Bunga Perasaan

48 2 0
                                    


Hari ini Juwi keluar daripada rumah dengan wajah yang ceria. Dia mengenakan T-Shirt berwarna kuning. Cardigan hitam disarung, tudung yang juga berwarna hitam sudah terletak elok di kepala. Seluar jeans berwarna kelabu juga sudah tersarung pada kakinya yang agak kurus. Gayanya pada hari itu dilengkapkan dengan sepasang Chuck Taylor berwarna merah terang. Begitulah gaya Juwi setiap kali dia keluar daripada rumah. Juwi tidak pernah ambil pusing tentang bagaimana dia menggayakan penampilannya. Apa sahaja yang berkenan di hati, dia akan sarungkan pada tubuh kecilnya. Biarpun kadang warna-warna yang ada pada tubuhnya mengundang tawa pada bibir manusia yang memandangnya.

Juwi menuju ke taman rekreasi yang berhampiran dengan rumahnya. Sambil berjalan matanya liar mencari bunga yang berwarna kuning. Tidak kisahlah bunga apa pun. Yang penting warnanya haruslah kuning. Biar sama dengan warna T-Shirt yang dipakainya pada hari itu. Langkah kaki Juwi terhenti apabila matanya tertancap pada pokok yang bunganya berwarna kuning. Persis seperti apa yang dia cari. Dengan bibir yang tersenyum Juwi melangkah laju menuju ke arah pokok bunga tersebut. Dipetiknya satu daripada bunga dan diletakkan di atas telapak tangannya.

"Sunflower Dwarf.. cantik!" Kali ini senyuman di bibir Juwi semakin lebar.

Dia sudah jumpa apa yang dia mahu. Jadi sekarang dia mahu cepat-cepat pulang dan simpan bunga tersebut dengan baik.

**********

"Kakak, tadi orang petik bunga ni kat tepi jalan. Tengoklah, cantik!" Kata Julia, adik kepada Juwi yang tiba-tiba sahaja meluru masuk ke dalam bilik tidur Juwi.

"Bunga apa? Malaslah." Juwi meneruskan pembacaannya yang terganggu tadi.

"Alah kak.. tengoklah dulu! Orang tak tahu nak kongsikan rasa teruja ni dengan siapa," cebik Julia. Dia melemparkan pandangan simpati kepada Juwi. "Tak nak tengok sudahlah. Orang keluar dulu."

Tiba-tiba Juwi seperti baru tersedar daripada lamunan panjang. Dia menutup novel yang dibacanya dengan kasar sehingga membuatkan Julia terkejut.

"Bunga tu warna apa dik? Bak sini bagi akak tengok." Juwi memandang wajah Julia, serius.

"Kau kenapa kak? Tiba-tiba je. Terkejut orang tau!" Julia menghulurkan bunga yang di maksudkannya kepada Juwi.

"Bunga kertas je?" Juwi mengeluh dan merenung Julia dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.

"Cantiklah kak. Kau tengok tu warna purple dia, tak macam yang biasa kita tengok. Yang ni warna dia pekat sikit. Cantik kan? Kau tak suka dah la," balas Julia yang bengang terhadap respon yang diberi oleh kakaknya.

"Tak, bak sini. Biar akak simpankan. Akak akan simpan elok-elok. Esok, kau bawak balik bunga warna biru pulak eh?" Pinta Juwi kepada adiknya.

"Kau ni macam-macamlah kak. Yelah. Kalau aku jumpa."

**********

Seperti yang dijanjikan, hari ini Julia membawa pulang bunga berwarna biru yang dilihatnya di kebun tepi kantin sekolah; "Nah kak, bunga Telang. Warna biru kan kau nak?"

Pada setiap hari yang berikutnya Juwi akan meminta adiknya Julia untuk membawa pulang bunga dengan warna-warna yang diminta. Kalau dihitung semua sekali bunga yang ada, enam warna. Termasuklah dengan bunga berwarna kuning yang dipetiknya di taman rekreasi tempoh hari. Kelihatan bunga-bunga yang dikumpul olehnya sudah mulai layu. Dia tidak boleh berlengah lagi.

"Dik, esok kau tak payah petik bunga lagi. Biar akak yang cari sendiri. Thanks eh tolong akak untuk lima hari ni? Lagipun esok kan kau cuti. Nanti akak belanja kau Mc Flurry." Julia hanya mengangkat keningnya tanda terima kasih diterima.

Juwi memandang satu persatu bunga yang ada di hadapan matanya; 'Sabar. Aku tak akan seksa kau terlalu lama.'

**********

Hari ini Juwi keluar daripada rumah dengan wajah yang serius. Dia mengenakan T-Shirt berwarna merah. Cardigan hitam disarung, tudung yang juga berwarna hitam sudah terletak elok di kepala. Seluar jeans berwarna kelabu juga sudah tersarung pada kakinya yang agak kurus. Gayanya pada hari itu dilengkapkan dengan sepasang Chuck Taylor berwarna merah terang. Begitulah gaya Juwi setiap kali dia keluar daripada rumah. Juwi tidak pernah ambil pusing tentang bagaimana dia menggayakan penampilannya. Apa sahaja yang berkenan di hati, dia akan sarungkan pada tubuh kecilnya. Biarpun kadang warna-warna yang ada pada tubuhnya mengundang tawa pada bibir manusia yang memandangnya.

Bunga Daisy merah dipetik. Bunga kesukaannya. Juga warna kesukaannya. Langkah kaki di atur perlahan menuju pulang ke rumah. Berbeza sewaktu dia memetik bunga Sunflower Dwarf tempoh hari di mana dia terlalu ingin segera sampai ke rumah. Setelah sampai, dia terus menuju ke bilik dan mengambil bekas yang telah pun di isi dengan bunga yang pelbagai warna. Cukup tujuh warna kesemuanya. Kuning, ungu, biru, indigo, hijau, jingga dan merah.

Bunga yang paling segar sudah tentulah yang berwarna merah. Yang paling layu pula sudah tentulah bunga yang berwarna kuning. Ya, begitulah seterusnya. Juwi tersenyum sinis.

'Agaknya, macam ni la perasan kau pada aku kan? Setiap hari makin layu. Makin lunyai. Makin pudar dan makin tak ada warna.' Telapak tangan Juwi menggenggam kesemua bunga yang ada. Dengan perlahan dia meramas bunga-bunga tersebut sehingga semuanya menjadi layu, lunyai dan berwarna kotor, gelap.

'Terima kasih permainkan perasaan aku selama ni, kekasih. Bunga-bunga ini mewakili hati aku. Yang pada awalnya penuh dengan warna-warna cinta dan entah kenapa terlalu sukar untuk aku tukarkan warna-warna tersebut menjadi satu warna, hitam. Dan aku akan pastikan perasaan aku terhadap kau akan layu, lunyai, dan hilang warna sama seperti bunga-bunga ini. Sama seperti perasaan engkau terhadap aku.' Genggaman tangan Juwi semakin kuat, jantungnya berdegup kencang dan tanpa disedari air matanya mula bergenang.

Bunga-bunga yang sudah tiada rupa dan warna itu dicampak ke luar tingkap oleh Juwi bersama satu senyuman sinis. Degupan jantungnya mula perlahan. Nafas dihela dengan mata terpejam. Tenang, cukup tenang. 'Matilah segala warna perasaan. Jangan pernah kembali lagi.'

Kadangkala, warna yang kita lihat cantik pada pandangan mata kita tiap hari, tak semestinya akan kekal cantik warnanya. Samalah juga seperti perasaan engkau dan aku, yang tak semestinya akan kekal begitu perasaannya.


Fatyn Fauzie  





WarnaWhere stories live. Discover now