5 Bintang Warna Hijau

102 1 0
                                    

Aku berada di kelas darjah 2 Kreatif kerana aku belajar di sini. Di tag nama baju sekolah aku, tersulam nama Razak. Nama aku.

Bila cikgu tiada di dalam kelas, aku dan rakan-rakan sekelas yang lain akan main. Ada yang main kejar-kejar, yang menconteng papan hitam, yang berbual, yang buat kapal terbang kertas dan baling kena kepala orang lain dan yang berlawan pedang menggunakan pembaris panjang.

Aku pula bila ada kesempatan macam ni aku akan melukis. Kawan-kawan aku tak kisah malah ada yang memujiku kerana lukisanku cantik. Mereka cool bila aku melukis sebab melukis itu cool. Bila aku buat benda yang aku gembira, mereka akan turut gembira. Kawan-kawan aku best.

Kadang-kadang bila aku ke depan kelas untuk semak kerja sekolah aku, aku selalu dapat banyak contengan dari pen cikgu yang berwarna merah. Mengikut kata kawan-kawan aku, pen merah tak best dan menunjukkan kerja aku tak best.

Pen yang best ialah yang berwarna hijau dan pen hijau ini hanya digunakan bila cikgu nak bagi bintang pada kerja sekolah kau. Bintang paling banyak kau boleh dapat ialah lima dan bintang paling sikit ialah satu. Semakin banyak bintang kau dapat bermakna semakin bagus kerja sekolah kau.

Ya, macam penarafan hotel.

Suatu hari cikgu telah selak ke muka surat paling belakang buku latihan aku. Ini kerana cikgu cakap jawapan kerja sekolah aku selalu tak best dan dia nak mencari kalau-kalau aku ada menulis jawapan lain atau ada buat jalan kira lain di muka surat lain di buku latihan itu. Namun, apa yang cikgu jumpa di muka surat belakang buku latihan aku adalah Mona Lisa aku, iaitu galeri lukisan aku.

"Lukisan takkan membawa kamu ke mana-mana, Razak," kata cikgu.

Aku terdiam dan menunduk. Bukan pertama kali aku diberi nasihat begitu oleh cikgu, malah cikgu-cikgu lain juga turut sama berkata begitu.

"20 tahun lagi, apa yang akan mengisi perut kamu untuk hidup ialah kemahiran kamu untuk menulis surat-surat rasmi kerajaan," kata guru bahasaku.

"Besar nanti, ramai yang nak ambil kamu bekerja, syarikat swasta terutamanya, bila kamu handal mengira nombor," kata guru matematikku.

"Sains memang susah, tapi kalau kamu pandai sains, nanti bila kamu kerja, gaji kamu banyak," kata guru sainsku.

"Abah nak kamu jadi engineer. Pergi belajar di luar negara, di Kanada. Balik nanti boleh harumkan nama keluarga, nama abah. Hidup senang." Kata abah.

Muka surat-muka surat yang penuh berwarna-warni tu cikgu selak satu persatu. Lepas tu cikgu koyak satu persatu dan buang ke dalam tong sampah.

"Belajar dulu lebih penting, bukan melukis, Razak," kata cikgu lagi.

Aku sedih bila cikgu buat begitu tapi aku tak menangis. Tak tahu kenapa.

Selepas cikgu keluar, kawan-kawan datang memberikan aku semangat.

"Kau lukis cantik."

"Kau warna lawa."

"Kau boleh guna buku aku untuk melukis. Nah." Salah seorang daripada mereka menghulurkan buku kosong kepada aku.

"Don't give up on your dreams, Razak," tutur salah seorang dari mereka dalam bahasa Inggeris.

Lepas tu aku terus peluk mereka ramai-ramai. Mereka memahami aku. Mereka sokong aku untuk buat benda yang aku suka.

**********

Beberapa tahun selepas itu, keputusan akademik aku nampaknya tak boleh membawa aku sambung belajar ke tempat tinggi atau jauh, atau membolehkan aku mendapat kerja dengan gaji yang tinggi.

Tapi skil melukis dan mewarna aku semakin meningkat kerana aku sering berlatih semasa berada di zaman persekolahan dulu. Kini aku telah berada di dunia sebenar yang orang selalu takut-takutkan. Kos sara hidup tinggi di dunia sebenar ini. Aku hidup merempat tapi aku memilih untuk biar passion aku iaitu melukis dan mewarna membawa langkah kaki aku.

**********

20 tahun kemudian...

Aku berjumpa semula dengan cikgu di satu himpunan memprotes kerajaan di tengah ibu kota. Mula-mula aku tak perasan langsung, tapi lepas aku amati dua tiga kali baru aku yakin itu cikgu. Aku berasak-asak dengan rakyat untuk mendekati cikgu. Aku tegur cikgu dan syukur dia masih kenal aku. Aku salam tangan cikgu. Aku cium tangannya yang kedut dan sejuk. Cikgu pegang sepanduk dengan lukisan yang mengutuk keras korupsi sang penguasa negara. Lukisan itu dilukis oleh aku tapi aku hanya senyum dan tak bagitahu cikgu. Begitu juga dengan kebanyakan lukisan lain yang dibawa oleh rakyat yang turun memprotes.

"Tak sangka saya boleh jumpa cikgu kat sini," kata aku.

"Dah lama sangat diorang kenyang kat atas sana. Kita dah tak boleh bagi muka lagi," kata cikgu.

Aku follow tulisan cikgu di blognya walaupun dia menulis dengan nama pena Kesateria Malam. Cikgu menulis cerita-cerita sastera yang mengkritik korupsi sang penguasa negara secara subtle. Kalau cikgu tahu aku gunakan medium lukisan sebagai menunujukkan tanda protes, mesti dia bagi 5 bintang guna pen hijau di muka surat-muka surat belakang buku latihan aku. Tapi hari ini aku tak kisah sangat pasal masa lalu aku, aku rasa aku dah boleh make peace dengan masa lalu aku. Hari ini aku berjuang dengan cikgu untuk kebaikan di masa depan.

"Undur! Undur! Undur!" Laung aku dan cikgu sambil langkah kaki kami mara ke depan.


  Amir Azmi  




WarnaWhere stories live. Discover now