PROLOG

923 51 9
                                    

Menurut kepercayaan masyarakat Korea, rama-rama yang berwarna putih merupakan jelmaan orang mati ~

**********

Seekor beluncas berkeliaran di antara rumput-rumput panjang untuk mencari tempat berteduh. Perjalanannya yang sangat lambat menyukarkannya untuk bergerak.

Awan yang mendung menandakan hujan bakal turun pada bila-bila masa. Semua haiwan telah pun bertempiaran pulang ke rumah. Namun, beluncas masih lagi berada di kawasan padang yang lapang.

Hujan pun rintik-rintik membasahi bumi. Beluncas pula masih lagi mencari tempat untuk berteduh.

Akhirnya, beluncas berhenti di bawah helaian rumput yang panjang yang boleh melindunginya daripada terkena hujan. Hujan yang tadinya renyai-renyai bertukar menjadi lebat. Bunyi guruh jelas kedengaran dan menakutkan semua haiwan. Tiada satu pun haiwan yang berani keluar dari tempat teduhan pada cuaca sebegitu.

Beluncas kesejukan. Walaupun dia telah menjumpai tempat untuk berlindung, kulit-kulitnya tetap tidak dapat menahan kesejukan air hujan itu dan berkemungkinan jua beluncas akan mati kesejukan. Angin pula bertiup kencang dan hampir-hampir saja beluncas tercampak keluar dari tempat lindungannya.

Namun begitu, beluncas kental. Beluncas sanggup melalui penderitaan ini dan langsung tidak berputus-asa. Dia setia berada di bawah rumput panjang itu sehinggalah hujan memberi petanda untuk tidak lagi menurunkan airnya membasahi bumi.

Hujan tidaklah terlalu kejam. Dia tahu tugasnya. Dia pun tahu bila dia akan berhenti. Dia pun bukannya kuat dan dia hanya mampu menurunkan air buat satu tempoh yang tidak lama.

Air di dalam perut awan pun semakin lama semakin kehabisan jua. Ketika air hujan sudah kembali rintik-rintik, barulah beluncas berani keluar dari tempat teduhnya. Alangkah beruntungnya dia apabila dapat melihat pelangi yang berwarna-warna yang mula membentuk di atas langit.

Beluncas pun meneruskan perjalanan mencari tempat tinggal barunya sebelum musim bunga bakal menjelma. Dia berjalan menggunakan kaki-kaki kecilnya melalui atas tanah yang lecak disebabkan air hujan yang diserap terlalu banyak. Walaupun tanah berwarna perang itu mengotorkan tubuhnya yang berwarna hijau, itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencari tempat tinggal.

Hampir seharian dia berjalan tanpa jemu. Usahanya membuahkan hasil tatkala dia terlihat batang pokok bunga yang keras di hadapannya. Dia memanjat batang pokok itu sehinggalah ke ranting pokok.

Beluncas kepenatan dan dia perlukan rehat yang panjang. Kerana kepenatan, dia pun tidur dalam jangka masa yang sangat lama.

Semakin lama, kulit-kulitnya bertukar menjadi sangat keras dan berwarna putih. Bukan sahaja pada tubuhnya tetapi keseluruhannya sehinggalah tidak kelihatan isi-isinya.

Kini, dia bukanlah beluncas.

Dia ialah pupa. Dan sepanjang musim bunga, pupa hanya tidur. Pupa tidak lagi melihat dunia. Tatkala makhluk-makhluk bernyawa mencari makanan, pupa tidur dan langsung tidak bangun.

Disebabkan lenanya yang panjang, pupa tidak dapat melihat bunga-bunga yang mekar. Pupa tidak dapat melihat pokok bunga tempat dia berteduh mengembangkan kelopak bunga berwarna merah jambu. Bunga itu sangat cantik dan kelopak-kelopaknya sangat besar.

Pupa tidak ada kesempatan untuk melihat bunga mekar. Sedangkan bunga itulah yang pupa ingin lihat. Dan bunga itulah yang pupa teringin menghisap madunya.

Sepanjang musim bunga, pupa tidur.

Masa semakin berlalu. Kita sebagai makhluk bumi terpaksa menerima hakikat bahawa masa tidak boleh undur. Tiada kuasa yang dapat mengundurkan masa. Begitu jugalah dengan pupa yang nyenyak tidur tanpa sebarang gangguan daripada musuh.

Musim bunga pun hendak melabuhkan tirainya namun, pupa masih lagi tidur. Tiada sesiapa pun makhluk di atas muka bumi ini ingin mengejutkan pupa. Terlalu lama pupa tidur sehingga pupa tidak tahu apa yang terjadi kepada bunga. Banyak serangga telah menghisap madu bunga kegemaran pupa.

Kini, tiada lagi haiwan ingin mendekati bunga itu lagi kerana tiada lagi madu. Namun begitu, bunga itu seperti tahu bahawa pupa akan bangun juga tak lama lagi. Bunga itu seperti mengerti keinginan pupa lalu dia menyimpan sedikit madu untuk pupa kerana terlalu lama pupa tidak makan.

Tibalah satu hari, pupa akan berjaga setelah terlalu lama menidurkan diri.

Kulit-kulit keras yang menyelaputi tubuh pupa semakin menetas dan menetas. Saat itulah, pupa ingin keluar dari kepompongnya. Pupa sudah bangun. Tidak lama lagi, pupa akan dapat melihat dunia yang sudah lama pupa tidak saksi. Pupa merindui dunia luar.

Kini, dia bukanlah pupa.

Dia ialah seekor rama-rama berwarna putih yang sangat cantik.

Rama-rama sangat gembira. Dengan megahnya, rama-rama mengembangkan sayapnya dan berterbangan di atas langit. Pada masa itulah rama-rama berasa sangat bahagia. Rama-rama dapat melihat dunia luar.

Walaupun rama-rama tiada kesempatan untuk melihat musim bunga, sekurang-kurangnya rama-rama dapat melihat matahari yang mula terpacak di atas langit. Musim panas pun menjelmakan dirinya.

Langit sangat cerah dan suasana yang sangat mendamaikan di kawasan padang yang sangat lapang menceriakan rama-rama. Rama-rama menerbangkan sayapnya ke seluruh tempat sehingga terlupa bahawa bunga masih menantinya.

Setelah penat berterbangan menguji sayapnya, rama-rama duduk di atas bunga yang telah menjaganya sepanjang rama-rama menjadi pupa. Akhirnya, rama-rama dapat merasai madu yang ditinggalkan bunga.

Dan begitulah kitaran hidup rama-rama.

Sedang rama-rama menghisap madunya, satu makhluk mendekatinya dan memerhatinya. Namun begitu, rama-rama tidak mengendahkan dan tidak pula melarikan diri kerana dia tahu bahawa makhluk itu tidak akan mengancam nyawanya.

Rama-rama seakan-akan faham akan perasaan makhluk itu.

Taehyung merenung lama rama-rama itu. Perlahan-lahan dia mengukir senyuman.

AFFLICTIONWhere stories live. Discover now