Perlahan-lahan dia mengatur langkah di antara garis putih yang ditanda. Mentari jingga pagi itu mengucup epidermanya memberi kehangatan dalam kedinginan hati dia yang biru merindui lelaki yang meninggalkan dia pergi. Rana yang sentiasa berpakaian serba hitam memerhati kelibat seorang budak perempuan yang sedang main seorang diri di tepi taman permainan kosong itu. Ada yang pelik tentang budak itu, fikir Rana. Dia nampak sesuatu tertampal di belakang badan budak perempuan itu, berbentuk seperti sayap yang sedikit terkoyak di bahagian atas sebelah kanan. Rana mendekati budak perempuan tadi.
"Buat apa kat sini? Kau jauh sangat daripada rumah kau ni, budak!" tegas nada suara Rana. Budak perempuan itu hanya tersenyum dan terus bermain-main dengan tongkat sakti di tangannya, membentuk sebuah buih yang menyerupai seekor burung flamingo. Rana memerhati gelagat budak tadi, dan sayap lutsinarnya yang dihiasi debu kilat berwarna-warni yang sedikit terkoyak seperti sengaja dikoyakkan. Rana tahu budak perempuan itu dalam kesakitan, tapi dunia ini mana ada hospital yang boleh membaiki sayap.
"Aku tanya ni, kau buat apa kat sini? Ni sayap koyak ni, apa dah jadi?" Budak perempuan menoleh ke arah Rana, senyum, tapi tidak terus menjawab pertanyaan Rana.
"Boleh saya ikut kakak balik? Saya penatlah, kakak. Saya nak berehat sekejap, tapi kat taman ni bahaya kalau saya nak tidur." Rana serba salah dengan permintaan budak perempuan itu. Ikut hati, Rana memang mahu membantu budak itu, tapi dia sendiri dalam kesusahan.
"Aku nak bawa kau balik rumah pun, aku mana ada rumah. Lepas ibu aku mati, aku dengan ayah tidur di hotel. Dua hari lepas, ayah lari tinggalkan aku. Sebab apa, aku pun tak tahu. Macam nilah, kau tidur je, aku tolong jaga kau sementara kau tidur. Lepas tu kita fikir apa kita nak buat."
Budak perempuan itu cuma mengangguk. Rana dan budak perempuan bersayap itu berjalan ke arah pondok cendawan dalam taman permainan itu. Sementara budak perempuan itu tidur, Rana memerhati sekeliling, kalau-kalau ada yang mahu mengganggu lena budak perempuan itu. Ketika memerhati sayap budak perempuan dan tongkat sakti yang dia peluk ketika tidur, Rana mendapat satu idea. Selepas budak perempuan bersayap bangun, Rana terus memberitahu ideanya kepada budak perempuan itu.
"Okay. Kakak nak sayap warna apa? Saya rasa sayap warna hitam sesuai untuk kakak, tapi...." Riak muka budak perempuan itu berubah keruh.
"Tapi apa? Aku memang suka warna hitam. Cepatlah kasi aku sayap dengan tongkat sakti kau tu!" Rana tidak sabar untuk memiliki sayap di belakang badannya. Macam-macam perkara dia sudah fikir untuk dia lakukan jika dia dapat terbang. Budak perempuan tadi kelihatan berat hati.
"Tapi sayap hitam hanya untuk pari-pari jahat yang suka buat manusia sedih," budak perempuan tadi bersuara. Rana menjadi gembira mendengar penjelasan budak perempuan bersayap itu.
"Tak apa. Kau bagi je aku sayap warna hitam. Aku tahulah nak buat apa nanti. Aku dah tolong jaga kau masa kau tidur, kali ni, kau kena tolong aku."
Rana sudah tidak sabar lagi. Dia mahu merobek hati-hati manusia yang sedang bergembira dengan ayah mereka. Dia mahu semua anak perempuan merasa sedih bila kehilangan bapa mereka. Rana mahu perempuan-perempuan di dunia ini menyimpan dendam dengan lelaki. Budak perempuan bersayap tadi mengangkat tongkat saktinya dan menghalakan tongkat itu ke arah belakang badan Rana. Dia memejam matanya rapat-rapat sebelum membaca sebaris ayat dalam bahasa asing. Tongkat tadi mengeluarkan cahaya berwarna ungu, lalu memancar ke arah belakang badan Rana. Rana berasa sakit seperti ada sesuatu yang sedang mencakar-cakar belakang badannya. Rana cuba bertahan dengan kesakitan itu walaupun dia rasa seperti mahu pengsan. Dia tahu ada sayap yang sedang tumbuh di belakang badannya. Rana perlu kuat untuk mencapai cita-citanya membuatkan manusia bersedih.
Kesakitan yang Rana tanggung tadi terasa berbaloi setelah dia melihat ada sayap hitam di belakang badannya melalui refleksi air yang bertakung di atas lantai simen taman itu. Dia menoleh ke arah budak perempuan bersayap tadi. Budak itu terbaring di tanah dan kelihatan penat seperti sudah kehabisan tenaga. Rana tersenyum puas.
Dia berjalan perlahan ke arah budak perempuan bersayap itu, "Tidurlah, budak. Aku tahu kau pari-pari yang akan bahagiakan sesiapa yang kesedihan. Terima kasih korbankan diri kau untuk bagi aku sayap. Aku akan guna sayap ni sebaik-baiknya. Pejamlah mata kau, budak. Tidurlah dengan tenang. Tak ada sesiapa yang dapat sakitkan kau lagi lepas ni." Rana mengucup dahi budak perempuan bersayap yang hampir mati.
Rana terbang dengan sayap hitamnya, menuju ke sebuah rumah yang diduduki sebuah keluarga bahagia. Dia mahu merobek hati anak perempuan keluarga itu, menceritakan bagaimana ayahnya meniduri isteri majikannya ketika dia dan ibunya sedang membeli barangan dapur setiap pagi Ahad. Dia mahu anak perempuan keluarga itu membenci ayahnya. Sayap hitam Rana akan melindungi anak perempuan keluarga itu dari terus mencintai mana-mana lelaki. Rana puas. Dia mahu semua orang merasa sedih kehilangan ahli keluarga, seperti yang dia sedang rasa.
Anan Al-Yahya