Warna-warna yang Terdapat di Pekan

99 6 1
                                    

Di pekan ini, kami hanya kenal dua warna; putih dan hitam. Dan, kami okey. Itu cara kami. Sekurangnya kami tak menganggu orang lain. Lagipun, warna-warna lain yang berjuta bilangannya itu tidak signifikan kerana semua penduduk pekan ini sama ada buta atau buta warna.

"Semuanya okey saja sebelum dia ke sini," kata Nyonya Lola. Dan kata-kata itu dipersetujui semua penduduk pekan. Tidak boleh tidak, wanita itu mesti dihalau dari pekan ini. Kami tidak peduli dia ahli sihir atau tidak. Malangnya, kami takutkan wanita itu. Entah kenapa. Mungkin fesyen merah jambunya buat kami percaya dia mampu melakukan apa saja.

Bayangkan, kawasan perumahan kami, yang selama ini kami jaga, semua rumahnya berwarna putih. Tiba-tiba, orang baru ini, datang dengan tidak diundang, mengecat rumahnya dengan warna kuning.

Habis cacat pekan kami. Bala datang menimpa-nimpa.

Anak-anak kami sudah mula tidak mendengar cakap-cakap kami. Malah, mereka melawan. Mereka telah mula menggunakan pen berdakwat biru dan merah. Tidak lagi mahu memakai baju putih berseluar hitam. Mereka pakai baju merah, hijau, kelabu, kuning, jingga. Sebut kesemuanya.

Satu-satunya peraturan kami, yang selama ini kami jaga, dibuang dan dipermainkan begitu saja oleh anak-anak muda setelah kedatangan dia.

Kata Cikgu Abu, wanita itu seorang pengembara. Saya mengesyaki Cikgu Abu sudah menjadi follower wanita itu di Instagram. Kalau tidak, dia tidak akan tahu latar belakang wanita itu. Tapi itu tidak penting.

Baru-baru ini, dia memasang lampu dengan warna pelangi. Kami tidak mampu menghalangnya. Itu rumah dan tanahnya. Dia memang ada hak untuk buat apa saja yang dia mahukan. Kami tahu. Tapi, itu tidak menghalang kami membenci wanita itu.

Banyak ura-ura atau gosip tentang wanita ini. Saya pun tidak pasti yang mana betul, yang mana pula yang salah. Ianya membingungkan. Isteri saya kata ianya mengingatkan beliau pada politik. Yang mana orang baik, yang mana pula yang jahat. Mengelirukan.

Politik tidak mengelirukan saya. Saya berlepas tangan daripadanya. Kalau perlu, saya akan menghadapinya bagai anak jantan.

Tapi, setakat ini, politik tidak pernah mengetuk pintu rumah saya. Mungkin dia tahu, saya tidak peduli tentangnya. Atau, politik tidak menjenguk orang miskin macam kami? Yang selalu ketuk pintu rumah saya ialah ekonomi. Selalunya, di pertengahan bulan. Macam celaka.

Disebabkan isteri saya seorang pelukis, dia tidak pernah betul-betul bersetuju dengan peraturan hitam-putih yang pekan kami kuatkuasakan. Itu sedikit sebanyak menakutkan saya. Saya tidak mahu isteri saya turut terbabit dalam konflik ini. Tapi, isteri saya berterusan menegaskan kepada saya bahawa Siti perlukan pembelaan. "Dia tidak bersalah," ujar isteri saya.

Saya kucup dahi isteri saya dan kami masuk tidur selepas itu. Malangnya, saya tidak dapat lena. Isteri saya berjaya membuatkan saya terfikir mungkin ada benarnya Siti memerlukan seorang hero. Dan, saya harap ianya bukan saya. Saya enggan menjadi wira. Jangan beri saya apa-apa kuasa adiwira, ianya menjengkelkan.

Esok pagi, kami bangun dan mendapati Siti sudah mati. Tidak cukup dengan rumah, dia warnakan jalan kami dengan darahnya; merah.

Isteri saya selepas itu terus berhenti melukis. Dia malah langsung tidak balik-balik rumah. Dia mengabdikan dirinya menjadi polis trafik. Kata dia, dia tidak mahu seorang lagi manusia baik terbunuh di jalanraya.

Sejak isteri saya tidak balik rumah, saya pula berterusan mewarna lukisan-lukisannya. Saya pinjam dari rumah Siti. Ambil. Curi. Apa sajalah. Lagipun dia memang berhutang dengan saya. Hingga dia mati pun dia menyusahkan saya. Hah, lihatlah isteri saya. Bagaimana keadaannya?

Inilah keadilan. Saya percaya, saya hanya mengambil semula apa yang Siti ambil dari hidup saya. Warna.

Afiq Rostam  




WarnaWhere stories live. Discover now