NAMA Abang Airil tertera di skrin telefon pintar Farra Hani sewaktu gadis itu sedang menunggu di balai berlepas. Tidak semena-mena, gadis itu teringatkan berpuluh-puluh panggilan daripada lelaki itu yang tidak dijawabnya semalam. Panggilan Airil terus dijawab.
"Assalamualaikum, abang. Abang... Sorry sangat. Bateri phone Hani mati semalam. Lepas tu, Hani lupa nak call abang. Hani borak panjang dengan kak long malam tadi." Belum sempat Airil ingin membebel, Farra Hani terlebih dahulu meminta maaf dan memberi penjelasan.
"Hesy, Hani ni. Buat abang risau aje tau. Bukannya nak cakap dengan abang yang Hani nak balik rumah Hani. Borak apa dengan Sara semalam?"
Farra Hani tersengih. "Macam-macam. Banyak sangat yang kami borak."
"Peliknya. Sejak bila pula Hani rapat dengan Sara?"
"Sejak semalam!" Farra Hani melepaskan tawanya.
"Kak long tu baik tau. Untung Hani dapat kakak ipar macam dia. Dia banyak beri nasihat kepada Hani. Kadang-kadang kata-kata kak long boleh buat Hani tergamam."
Dahi Farra Hani berkerut sedikit apabila dia tidak mendapat sebarang respons. Sunyi saja di hujung talian.
"Helo... Abang... Abang... Are you there?"
Deheman Airil mula kedengaran. "Hmmm... Abang dengar. Memang Farhan untung dapat Sara."
Nada suara Airil kedengaran sayu. Timbul rasa pelik dalam hati Farra Hani.
"Hani kat mana ni?" Airil cuba mengubah topik perbualan.
Soalan Airil membuatkan Farra Hani terus terlupa tentang rasa peliknya. Wajahnya bertukar ceria.
"Kat airport. Tengah tunggu flight."
"Eh, Hani nak ke mana?"
"Penang! Along dengan kak long hadiahkan Hani tiket flight dan penginapan dekat Penang. Dia orang nak Hani bercuti. Dan Sabtu ni, ada fashion show Muslimah dekat Queensbay Mall. I'm so excited, abang."
"Patutlah lupa call abang. Excited sangat nak bercuti. Baru aje hari tu cakap nak ke Penang. Hani pergi seorang aje ke?"
"Yalah, bang... Mana ada orang nak teman Hani."
"Dah kalau hari-hari Hani nak pergi holiday, siapa nak layan Hani? Hani ingat kami tak ada kerja lain ke? Hani tu lainlah. Butik ada orang lain jaga."
Farra Hani melepaskan tawa. "Abang... Nanti tolong bagi tahu pak long, ya. Hani tak ikut pak long. Hani
bercuti kat Penang sampai hari Ahad. See you later, abang. Jangan rindukan Hani."
"Tak kut. Abang aman bila Hani tak ada. Boleh abang cari girlfriend," seloroh Airil nakal.
"Jahat! Pergilah cari girlfriend. Hani nak jumpa dia bila Hani balik nanti." Talian terus dimatikan. Bibir Farra Hani dicebikkan sebelum dia melepaskan tawa halus.
PINTU bilik ditolak. Dengan langkah yang lemah, Farra Hani melangkah masuk. Punggung Farra Hani terus mendarat ke atas katil. Beberapa beg plastik yang berada di tangan, dicampak ke tepi. Kemudian, gadis itu terus merebahkan tubuhnya.
"Penatnya..." adu Farra Hani sendirian.
Sebaik sahaja gadis itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang petang tadi, dia terus menaiki teksi menuju ke hotel yang ditempah oleh Farhan dan Kaisara di Batu Ferringhi. Gadis itu berehat seketika di hotel dan menunaikan solat jamak. Sesudah itu, Farra Hani terus keluar bersiar-siar. Perutnya yang lapar diisi terlebih dahulu.
YOU ARE READING
Layakkah Aku?
General FictionTajuk: Layakkah Aku Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0246-89-5 Harga: RM36 (Semenanjung) // RM39 (Sabah & Sarawak) Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi Karyaseni 26 tahun Farra Hani hidup d...