Buta Dengan Warna

64 4 0
                                    

Buta Dengan Warna


Kabur.
Sukarnya hidup berpandu hanya warna.
Warna tanpa garisan.
Mampu meneka ikut hati dan rasa.

Jariku meraba merata-rata, mencari kanta berharga. Alamak, aku lupa. Kelmarin aku sudah upah si tauke kedai kacamata untuk tambah power, semakin tinggi darjah kerabunanku. Mahu tak mahu, terpaksalah aku berpuas hati dengan daya penglihatanku sekarang. Aku bukanlah rabun sangat, tapi cukup rabun hingga ragu sama ada nun di sana itu sekadar kain putih di ampaian, atau jembalang tengah melepak. Berdetik keras jam merah di sebelah katil kayu coklat, aku dahulukan kakiku mengucup lantai marmar putih berkilat. Selimut biru lembut aku ketepikan; tugasnya memeluk aku tiap malam sudah selesai. Bingkas bangun, badan!

Perlahan kakiku melangkah mendekati bangku biru seakan uniform pengawas sekolah rendah. Di situ aku selalu gantungkan tualaku tiap kali usai mandi. Ada warna yang aku kenali bersangkut; biru dan sedikit kuning. Jari mencapai, dan terasa lembutnya tuala perangkul sejati badanku tika basah. Ingin pula mencurang dua tiga kali memakai jubah berbulu hangat namun apakan daya, harganya terlalu tinggi untuk aku bayar. Jubah biru laut, berbunga citra putih dan kuning. Pasti molek aku peraga depan kembarku di atas cermin berbingkai merah gelap yang sudah bapaku sedia.

Pintu jingga kubuka, dan sekali lagi aku menyeret badan ke kamar mandi yang siap dicat warna hijau lembut. Kata ibu, jika ingin tampak luas satu-satu ruangan rumah maka haruslah dicat dengan warna lembut. Aku rasa ada betulnya. Cantik lagi indah. Tambah lagi dengan aksesori tab mandi serta pancuran air, segalanya putih berseri. Hadirnya wangian lavender ungu meliputi ceruk kamar menyempurnakan satu lagi pagi dalam hidupku.

Selepas berendam hampir sejam lamanya, bertuala paras dada dan satu lagi tuala kecil berlingkar atas kepala, aku mencongak jam berapa aku harus bertemu si penjual Qu Puteh. Jam 2 petang? 3 petang? Tanganku mencapai iPhone 6s Rose Gold yang baru bapa belikan minggu lalu. Ibu pula berikan aku sebuah tas tangan berjenama, gelap biru warnanya. Aku lebih suka emas tapi biru masih lagi boleh aku terima. Jangankan kuning, apatah lagi terang lagi semacam cahaya matahari. Tidak, tidak.

Almari pakaianku hampir dua depa besarnya, dan pelbagai warna sudah aku kumpul. Hari ini aku ingin bertema warna apa ya? Merah mengoda? Putih suci? Jambu lembut? Ahh.. aku harus meminta pendapat temanku si Kim K. Ini satu permasalahan berat bagiku, kerana penampilan itu sangat penting.

U.. u think what should I wear?
Read at 11.03 am

U pakai je yang u and Jason beli tempoh hari

Ye.. I lupe dah tau!
Read at 11.11 am

Hihi. Ape je yang awak ingat? Buah hati je.

Eleh, u pun the same ler.
Delivered

Jason si tampan kulit sawo matang. Misai sedikit lebat tapi aku tidak kisah. Yang penting, hari ini hari jadinya dan aku harus cantik bak bidadari siang dan malamnya. Bidadari yang ayu di siangnya, bidadari menggiur di malamnya. Hanya untuk dia, aku rela.

Stop day-dreaming, mind! Aku mesti siap sebelum bapa datang dan bertanyakan aku soalan yang sama dari malam tadi.

[Malam tadi]

Bapa: Esok bapa nak buat hari keluarga untuk kita. Nis tak ke mana-mana kan?

Aku: Err.. tengoklah dulu pa.

Bapa: Kenapa?

Aku: Sebab ...

Bergetar jiwa terlihat nama Jason.

WarnaWhere stories live. Discover now