Kes 8

2K 57 2
                                    

         

KES LAPAN

BALASAN JASA PENYELAMAT

"BAGAIMANA kau boleh mudah-mudah ceraikan dia, Aslan?" tanya Kara sedang aku menggaru-garu hidung yang tiba-tiba terasa gatal.

"Dia yang nakkan sangat perceraian tu," ujar aku.

"Tapi kau sepatutnya fikirkan anak kau, As."

"Dia bawa lelaki itu dalam berpegangan tangan, Kara. Mereka pandang wajah sesama mereka dengan penuh kasih sayang. Apa aku ni masih layak dipanggil dayus lagi ke untuk menceraikan dia?" tanya aku, masih cuba untuk bertenang. Sekarang Kara baru terkejut mendengarkan perkara yang sekian lama dah membuat aku jijik itu.

"Maaf, Aslan. Aku tak tahu."

"Budak tu... dia tahu bagaimana untuk melayan perempuan. Huh." Aku tertawa. "Tapi menduda juga sampai dua kali. Aku benar-benar harap dia takkan kembali menjadikan Mina sebagai janda lagi."

"Sejak bila lagi Mina rapat dengan dia?"

"Mereka bekerja bersama selepas Afwan memasuki umur satu tahun. Dan keadaan mula berubah apabila aku memulakan penyamaran terakhir aku di unit siasatan narkotik. Hampir setahun aku berulang-alik ke sana ke mari. Kadang-kala beberapa lelaki dadah datang ke rumah cari aku, Mina cari budak Azli itu untuk berlindung. Aku tak tahu, Kara. Ini mungkin silap aku juga."

Kara menarik nafasnya. "Aku betul-betul tak tahu yang begitu sulit permasalahan kau."

"Masalah hubungan aku dan Mina dah pun selesai. Yang aku risaukan kini, adalah hak penjagaan Afwan. Mina jelas-jelas lebih layak mendapatkan hak penjagaannya. Tapi..."

"Tapi setiap ibu dan setiap bapa juga menyayangi anak mereka kan, Aslan. Kau sanggup pisahkan Afwan dengan ibu dia?"

"Tak. Tak, Kara, sebab itulah aku benarkan Mina mengambil hak penjagaan terhadap Afwan. Tapi aku tetap bimbang jika... kau tahulah keputusan aku ni, salah..." jawab aku sambil memandang wajah Kara.

"Jangan bimbang, Aslan, aku pasti yang Mina takkan memisahkan perhubungan kamu berdua."

"Ya. Aku mendoakannya."

"BAGAIMANA dengan keadaan Afwan sekarang, detektif? Saya dengar dia demam?" tanya Dr. Mia sebaik dia terserempak aku di kaki lima hospital. Aku tersenyum pahit kepadanya.

"Denggi... doktor."

"Denggi lagi, dalam masa 4 bulan?" tanya doktor muda itu dengan kagum.

"Tolong, doktor, jangan bocorkan hal ini kepada bekas isteri saya. Dia pergi berbulan madu ni pun dengan perasaan berat hati untuk melepaskan Afwan," ujar aku memohon simpati daripada Dr. Mia.

"Kamu kena betul-betul uruskan mengenai tempat pembiakan nyamuk di rumah kamu, detektif. Jangan hanya tahu membasmi jenayah sahaja," tempelak Dr. Mia. Aku senyum kelat. Kerusi di kaki lima itu aku duduki.

"Kadar jenayah semakin meningkat sekarang, doktor. Manusia, makin tidak berperikemanusiaan," ujar aku dengan suara yang perlahan.

Dr. Mia terdiam mendengar kata-kata aku. Kepalanya kemudiannya diangguk-anggukkan dan dia menguntumkan senyum. "Sebab itulah kami amat berterima kasih kepada polis di seluruh Malaysia. Kamu tidak berbelah-bahagi dalam memberikan khidmat untuk negara."

Aku tak bermaksud untuk menerima sogokan daripada pujiannya itu. Tapi kalau kata-kata itu ikhlas, aku suka menjadikannya pemangkin bagi kami, polis untuk terus menegakkan keadilan bagi negara.

GINJAL - sebuah novel Bali BaimWhere stories live. Discover now