1. Jalan Terakhir

1.1K 45 1
                                    

"Aku kata keluar!" Jerit Arif dari luar bilik.

Dini duduk di penjuru bilik itu sambil menyemban muka pada kedua-dua lututnya. Air matanya mula membasahi kain batik lusuh bercorak bunga melati kepunyaannya. Kain batik yang menjadi saksi dia diperhambakan oleh suaminya sendiri. Lidahnya kelu. Dia tidak mampu menyahut laungan Arif yang kedengaran seperti ngauman singa. Mereka hanya dipisahkan oleh pintu kayu yang berketebalan tiga sentimeter.

Tok! Tok! Tok!

Pintu diketuk kasar. Jantung Dini berdegup kencang seolah-olah mahu meletup, lalu meninggalkan dirinya tidak bernyawa. Dengan sifat kebinatangan Arif, dia tahu pintu itu bakal dipecahkan pada bila-bila masa sahaja. Esakannya mula kedengaran. Pada siapa dia mahu meminta pertolongan saat ini?

"Kau ni kenapa Dini? Aku kata keluar kau keluar lah!"

Dini memberanikan diri menuju ke daun pintu kamar beradu mereka. Ditahan dirinya dari memulas tombol pintu itu. Syaitan durjana itu tidak boleh dibiar meloloskan diri semudah itu.

"Abang ni kenapa? Abang nak apa?" Laung Dini. Ada getaran di hujung suaranya. Ketakutannya bercampur baur dengan amarah.

"Kau jangan buat-buat tak faham! Aku tahu kau tak bodoh!"

"Abang, cukuplah menyeksa saya. Saya ni Dini, isteri abang. Kenapa buat saya macam ni?" Rayu Dini mengharapkan hati Arif akan lembut. Namun dia tahu, tiada apa yang mampu melembutkan hati suaminya.

"Sebab kau isteri aku lah kau kena layan aku! Kau nak jadi isteri derhaka ke? Tak nak dengar cakap suami?!" Jerit Arif. Suaranya semakin meninggi.

"Abang, tolong lah sedar abang. Tolong lah berhenti menyeksa saya. Seorang isteri tidak berhak dikasari oleh suaminya. Abang lupa ke?" Tangisan Dini semakin berlagu. Terhincut-hincut bahunya menahan esakan.

"Kau jangan nak ajar aku! Aku belajar lebih tinggi dari kau! Setakat lulusan SPM kau tu, jangan ingat kau boleh ajar aku! Buka pintu ni sebelum aku terajang! Kalau aku dapat buka, memang mati kau aku kerjakan!"

"Saya rela mati dari terseksa hidup hidup!"

"Kau degil kan Dini? Kau tunggu!"

----------

Arif yang dikenalinya sebelum kahwin amat lembut dari segi bahasa dan tingkah laku. Dia tidak pernah berkasar apatah lagi mahu meninggikan suara. Jika ditanya dia adakah Arif merupakan lelaki idamannya, dia akan berkata ya dengan penuh yakin. Ciri-ciri suami yang dicarinya ada pada Arif.

Namun, pilihan yang dibuatnya tidak tepat. Dia salah perkiraan. Pada malam perkahwinannya, Arif berubah sekelip mata. Bagaikan dilahirkan semula, dia menjadi seorang yang bengis dan suka bertindak kasar – ibarat ada syaitan yang memilih tubuh badannya untuk menjalankan perbuatan keji.

Pada malam pertama dia dan Arif, suaminya itu memujuk dia untuk mencuba hubungan kelamin yang ganas. Pada mulanya, Dini, seorang yang naïf, menganggap perkara itu merupakan perkara yang normal dalam rencah rumah tangga. Jadi, dia pantas sahaja bersetuju dan memenuhi kehendak Arif. Dia tidak mahu digelar isteri derhaka pada malam pertama mereka. Seboleh-bolehnya, Arif akan dilayan sebaik mungkin.

Kaki dan tangannya diikat menggunakan tali sawat. Setiap satu anggota diikat pada setiap hujung katil ibarat mahu disalib. Dia masih lagi berpakaian penuh. Selepas diikat kemas, Arif mengeluarkan gunting bertangkai hitam dari laci bersebelahan katil. Kemudiannya, Arif merangkak ke atas katil dan menuju ke arah Dini secara perlahan-lahan. Dini yang masih bersangka baik hanya tersipu-sipu memandang gelagat suaminya. Dia langsung tidak menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya.

TulisWhere stories live. Discover now