Bab 2

5.8K 112 0
                                    

SUASANA di kolam renang Colmar Tropicale malam itu sunyi dan sepi. Kolam renang itu hanya ditemani dua insan yang saling berpandangan. Buat beberapa saat, mereka hanya membisu. Hanya mata yang berbicara. Sedari tadi, mata Mikail Amsyar tidak lepas daripada memandang gadis di hadapannya.

Meskipun sudah hampir seharian dia memandang wajah itu dari jauh, dia masih berasa tidak puas. Andai dia bisa menghentikan waktu, dia akan pastikan situasi ini kekal sehingga bila-bila agar dia bisa menatap wajah itu. Wajah yang amat dia rindui. Wajah yang tidak bisa dilupakan walaupun sudah lima tahun berlalu.

Azalea mula gelisah. Pandangan mata Mikail Amsyar membuatkan dirinya tidak selesa. Gadis itu mula berdeham lalu cuba memulakan perbualan.

"Tak sangka jumpa Am kat sini. It has been a long time since we last met."

Bibir Mikail Amsyar mengukirkan senyuman nipis. Sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Suara yang memanggil namanya dengan begitu lembut.

"I miss you. Am tak boleh lupakan Lea. I really miss you. Lea... Lea rindukan Am tak?" soal Mikail Amsyar dengan suara yang bergetar.

Azalea terkedu mendengar bicara Mikail Amsyar. Wajahnya ditundukkan. Tidak mampu menentang mata Mikail Amsyar.

"Am... We are over. Kita dah tak ada apa-apa. Kenapa pula Lea nak rindukan Am?"

"Tapi Am rindukan Lea."

"Am..." Azalea menyebut nama lelaki di hadapannya bersama helaan nafas yang berat.

"Lea dah ada anak. Lea dah ada kehidupan Lea sendiri. Tolonglah, Am. Tolong lupakan Lea. Cari kebahagiaan Am sendiri. I'm sorry, Am. I have to go now. Glad to meet you here... After four years tak jumpa Am."

"Five!"

Azalea kelihatan terpinga-pinga. Mikail Amsyar senyum nipis seakan-akan sinis.

"After five years tak jumpa Am."

"Oh, yeah. Five. Okeylah, Lea pergi dulu."

"Lea..." panggil Mikail Amsyar perlahan. Panggilannya itu mematikan langkah Azalea.

Azalea kembali memandang Mikail Amsyar. Sejujurnya, gadis itu ingin cepat-cepat menjauhkan dirinya dari Mikail Amsyar. Pertemuan yang tidak dirancang ini benar-benar menyeksa dirinya.

"Dalam masa lima tahun ni, tak pernah ke sekali Lea rindukan Am?"

Sepi buat seketika. Azalea tidak segera menjawab pertanyaan Mikail Amsyar. Kepalanya perlahan-lahan digelengkan. Hanya pergerakan kepala yang mampu dilakukan. Dia tidak mampu meluahkan sesuatu yang bertentangan.

"Betul ke hubungan kita dah berakhir, Lea?"

Azalea masih lagi tidak bersuara. Dia hanya mengangguk untuk mengiakan pertanyaan Mikail Amsyar.

"But I still love you."

"But I don't love you."

Bibir Azalea diketap rapat. Gadis itu menarik nafas dalam lalu dihela perlahan-lahan.

"Am... Hubungan kita dah berakhir. Lima tahun yang lalu. Tolong lupakan Lea. Am carilah kebahagiaan Am. Jangan tunggu Lea. Lea dah ada hidup Lea sendiri. Assalamualaikum." Tanpa menunggu respons daripada Mikail Amsyar, Azalea terus berlalu pergi.

Mikail Amsyar masih lagi berdiri di situ. Matanya terpejam rapat. Lelaki itu menggenggam kedua-dua tangannya dengan erat. Lea kebahagiaan Am. Macam mana Am nak bahagia kalau Lea tak ada di sisi Am? detik hati Mikail Amsyar. Lama Mikail Amsyar memejamkan matanya, cuba menelan segala kepahitan. Kepahitan yang pernah dirasai lima tahun yang lalu.

Bunyi kocakan air yang agak kuat membuatkan Mikail Amsyar membuka matanya semula lalu berpaling ke belakang. Matanya terarah pada seorang gadis yang terjatuh di dalam kolam renang. Wajah Mikail Amsyar berubah. Hilang terus rasa sedihnya. Dia berasa jengkel. Perempuan tu lagi? Dia ni intip aku ke apa? Mikail Amsyar berasa sebal. Tanpa menghiraukan gadis itu yang seakan-akan terkapai-kapai di dalam kolam renang, Mikail Amsyar terus berlalu pergi.

Tiba di dalam bilik, Mikail Amsyar duduk sambil melunjurkan kakinya di atas lantai. Badannya disandarkan di tepi katil. Rambutnya diusap beberapa kali. Separuh daripada dirinya kecewa dengan apa yang berlaku dan separuh lagi memarahi dirinya sendiri kerana masih mencari gadis itu.

Mikail Amsyar tahu dia tidak sepatutnya mencari gadis itu sebaik sahaja pulang ke Malaysia. Namun, perkara yang tidak sepatutnya itu juga dibuat. Walaupun beribu batu dia melarikan diri, dia tidak mampu melupakan gadis itu. Adakah kerana dia terlalu cintakan Azalea?

"Mikail Amsyar. Kau harus lupakan dia. Harus!" Mikail Amsyar membulatkan tekad.

"Dia tak mungkin jadi milik kau lagi. Dia bukan milik kau. Lupakan dia! Kau harus lupakan dia!"

Beberapa minit kemudian, Mikail Amsyar bangkit dari duduknya dan mula mengemas barang-barangnya. Lelaki itu ingin pulang ke rumahnya. Tiada apa lagi yang menarik di sini. Cintanya sudah pun terkubur. Mulai detik ini, Mikail Amsyar bertekad untuk melupakan Azalea.

JAM di dashboard menunjukkan pukul sepuluh setengah malam sewaktu Mikail Amsyar memarkirkan keretanya di garaj. Pada masa yang sama, kereta adiknya juga menyusur masuk ke dalam garaj. Mikail Amsyar mengunci keretanya lalu menyandarkan badannya di situ, menunggu adiknya keluar dari kereta.

"Angah pergi mana?"

Mika mendengus perlahan. Abangnya dipandang sekilas.

"Kata tak balik malam ni..."

"Kenapa? Angah tak suka along balik? Kalau along tak ada, angah bebaslah, kan... Boleh jumpa perempuan tak senonoh tu."

"Long... Perempuan tu ada nama, okey. Kau ni tak habis-habis nak kongkong hidup aku. Baru aje balik tak sampai sebulan dah tunjuk lagak," rungut Mika yang kedengaran sudah bosan dengan sikap abangnya.

"Along bukan nak tunjuk lagak. Along bukan nak kongkong angah. Tapi along tak suka angah keluar dengan perempuan tu."

"Suka hati aku la nak keluar dengan siapa pun. Aku tak kacau kau pun." Usai menghabiskan bicaranya, Mika terus meninggalkan abangnya dan menuju masuk ke dalam rumah.


Layakkah Aku?Where stories live. Discover now