KES EMPAT BELAS
CANTIK CACAT DAN HODOH
SUDAH dua bulan sejak kali terakhir aku ke rumah Kapten Bashar dan mengamuk di sana. Disabitkan dengan kesalahan mengacau ketenteraman awam, dan digantung kerja untuk tiga bulan. Sekarang ni aku hanya mampu memfokuskan kepada obsesi aku dengan kes Pembunuh Malam itu.
Rumah aku sudah sebulan langsung tak dikunjung orang. Mina juga sudah melarang Afwan daripada menjenguk aku. Obsesi aku terlalu jelas. Dan dia menjadi takut dengan apa yang bakal tinggal dalam ingatan anaknya mengenai aku sewaktu kecil adalah aku yang 'gila'. Ya, dia terlalu menjaga Afwan. Dan dia lebih obsesi terhadap penjagaannya itu berbanding dengan obsesiku. Itu yang aku rasakan.
Tapi, dia bagaimanapun ada hak untuk berobsesi begitu. Anak baginya adalah sebuah saham yang sepatutnya menyenangkan hatinya, dan memberi kegembiraan dan kejayaan kepadanya. Itu adalah pilihan dia. Dan aku tidak mahu menghalangnya selagi apa yang dia mahukan itu ianya tidak memudaratkan Afwan.
Ring!!
"Ya, Kara," jawabku, sambil terus mencucuk pin kuning itu ke papan peta.
"Kau di mana, Aslan?" soal dia, kebimbangan.
"Di rumah."
"Kau... sedang buat apa?"
Aku terdiam dan mula menjatuhkan pandangan aku daripada papan peta itu.
"Kau tahu sesuatu, Kara?" soalku, perlahan, dan Kara diam untuk seketika.
"Tahu apa, Aslan?"
"Aku tak rasa kita berada di jalan yang sebenarnya."
"Aslan... adakah kau masih lagi..."
"Aku tahu yang kau takkan faham, Kara."
"Aslan. Kes ni dah tak ada kena-mengena dengan kau. Kau harus biarkan polis sendiri yang mengendalikan hal ni. Kau tak boleh bertindak dalam keadaan tak waras macam ni!"
Aku tertawa. "Tak waras? Dah lebih dua Bulan, Kara, Izrael dengan dia. Aku tak mampu nak mendiamkan sahaja diri. Aku... aku dah pernah nekad 'membuang' Izrael kembali ke kandang Margas sebelum ini. Aku bersetuju untuk menyerahkan orang yang pernah menyelamatkan aku daripada dibunuh oleh ayah... ayah angkat aku sendiri sebelum ini kepada... lelaki kutuk tu."
"Aslan."
"Aku hanya nak selamatkan kawan aku kembali, Kara. Tapi dengan apa yang dilakukan oleh pihak polis, aku takkan mungkin. Maaf."
Tutt! Telefon aku matikan dan terus melakukan kerja pemetaan kawasan dan penyelidikan atas maklumat bocor itu.
Di dalam bilik gelap dengan hanya ditemani oleh cahaya lampu LED yang malap dan cahaya lampu telefon itu, aku terus mencari petunjuk dan penjelasan daripada apa yang terjadi. Beberapa kes awal pembunuhan itu, aku pasti adalah bersebab.
Kesan pembedahan lama yang hampir sama di setiap belakang mereka bagaikan mempunyai kisahnya yang tersendiri. Aku perhatikan kembali gambar pada belakang tengkuk Sarah, Wildad, John Doe 13, Hasniza, dan Bustaman itu. Aku tak tahu bagaimana aku boleh terlepas pandang terhadap perkara ini. Tapi setiap seorang daripada mereka, apakah mereka sebenarnya adalah bahan eksprimentasi?
"Tapi di antara kamu semua, Sarah, Wildad, John Doe 13, Hasniza, dan Bustaman, ada yang tidak tergolong dalam senarai sebenar, bukan?" Aku keluarkan semua gambar mangsa dengan urutan yang telah aku aturkan. Kemudian aku pandang pada papan peta itu untuk beberapa lama sebelum aku tarik rambut aku dengan kasar.
YOU ARE READING
GINJAL - sebuah novel Bali Baim
Mystery / ThrillerPenyiasatan pihak polis ke atas satu siri pembunuhan yang melibatkan ginjal mangsa. Aslan, detektif yang baru ditukarkan ke unit siasatan jenayah, dan dia terus mendapat kes sulungnya melibatkan seorang perempuan yang telah ditikam ginjal. Sedikit d...