Bahuku terasa disentuh perlahan-lahan. Ada satu suara mengejutkan aku. Dia mencuba. Heh bangunla. Maghrib-maghrib mana elok tido awak oii! Wake up now! Bahu aku disentuh lagi. Suara yang sama terngiang-ngiang di hujung telinga.
Mataku buka perlahan. Wajahnya menerpa. Wajah yang tersenyum. Comel la tu dia ingat. Tapi dia sememangnya comel pon masalahnya. Dengan kulit kuning langsat begitu lagilah bertambah-tambah comel. Comel dan nampak kacak bagiku.
"Tidur mimpi apalah tu kan yang tersenyum serupa kambing tak mandi?" Dia menyandarkan tubuh pada sofa disebelahku. Bauan peluh berbaur maskulin menerpa ke hidungku.
"Writing ape ni sampai tertido?" Jejarinya digerakkan pada permukaan iPad di atas meja kopi. "Wah on god and goddesses? I wanna read it!,". Aku biarkan sambil melayan kantuk. Tidur kejap la.
Dewata dan Leluhur Diraja
Asal kejadian alam ini, Hyang Maha Kuasa itu ada melantik para pembantu terpilih untuk membantu menguruskan sekalian pelusuk buana. Pembantu yang dilengkapi keistimewaan tertentu mengikut bidang tugas masing-masing.
Keturunan manusiawi terawal mulai menggelarkan para pembantu ini sebagai para dewata. Dewa dan Dewi. Antaranya mempunyai kuasa yang telah bersatu dengan alam. Mampu merubah bentuk fizikal. Menjadi sebahagian mergastua melata alam manakala sebahagian lagi masih menyerupai insan hamba pacal yang hina. Kelebihan kurniaan yang di atas sana untuk melicinkan proses pentadbiran alam semesta.
Dalam kalangan yang terpilih pula telah diangkat sebahagian daripada mereka yang terlebih dahulu memakan garam mahupun lebih berkaliber untuk menjadi para pemimpin di barisan elit dalam kelompok yang teratas. Raja dan Ratu inilah tinggal di kastil dan istana bersemayam di atas singgahsana terletak elok. Hiasan terindah daripada manikam kalbu dan emas berlian hendaknya dilapisi kain sutera samarinda tenunan halus.
Asal syurga tempat Adam dan Hawa itu jauhnya di hujung cakerawala, begitu juga asal para dewata ciptaan Hyang Maha Kuasa. Di tempat tersembunyi, dimensi yang tersendiri. Jauh daripada batas penglihatan manusia biasa seperti kita yang tidak dikurniakan kelebihan meneroka.
Andai Dewa memerintah bangsa di langit atas sana, di bawahnya Bumi pula adanya Raja-Raja yang membantu, mengawal, sebahagian menjadi Khalifah dan Steward kepada umat yang satu hasil tinggalan banjir besar.
Para Bangsawan (Bangsa Awan) ini mulai mampu merubah bentuk fizikal mereka daripada asal manusia kepada binatang yang akhirnya seperti magis, dianggap dan diangkat suci menjadi simbol kekuasaan dan keberdekatan dengan alam. Menjadi naga penyembur api di Eropah, menjadi geruda menggegar alam Polinesia mahupun harimau di Tanah Hindia.
Bangsa Awan ini kini digelar sebagai Shape-Shifter atas kelebihan mereka mampu mengubah bentuk fizikal. Satu kelebihan kurniaanNya yang akhirnya telah berjaya dipelajari oleh segolongan manusia pencari magis. Laras keilmuan dewata ini telah digunakan untuk menjadikan sebahagian manusia yang rela membayar the price of magic untuk menjadikan mereka lebih berkuasa. Menjadikan mereka sebagai pemerintah, sultan, dan raja.
Di atas sana juga apa kurangnya. Berpecah. Satu mengikut indahnya cahaya ke arah kebaikan manakala sebahagian lagi tenggelam dalam kegelapan syurga dunia yang dicanangkan oleh Thagut. Maka bergegarlah tiang paksi dunia. Satu demi satu kegemilangan peradaban musnah. Sehingga pasak bumi pecah memancutkan air tanpa henti.
Nuh yang diilham kepadanya memacu satu teknologi terakhir lalu mengapungkan tanah seluas benua untuk menyelamat segolongan manusia yang masih suci bersih daripada noda dunia. Sekeping tanah luas yang lengkap dengan ekosistem tersendiri untuk menyokong pelbagai habitat di atasnya sehinggakan gunung-ganang dengan mega membantu mengalirkan sungai-sungai ke laut. Hanyutlah tanah itu mengelilingi dunia berair sehingga satu hari terdampar. Mendarat. Maka keluarlah Nuh daripada bahtera kecil di atas kawasan perbukitan di dalam bahtera seluas benua. Menjejak masa manusia di muka bumi yang baru.
Adapun ribuan tahun berlalu, dewa-dewi ini tetaplah ada. Tidak pernah hilang. Sebahagiannya bersembunyi. Tidak mahu dilihat lagi akan manusia. Membawa diri jauh ke spektrum mereka.
Si Ifrit yang terawal rapat bersama dengan manusia. Walaupun rupanya kelihatan seperti garang bengis lantaran tubuhnya panas bak lahar berapi namun bangsa jin tingkat teratas ini begitu mahir dan dianugerahkan dengan ilmu kejuruteraan termaju. Seringkali meminjam kebolehan mereka dalam pembinaan pelbagai monumen terhebat sejarah ketamadunan manusia. Ifrit inilah yang telah membantu melicinkan pentadbiran Solomon.
Sang Marid merupakan dewata yang paling tinggi tahap ketamadunannya. Acap kali disalah ertikan lantaran raut wajah seiras manusia biasa. Mereka menguasai kepelbagaian cabang ilmu sihir dan magis sehinggakan ada yang dijulang sebagai tuhan dalam tamadun purba saat menjelma dihadapan pawang dan bomoh yang menyeru memohon pertolongan.
Golongan yang ketiga pula mendiami dasar laut terdalam. Mereka ini separuh Jin dan separuh lagi menyerupai hidupan akuatik seperti ikan (duyung) dan sotong. Kemunculan anak Adam meminggirkan mereka jauh daripada daratan malahan seringkali menyerang kapal-kapal yang tersesat ke wilayah lautan mereka.
Si primitif Ghoul sememangnya gasar pemakan bangkai dan mayat. Kebolehan untuk merubah rupa bentuk dimanfaatkan untuk memperdayakan manusia pengembara yang melalui kawasan rayau mereka di hutan tebal, kaki-kaki bukit mahupun gurun panas.
Al-Hin sebesar manusia gergasi dan bersayap. Memilih kehidupan yang sangat misteri walaupun merekalah yang terawal mendiami muka bumi. Bangsa yang begitu unik dan istimewa.
Seterusnya Jan si penyembur api yang merupakan musuh abadi kepada Al-Hin. Mereka mengawal sumber emas di merata pelusuk dunia. Jelmaan pilihan mereka adalah ular gergasi berkaki empat dan bersayap keras bak besi yang tidak lut dek tikaman tombak.
Nenek moyang kepada vampir moden - si Palis selalunya hidup secara solitari di dalam sarang kejauhan di celahan kawasan perbukitan lantaran bencikan cahaya, mereka hanya keluar pada waktu malam untuk menghisap darah segar manusia dan haiwan liar.
The rebel team originated from the Ifrit pula begitu menyanjungi si Iblis telah membentuk ketumbukan soldadu pemberontak untuk meneruskan ideologi songsang tersebut di tanah bumi. Merupakan bangsa yang terkenal dalam semua peradaban silam dan masa kini.
Raksasa Shiq terbina sebesar alam, acapkali digeruni oleh bangsa awan yang lain kerana gemar melakukan berbagai malapetaka dan kerosakan. Gegak gempita tika melangkah, menggegarkan dan memecah tanah sekitar.
Terakhir sekali adalah musuh kepada Ghoul juga. Siklat namanya. Bangsa ini hidup berterbangan di udara, mampu bertukar rupa dan selalu menyamar sebagai manusia. Suka menjelma dalam bentuk entiti yang berada dalam pusaran angin. Si kayangan ini tinggal di puncak gunung tertinggi di bawah awan berserakan.
Wow! What a read. Interesting stuffs over here. Can't wait to read more on this. Dia merehatkan kepala ke sofa.
YOU ARE READING
FRAGMEN
Khoa học viễn tưởngEntah berapa lama aku disini. Aku tidak tahu berapa lama perbedaan masa di sini dan di sana. Berapa lama aku lesap menutup mata di sana sebelum aku bangun di sini. Apa tempat ini benar-benar wujud atau hanya fantasi. Sebahagian fragmen pemikiran itu...