2. Kejutan

1.4K 26 0
                                    

Hari ini aku berdiri di atas pembahagi jalan, merenung ke arah bangunan tinggi putih lima tingkat itu. Entah berapa saat, minit, dan saat sudah aku habiskan dengan berdiri dan merenung. Kaki aku seakan-akan tidak mahu bergerak, melangkah, dan menghampiri struktur konkrit itu.

Ah, rumit sungguh isu malam ini. Hendak aku lari, aku tidak mampu. Hendak maju juga aku tidak tahu. Apa yang aku harus lakukan sebenarnya? Lari, maju, atau kekal di sini merenung tanpa berbuat apa-apa?

Satu keluhan berat aku lepaskan. Fikiranku menerawang kembali kepada waktu dua jam yang lepas.

🕯🕯🕯

Sedang aku terbaring dengan bantal peluk di dada, memikirkan hal-hal masa depan, telefonku berdering. Sekali, dua kali, dan tiga kali, panggilan itu aku biarkan tidak dijawab. Setelah panggilan ketiga, aku ambil telefon bimbit yang dijadikan inti di antara katil dan bantal tidurku.

3 missed calls from Mama.

Ah, apa yang Mama mahu setelah seronok memusnahkan hidup aku? Dia merupakan seorang wanita yang mempunyai kerjaya yang hebat dan gah di mata orang sekelilingnya. Dan dia juga mahu aku jadi sepertinya, belajar tinggi-tinggi dalam bidang profesional, supaya aku akan dipandang tinggi, setinggi Everest.

Tapi apa maknanya jika aku tidak berminat dalam bidang ini? Aku seperti mayat hidup, bergerak dalam dunia yang aku tidak kenali dengan jiwa yang sudah mati.

Aku matikan telefon bimbitku dan selitnya di bawah bantal kembali. Kemudian, aku bingkas dari pembaringan, membawa diri ke pintu bilik. Tiba-tiba sahaja perutku berkeroncong. Mungkin dia mahu diisi, sebagai satu alasan yang boleh aku cipta untuk menjawab pertanyaan kenapa aku tidak menjawab panggilan telefon Mama nanti.

Dompet berkulit tiruan yang berada di atas meja solek aku capai dan pegang erat. Dompet ini pemberian Papa, seorang lelaki yang aku jadikan contoh untuk berjaya. Tapi sayangnya, Papa sendiri tidak mampu melawan kata Mama. Ah, rumitnya sebuah perkahwinan! Jika isteri mampu mengawal suami seperti ini, aku tidak mahu berkahwin. Biarlah aku bujang hingga ke tua. Aku tidak peduli asalkan hidupku tidak diatur-atur seperti waktu ini.

Aku fikir, lebih baik aku habiskan sahaja masa 4 tahun aku yang berharga ini untuk memuaskan hati Mama, berikannya segulung Ijazah Undang-undang, kemudian jalani hidup yang aku impikan sebagai seorang pelukis.

Aku sudah tiba di Kafe Baiduri, sebuah kafe yang menyediakan makanan-makanan dengan harga yang mencekik manusia-manusia yang kering dompetnya. Aku? Aku makan sahaja di sini tanpa pedulikan harganya. Kalau wang yang diberikan MARA susut, aku boleh puasa sunat. Dapat juga pahala kan?

Kertas putih yang sudah dipotong kecil-kecil aku ambil. Pen yang penutupnya sudah lesap aku ambil sekali. Menu Nasi Goreng Cendawan Butang aku tulis dan masukkan ke dalam bakul plastik berlubang kecil. Harganya enam ringgit dan aku masih ok - buat masa sekarang.

Aku memilih untuk duduk di hujung kafe, jauh dan agak tersembunyi. Aku malas mahu bertemu pelajar lain sebenarnya. Aku tak ada mood.

Baru sahaja melabuhkan punggung, mata aku terpandang pada Aizat yang sedang berlari ke arah aku dengan laju. Wajahnya cemas, keringat di dahinya dibiarkan mengalir dari pangkal dahi ke hujung dagu.

"Amir!" Tegurnya, memegang bahu aku sambil memperbetulkan pernafasannya. Dadanya berombak-ombak.

"Apa dia?"

"Mana telefon kau? Aku call tak dapat."

"Ada dalam bilik. Tak ada bateri kot. Kenapa?" Aku terpaksa menipu. Aku malas mahu bercerita tentang Mama padanya.

"Mama kau call aku tadi." Pendek-pendek sahaja ayat yang digunakan Aizat. Dia masih kelihatan mengah.

"Kenapa dia call kau?"

TulisTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang