Aku kembali menyambung menatap skrin komputer. Teringat pula berkaitan dengan tinggalan candi di Lembah Bujang. Candi ini adalah salah satu benda yang menjadi seperti rumah ibadat di masa silam pada perkiraanku.
Dahulu kala sebelum datangnya agama samawi mungkin leluhur kita menyembah dewa dan dewi yang diinterpretasikan kuasanya dengan pergerakan alam. Jika diikutkan, agama menyembah dewa dewi ni mungkin asal usulnya daripada satu rumpun yang sama. Cuma diubah serba sedikit, dipesongkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan tersendiri.
Berdasarkan sejarah, ajaran menyembah dewa dewi ini seakan mekar bercambah selepas berlakunya beberapa siri bencana alam pada peringkat global ribuan tahun lampau. Apabila peradaban bermula semula daripada kosong, lantas yang memimpin itu diangkat setaraf dengan penguasa langit lagaknya.
Berdasarkan pembacaan dan kajian, aku dapati terdapat dua kelompok utama yang menjadi paksi kepada tercetusnya fenomena menyembah dewa dewi ini. Yang pertama selalunya adalah ajaran atau perbuatan yang menyembah sesama manusia yang diangkat menjadi dewa atau dewi. Proses penyembahan ini berlaku samada secara suka rela ataupun dipaksa. Maka terjadilah beraja di mata, bertakhta di hati. Kebanyakan yang disembah ini adalah mereka yang telah menjadi hero atau menyumbang sesuatu yang besar kepada masyarakat setempat.
Tamadun purba biasa menyaksikan seseorang wira diangkat layak setaraf seperti dewa. Ada kalanya disembah sehingga diagungkan seperti Tuhan. Diambil Enoch sebagai contoh; beliau yang merupakan manusia terpilih yang telah menjadi Raja pada zamannya. Jika dibandingkan dengan zaman moden, maka beliau juga seorang pakar astrologi, seorang jurutera terhebat dalam bidang matematik dan juga perubatan. Sehingga dikatakan bahawa makhluk yang bertebaran di langit juga mengaguminya. Tidak di lupakan juga Noah. Diagungkan sebegini rupa juga.
Lawan monotisma adalah politisma yang menitikberatkan wujudnya banyak Tuhan yang juga digelar Dewa dan Dewi. Setiap satu ada strata yang tersendiri menjadikan takhta itu kadangkala sesuatu yang ingin dipunyai. Ada Tuhan Besar dan juga Tuhan Kecil; asasnya ada Tuhan major dan minor. Yang besar tentulah punya lebih kuasa dan pengaruh yang tersendiri. Bibit perang bercambah kian masa.
Dalam karya-karya klasik peradaban lampau, banjir atau bah besar seolah-oleh menjadi satu kunci atau tumpuan utama. Daripada banjir ini munculnya sang wira yang diangkat sebagai anak Tuhan ataupun layak dipanggil Tuhan penyelamat.
Telahku cuma satu; karya ini sebenarnya jauh didasarnya adalah plagiat atau kopipes kisah dalam kitab suci. Ya, ceritanya Noah yang diperintah Tuhannya untuk membina bahtera penyelamat sekalian alam. Yang terselamat daripada peristiwa itu mungkin bersisakan sedikit ego di sanubari telah menjadikan kisah benar ini untuk menunjukkan kehebatan puak atau kaum masing-masing. Sesiapa yang menguasai sejarah, dialah yang mengawal dunia kehadapan nanti.
Ibarat cerita sejengkal menjadi sekaki, begitulah modifikasi dan penambah baik, penyedap cerita yang dimasukkan agar cucu cicit menjadi bangga dengan leluhur. Leluhur orang yang terpilih. Orang yang maha hebat. Cerita ini disampaikan kepada generasi yang mendatang.
Setiap tamadun purba sememangnya mempunyai kisah banjir mereka yang unik lagi tersendiri. Namun jalan cerita dan plotnya adalah sama ibarat kau menonton sinetron. Sikit-sikit tertukar anak. Cuma yang diubah adalah watak yang terlibat bersama dengan kawasan. Intipatinya dan modus operandinya adalah sama. Untuk menunjukkan betapa hebat dan terpilihnya bangsa mereka. Orang-orang Sumeria, Assyria, Farsi, Babylon dan Greek begitu kaya dengan versi banjir besar mereka. Kisah agung ini dimanipulasikan untuk kepentingan yang berkenan.
Dalam proses propaganda mereka, bukit atau gunung dimomokkan sebagai tempat mendaratnya bahtera penyelamat lantas tapak itu telah menjadi kawasan suci. Bagi yang mudah diperdayakan, mereka percaya kawasan itu adalah kediaman para dewa dewi yang berkuasa. Daripada orang biasa, mereka yang terselamat dimasyurkan sebagai anak dan pewaris Tuhan.
Kedua pula adalah jenis manusia yang mahu dirinya dianggap sebagai Tuhan. Disembah sebagai Tuhan atas bukti kuasa pemerintahan. Contoh klasik kes ini adalah Raja Namrud di Babylon bersama dengan Abraham. Kerana si Raja mahu meluaskan jajahan takluk, dia menggelarkan dirinya sendiri sebagai Raja Empat Penjuru Alam. Gelaran kerana telah berjaya menguasai tamadun serantau di bahagian utara, selatan, timur dan barat. Lalu rakyat jelatanya dipaksa rela untuk menyembah dia sebagai Tuhan.
Dalam Islam sendiri kita tahu bahawa Allah telah menitipkan Abraham untuk bertemu muka dengan sang Raja. Berlaku ketegangan yang membawa kepada pembakaran Abraham di dalam api yang akhirnya menjadi dingin bak salju. Terpana Namrud bersama pengikut setianya akan mukjizat yang nyata telah berlaku bagaikan magis alam. Kisah yang serupa juga diabadikan dalam tamadun Mesir dimana dicatatnya kisah Firaun bersama Moses. Akhirnya si Firaun mengaku Tuhan tersebut menerima padahnya.
Sang raja dalam proses mengangkat dirinya biasa menggunakan karya sastera untuk memuja dan memuliakan diri. Lantas syair-syair, puisi dan cerita digarap indah lagi puitis untuk menjayakan niat di hati. Sejarah telah menyaksikan wujudnya karya dimana manusia marhaen dikatakan mempunyai sifat ketuhanan yang teguh. Lihat sahaja dalam karya kesusasteraan purba seperti Gilgamesh mahupun Hammurabi. Kisah lagenda, mitos dan epik ini menjadi taksub di fikiran manusia yang begitu jauh mendalam obsesinya.
Selain daripada sang wira ataupun raja, makhluk halus dan ghaib pada mata kasar juga disembah sebagai Dewa Dewi. Asas kepercayaan animisme menyaksikan pelbagai makhluk seperti syaitan, jin, semangat alam mahupun malaikat telah disembah manusia berzaman lamanya. Lihat sahaja pada Cupid yang terserlah inspirasinya daripada interpretasi manusia kepada malaikat. Digambarkan paras bagaikan seorang insan cuma yang berbeza ditambah sepasang sayap terlihat untuk memberikan kesan sesuatu yang lain dan lebih indah pada tatapan khalayak.
Mungkin telah berlakunya seleweng dimana si sang syaitan membisikkan kesesatan kepada manusia dek kerna cemburu yang membuak serta tebalnya holier than thou dalam diri sang api yang merasakan dirinya lebih tinggi strata daripada sang tanah. Namun sebagai bekas cahaya, dia masih mahu manusia memuliakan kaumnya. Lalu keturunan Adam diperdayakan untuk menyembah, mengidolakan lagi tunduk hormat kepada kaum kerabat cahaya dan api. Dibuatnya malaikat sebagai dewa lalu si bidadari dijadikan dewinya.
Kemudian mulai timbul cerita dan karya menceritakan khayalan imaginasi masyarakat yang telah ditipu dalam kesesatan. Plagiarisme jelas kelihatan dalam proses penyampaian kisah dongeng lagi epik ini. Sebagai contoh, persamaan antara Mercury daripada sastera Rome dengan Hermes dalam sastera Greek. Dia merupakan seorang dewa yang menjadi penyampai atau messenger perantara antara Tuhan dan Dewa. Begitu jelas serba sedikit persamaan dan kedekatan antara tamadun Rome dan Greek ini berdasarkan sejarah lampau. Siapa tahu inspirasi sebenar Hermes ini datangnya daripada imaginasi mereka akan tugas Gabriel?
![](https://img.wattpad.com/cover/50081225-288-k476403.jpg)
YOU ARE READING
FRAGMEN
خيال علميEntah berapa lama aku disini. Aku tidak tahu berapa lama perbedaan masa di sini dan di sana. Berapa lama aku lesap menutup mata di sana sebelum aku bangun di sini. Apa tempat ini benar-benar wujud atau hanya fantasi. Sebahagian fragmen pemikiran itu...