Aku berlari. Laju terus ke hadapan. Aku redah semak nipis. Pantas mara tanpa menoleh ke belakang. Kelihatan padang rumput kehijauan. Permukaan rumput basah dek embunan pagi. Aku berhenti berlari. Kaku. Badan ditundukkan, nafas laju. Seolah ada kabus berasap keluar dari hidung. Aku terduduk di padang. Aku penat.
Aku memandang kiri kanan dan kedepan. Berbalam di kejauhan kelihatan kabus meliputi hutan. Aku harus ke sana. Aku perlu mencari dia di sana. Tiba-tiba tanah bergegar. Apa ini gempa bumi? Aku bertanya sendiri. Mungkin aku diekori. Aku bingkas bangun. Kaki mulai melangkah. Rasa penat aku abaikan. Ini antara hidup dan mati. Aku harus ke hutan berkabus!
Aku berlari. Seberapa pantas. Hutan berkabus semakin jelas. Semakin meninggi, seolah pagar ke alam lain. Hijau dan diselaputi kabus bagaikan asap, berkepul-kepul, berbalam-balam. Gegaran pada tanah juga makin terasa. Mungkin yang mengekoriku itu semakin hampir. Cuaca suram, matahari seolah-olah malu diselimut awanan. Belum mahu bangun dari ranjang malam. Dingin menyucuk ke tulang.
Pastinya Mergastuwa si Ratu yang mengejarku. Makhluk liar asalnya di Tanah Hujung. Diambil dan dijaga oleh Ratu sedari kecil. Dialah ibu, dialah bapa, dialah segalanya. Makhluk durjana yang setianya hingga hujung pernafasan yang terakhir. Takkan bisa dirasuah untuk berpaling tadah. Tiada sesiapa yang tahu akan asal rupanya. Kerna tiada yang hidup untuk menceritakan kepada yang lain.
Hutan berkabus. Hanya dua ratus meter sahaja mungkin dihadapku ini. Namun, aku harus melepasi benteng pertahanan hutan keramat ini. Sungai yang alirnya kelihatan tenang. Terlalu tenang. Hijau kebiruan di permukaan. Semakin hijau zamrud dibahagian dalamnya. Mataku meliar ke kiri dan ke kanan. Mana dia perbatasan. Air sepatutnya surut sekarang. Aku mengomel sendirian. Mencari jalan rahsia untuk melintas ke seberang. Itu dia! Mataku menangkap sesuatu di permukaan air. Kelihatan batuan leper sebesar tayar mulai timbul. Timbul kerana air yang sudah surut sedikit demi sedikit. Aku harus pantas.
Kiraan satu aku bermula. 60 permukaan batuan leper bersamaan 60 saat masa batuan ini timbul. 30 saat air surut dan 30 saat sebelum air pasang semula. Aku melompat ke atas batu yang pertama. Kedua. Ketiga. Di batu ke tujuh, air berkocak. Shit, what the hell! Cepat jugak beast ni sampai. Aku merasakan haiwan belaan Ratu mungkin ada berdekatan.
Aku terus melompat. Aku harus pantas. Air kelihatan seperti pasang semula. Sesaat aku terleka, nyawaku pula jadi taruhan. Di dunia asing ini seolah-olah masa itu menjadi satu perkara penting. Aku sudah seperti Katniss Everdeen. Ini bukan lagi Hunger Games. Ini Battle Royale! Musuh ada di mana sahaja. Hiding in plain sight. Bagaikan enau dalam belukar, siap siaga untuk melepaskan pucuk masing-masing.
Aku melompat ke atas tanah. Aku sudah tiba di hutan berkabus. Aku sudah selamat. Sekurang-kurangnya. Aku bersandar pada pangkal pohon konifer membelakangkan sungai tadi. Penat ini harus ditawarkan sedikit. Aku perlukan rehat sebentar menghilangkan lelah. Lelah pelarian semenjak 3 hari yang lalu. Dari kota sang Ratu, pelarianku melepasi perbukitan orang genit, merentasi hamparan kampungnya si watak-watak yang pernah aku baca dalam buku kisah lagenda. Ya, Bawang Merah Bawang Puteh, Mak Labu Mak Kundor, Badang, Awang Genit, Raden Galuh, Suri semuanya wujud di tempat ini. Terasa seperti akulah Emma dalam Once Upon A Time. Cuma ini bukanlah Misthaven dan Enchanted Forest.
Ini dunia tak bernama. Sesat aku dalam fragmen dunia ini. Tidak wujud dalam peta. Seolah muncul dan wujud dalam dimensinya yang tersendiri. Aku pula masih cuba untuk mencantumkan kepingan puzzle Kenapa Mengapa Bagaimana aku berada di sini? Apa yang aku masih ingat adalah aku pulang daripada makmal, gerimis turun. Jalan lecak setelah hujan. Aku terjatuh dirempuh seseorang. Gelap dan suram duniaku seketika. Mataku dibuka dan boom, aku di sini. Dunia asing.
Bunyi bising seolah pokok dirempuh dan tumbang di seberang sana. Aku menoleh. Di kejauhan kelihatan Mergastuwa. Si pembunuh belaan Ratu itu kosong jiwanya. Tidak kenal apa itu cinta. Apa itu kasih. Apa itu persahabatan! Mencabut nyawa kerna dialah malaikat maut. Sayang seribu kali sayang. Dia tak mungkin boleh menyeberang. Dia makhluk di sempadan sana. Aku sudah selamat. Kata Awang Genit, hutan berkabus itu tempatnya keramat. Hanya orang yang jiwanya bersih sahaja boleh menyeberang ke hutan. Yang hatinya hitam berkeladak pasti akan mati tenggelam dalam air yang tenang.
Aku harus mencari orang tua bijaksana di hutan berkabus. Itu pesan yang dititipkan kepadaku. Hanya orang tua bijaksana yang boleh membantu aku. Aku harus pulang. Segera! Dunia ini, tempat ini bukan duniaku, bukan tempatku. Itu saja yang bermain-main di fikiran. Aku mahu pulang. Aku merindukan Kuala Lumpur. Kota batu yang urban disertai hedonisme penuh harapan dan impian terindah mereka yang percaya akan cita-cita. Ambisi yang kadangkala membuatkan kita hanyut. Membuaikan kita dalam noda yang tiada kesudahan. Berhenti atau mati. Pilih yang mana satu.
Entah berapa lama aku disini. Aku tidak tahu berapa lama perbedaan masa di sini dan di sana. Berapa lama aku lesap menutup mata di sana sebelum aku bangun di sini. Apa tempat ini benar-benar wujud atau hanya fantasi. Sebahagian fragmen pemikiran itu masih hilang. Bergentayangan di selitan neutron barangkali. Plot twist yang terbaik mungkin aku sebenarnya masih dalam komatos di hospital di Kuala Lumpur. Koma setelah jatuh akibat diragut berdekatan stesen LRT KL.
Bunyi dedaunan kering di pijak orang. Aku diam membatu. Aku kaget. Aku takut. Aku penat. Aku lelah. Aku reda. Aku pasrah. "Anak buat apa di situ?" Soalan yang dilontarkan kepada aku. Dengarnya seperti suara orang tua. Seusia dengan Prof barangkali. Aku mendongak ke atas. Aku terkesima. Diam sebentar untuk menyusun buah kata. "Saya tersesat. Saya penat. Ada yang mengejar saya ke sini" Aku berterus terang kepada figura di hadapanku. Seorang lelaki kurus, tinggi mungkin dalam 170 sentimeter. Berpakaian seperti seorang bangsawan dalam cerita-cerita Middle Ages gayanya. Bangun anakku. Kau sudah jauh ke sini mencari aku. Kata-kata itu membuatkan aku terpaku. Matanya kutenung. Inilah orang tua bijaksana itu.
Aku pantas bangun. Terasa penat lelah hilang. "Mari ikut aku ke rumah. Kau penat. Bersihkan dirimu. Segarkan dulu lelahmu" katanya lembut. "Baiklah" aku mengiyakan sahaja katanya. Senyuman terukir di wajahnya. Aku ingat dia tua macam Saruman gamaknya. But this one still okay la. Maneda tua! Still good looking kot. Langkah ku atur, membontoti si orang tua bijaksana ke rumahnya.
YOU ARE READING
FRAGMEN
Science FictionEntah berapa lama aku disini. Aku tidak tahu berapa lama perbedaan masa di sini dan di sana. Berapa lama aku lesap menutup mata di sana sebelum aku bangun di sini. Apa tempat ini benar-benar wujud atau hanya fantasi. Sebahagian fragmen pemikiran itu...