Bab 14

2.7K 61 0
                                    

Kuala Lumpur, 2013

HUJAN turun dengan lebatnya malam itu. Sebuah kereta Mercedes menyusur laju membelah kepekatan malam. Suasana di dalam kereta agak tegang. Tan Sri Mansur memandu bersama perasaan marah dan kecewa yang tak mampu dibendung lagi. Di sebelah Tan Sri Mansur, Farra Hani terenjut-enjut menahan tangis sambil memandang papanya.

"Pa... Hani tak tipu! Betul Hani tak minum. Hani tak ambil pun pil-pil mengarut tu," tutur Farra Hani teresak-esak. Pedih hatinya melihat wajah papanya yang jelas sedih dengan dirinya.

Tan Sri Mansur mengeratkan genggamannya di stereng kereta. Sedikit pun dia tidak menoleh untuk memandang anaknya.

"Sudah, Hani. Sudah! Papa dah tak nak dengar dah. Papa kecewa dengan Hani. Hani dah malukan papa. Malukan mama, malukan along. Hani dah malukan keluarga kita. Hani tahu tak apa perasaan papa bila terpaksa ambil Hani dari balai polis? Ramai inspektor kat situ kenal papa tau."

Farra Hani menjauhkan dirinya dari Tan Sri Mansur. Wajahnya ditundukkan ke bawah. Tangannya menyeka air mata yang tidak henti-henti mengalir.

"Tapi papa tahu papa tak boleh salahkan Hani. Papa salah juga dalam hal ni. Papa terlalu berikan kebebasan kat Hani sampai Hani jadi liar macam ni. Papa tahu Hani selalu keluar malam, lepak dengan kawan-kawan Hani. Tapi papa tak sangka Hani lepak kat tempat tak senonoh macam tu. Tu bukan tempat kita, Hani. Ingat agama kita. Tak kesahlah Hani minum ke tak, Hani makan pil tu ke tak... Tapi Hani tak sepatutnya pergi tempat macam tu."

Lemah nada suara Tan Sri Mansur. Kepalanya digelengkan. Menyesali sikap anak bongsunya. Bertambah sayu hati Tan Sri Mansur saat terkenangkan kejadian di luar balai polis sebentar tadi.

"Papa tengok Hani selamba aje bagi Mika peluk Hani. Depan papa pula tu. Kita ada agama, Hani. Islam mengajar kita untuk menjaga batas pergaulan. Berdosa Hani biarkan Mika buat macam tu. Dosa Hani tu, bukan Hani seorang aje yang tanggung. Papa dengan mama pun tanggung dosa Hani."

"Hani nak duduk rumah sewa dengan kawan-kawan Hani, papa benarkan. Apa yang Hani nak, papa bagi. Papa terlalu manjakan Hani. Hani tengok pakaian apa yang Hani pakai. Dah tak ada baju lain ke Hani nak pakai? Kenapa pakai baju macam ni? Dah la ketat, singkat pula. Hani tak malu ke orang pandang tubuh Hani yang terdedah tu?"

Panjang bicara Tan Sri Mansur kali ini, meluahkan rasa hatinya yang terlalu kecewa. Kesalan yang terluah dari bibir Tan Sri Mansur menambahkan perit dalam hati Farra Hani. Gadis itu meneliti pakaiannya. Bibir diketap rapat.

"Pa... Hani minta maaf. Hani ingat tak ada siapa sayangkan Hani."

"Kenapa Hani fikir macam tu?"

"Papa dengan along selalu sibuk dengan business. Jarang ada kat rumah. Hani bosan duduk rumah sebab tu Hani nak duduk dengan kawan Hani. Hani tak suka duduk dengan mama kat rumah. Mama bencikan Hani. Mama tak suka Hani."

"Astaghfirullahalazim. Kenapa sampai ke situ sekali Hani fikir?"

Farra Hani menggenggam tangannya erat, cuba mencari kekuatan untuk luahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama 26 tahun.

"Papa jangan pura-pura tak tahu. Semua orang tahu, pa. Semua orang tahu mama tak sukakan Hani. Sejak kecil lagi, pa. Mama tak pernah layan Hani. Mama tak pernah nak berbual, nak bermesra dengan Hani. Dia hanya layan along aje. Dia hanya ambil tahu pasal along aje. Hani ni siapa, pa? Kadang Hani fikir Hani ni bukan anak mama."

Esakan Farra Hani makin kuat. "Kadang-kadang Hani fikir ni bukan keluarga Hani. Hani ni macam anak pak long. Keluarga pak long tu dah macam keluarga Hani. Hani lebih rapat dengan pak long berbanding papa. Hani lebih rapat dengan Abang Airil daripada along. Hani lebih rapat dengan arwah mak long daripada mama. Kenapa, pa? Kenapa keluarga kita macam ni?"

Layakkah Aku?Where stories live. Discover now