tempat sebegitu. Lebih privasi.
Tubuh Farra Hani disandarkan ke kerusi. Kakinya disilangkan. Sedari tadi, gadis itu leka berbalas mesej bersama Mika melalui aplikasi WeChat. Dia dan Mika sudah berkawan hampir enam tahun. Mereka memang rapat. Terlalu rapat. Bagi Farra Hani, Mika seorang kawan yang cukup memahami.
Meskipun hubungan mereka akrab sehingga ada yang mengusik mereka supaya menjalinkan hubungan cinta, Farra Hani tidak pernah menaruh sebarang perasaan buat Mika. Namun, dia sedar... Mika mencintainya. Sejak pertemuan pertama mereka lagi, Mika sudah menunjukkan perasaan cintanya kepada Farra Hani. Farra Hani tidak mampu membalas cinta lelaki itu. Sudah lebih daripada sepuluh lamaran daripada Mika ditolaknya. Dia anggap Mika tidak lebih daripada seorang kawan rapat. Malah kadang-kadang dia sudah menganggap Mika seperti adiknya sementelah usia lelaki itu muda setahun daripadanya.
"Still spying on me, stalker?"
Kerusi di hadapan Farra Hani yang pada mulanya kosong, kini sudah diduduki seseorang. Gadis itu terus menghalakan pandangan matanya ke depan. Farra Hani terlopong. Wow! Ini baru namanya kebetulan.
"Tak cukup dekat Bukit Tinggi, you intip I kat sini pula? Apa motif you yang sebenarnya, hah?"
Farra Hani membetulkan duduknya. Gadis itu menundukkan wajahnya sambil menutup mulut. Cuba menahan gelak. Terasa lucu dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Farra Hani memandang lelaki di hadapannya.
"I'm sorry but that's not your seat." Jari telunjuk Farra Hani dituding ke arah kerusi di hadapannya.
Bibir Farra Hani terus menguntum senyum saat matanya terpandangkan Airil yang sedang menuju ke arahnya bersama dua bekas minuman.
"It's belong to him," tambah Farra Hani seraya memandang Airil yang kini sudah berdiri di belakang Mikail Amsyar. Airil berdeham.
Dehaman Airil membuatkan Mikail Amsyar berpaling ke belakang. Wajahnya terus berubah. Wajah Mikail Amsyar kelihatan kemerah-merahan. Menahan malu barangkali. Farra Hani senyum nakal. Dia mendekatkan tubuhnya dengan tubuh Mikail Amsyar lalu membisikkan sesuatu.
"I am not a stalker."
Kemudian, Farra Hani terus berdiri dan merapati Airil. Lengan Airil terus dipaut dan dia mengajak Airil untuk pergi dari situ. Airil yang terpinga-pinga hanya mengikut. Sempat juga dia menjeling ke arah lelaki yang duduk berhadapan dengan Farra Hani tadi.
"Kata nak minum kat sana. We have something to discuss, kan," ucap Airil sambil memandang Farra Hani sewaktu mereka sedang berjalan menuju ke kereta Airil.
Farra Hani mengambil minuman Iced Latte yang dipesannya dari tangan Airil lalu disedut perlahan-lahan.
"Kita bincang kat rumah Hani ajelah. Tak ada mood nak bincang kat sana. Tak secure."
"Tak secure?" Airil gelak kecil.
"By the way, who's the guy? Kawan Hani ke?"
Laju Farra Hani menggeleng.
"Dia abang Mika. Mikail Amsyar," beritahu Farra Hani sambil memandang Airil, ingin melihat reaksi abang saudaranya.
"What? Laki tadi tu abang Mika?"
"Ya, abang... Dia la lelaki yang Hani intip for the last three days. Tak sangka Hani jumpa lagi mamat tu." Farra Hani tiba-tiba melepaskan tawa yang agak kuat. Airil mengerutkan dahi. Pelik melihat sikap gadis itu.
YOU ARE READING
Layakkah Aku?
General FictionTajuk: Layakkah Aku Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0246-89-5 Harga: RM36 (Semenanjung) // RM39 (Sabah & Sarawak) Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi Karyaseni 26 tahun Farra Hani hidup d...