Warna Baju Yang Lucu

132 6 2
                                    


Kawan saya ajak saya minum petang. Mungkin dia mahu berbual. Saya tidak tahu. Kalau dah namanya manusia, memang perlukan cerita. Panas terik di luar saya redah hanya untuk mendapati teman saya memakai baju dengan imej muka seorang lelaki yang saya pernah kenal. Kamu pernah kenal.

Sid.

Langit kelam, keruh kelabu. Sid berharap hari tidak hujan. Kalau nasibnya baik, dia tidak perlu berbasah malam ini. Sudah dua tiga hari dia basah lencun, lumrah pemilik motorsikal di ibu kota. Sebagai langkah berjaga-jaga, dia berhenti sebentar untuk memakai baju hujan. Suasana pada waktu itu sekali-sekala melayangkan fikirannya kembali ke zaman kegelapan Eropah. Ianya membuat Sid seram sejuk. Namun, dia juga tahu, mungkin hanya zaman itu yang cocok untuk dirinya. Atau, mana-mana zaman lain yang menghalalkan pembunuhan.

Sid bukan pembunuh upahan. Untuk mengatakan dia pembunuh bersiri juga tidak tepat.

Dia membunuh sesuka hatinya, bila dia mahu, siapa dia mahu, di mana dia mahu. Apabila mangsanya dipilih untuk dibunuh, ianya dilakukan tanpa sebarang perasaan prejudis atau benci. Sid bukan penghukum. Sid hanya membalas dendam sekaligus membayar hutang.

Sid pilih, Sid bunuh. Mudah.

Kelebihan Sid sebagai seorang pembunuh ialah Sid seorang yang pembersih. Agak mustahil untuk mendapatkan sebarang kesan atau bukti Sid terlibat di dalam mana-mana pembunuhan. Rahsianya? Sid tidak sukakan darah. Malah, Sid benci semua yang berwarna merah.

Dia bukannya suka membunuh. Tetapi, hanya itu yang mampu dia lakukan dengan baik. Sid tidak relevan dan tidak signifikan. Membunuh buat dia rasa nyata. Sekali-sekala, Sid tulis puisi. Namun, Sid akan menelan kembali tulisan-tulisannya setelah mendapati ianya tidak bermoral. Kata orang, itu penyakit Sid. Sejak kecil. Membunuh, kadang-kadang lebih berakhlak berbanding menulis.

Kata orang lagi, sebab itulah ibu bapa Sid meninggalkan dia. Mereka lebih sanggup mati berjuang untuk Hamid Tuah. Padahal, ibunya sebelum kelahiran Sid, hanya peduli pasal muzik dan gitar.

Sid menolak untuk percaya cakap-cakap orang. Sid, putih beruban rambutnya walaupun masih muda, memilih untuk menganggap yang dia memang sesuai hidup seorang diri dan mati muda. Sid benci sekiranya dia terpaksa mati tua dan hilang tenaga, tapi dia juga tidak menolaknya. Dia bukan seorang perancang. Serahkan apa saja pada dia, Sid terima.

Kebenciannya pada warna merah bermula semenjak dia berjaya melarikan diri dari sebuah rancangan realiti. Ianya memanglah sekadar teori, namun Sid telah membincangkannya dengan Freud. Diskusi itu tidak memberinya apa-apa solusi atau jawapan. Mereka berdua lebih khusyuk menyaksikan filem biru-hitam-putih yang ditayangkan. Pada mulanya, Sid terasa janggal. Dia layankan saja filem itu apabila menyedari ianya mengembalikan memorinya pada Norwegian Wood.

Sid tidak membunuh demi wang. Itu bukan dia. Duit bukan segalanya. Dan kalau segalanya perlukan duit pun, Sid tidak mahu segalanya. Dia hanya mahukan beberapa benda dalam dunia ini, dan duit tidak termasuk di dalamnya. Kertas berwarna hijau, merah, biru itu tidak akan membuatnya terperangkap. Duit hanya simbol untuk mereka-mereka yang mahu minta izin. Sid tidak perlu keizinan sesiapa pun.

Ya, Sid pernah mengambil upah membunuh. Membunuh orang tertentu dengan harga tertentu, adalah peluangnya mengambil kesempatan ke atas kelemahan individu lain. Malah, dianggapnya sebagai mengambil kesempatan ke atas kelompongan sistem. Ya, sistem sesuatu yang baik bagi Sid. Hanya jika sistem itu digunakan untuk kebaikan kita.

Dia ingat lagi, dia dibogelkan di hadapan dunia. Dicampakkan ke dalam sebuah penjara kaca bersama seekor ular besar berwarna hijau. Ada yang kata, ianya naga. Entahlah. Di setiap penjuru, ada kamera. Sid tahu, seluruh kota mentertawakannya.

WarnaWhere stories live. Discover now