KES DUA
HADIAH KEINSAFAN
"KARA, sebentar," panggil aku sambil aku berlari kepada Kara untuk menyerahkan fail tentang kes yang baru sahaja selesai itu. Kara yang segera menghentikan langkahnya, berpaling memandang aku.
Fail itu dia sambut dengan kening yang dijungkitkan. Sedang beg bimbitnya kini sudah pun bertukar tangan dan fail itu dia buka hairan. Sebaik keterangan suspek itu dia baca, Kara tersenyum.
"Pengakuan pembunuhan atas kematian lima orang lelaki pada minggu lepas," ujar dia dalam kagum.
Aku tahu yang Kara juga telah bertungkus-lumus untuk mendapatkan pesalah kepada pembunuhan ngeri itu. Jadi, sebaik sahaja Dina menghabiskan sesi interogasinya, aku mahu Kara mendapat tahu mengenai ini dahulu. Lagipun, dokumen pengakuan ni juga akan terus diserahkan kepada Kapten Bashar untuk tindakan lanjut.
Kara mengangkat pandangannya kepada aku. "Taakulan kamu betul. Pembunuhnya adalah orang gaji yang menjadi mangsa mereka sendiri," ujar Kara sebelum dia menyerahkan fail itu kembali.
"Tapi kau yang telah memberikan aku klu melalui kesan gincu pada mangsa kedua," balas aku, memandang pada fail itu.
"Okey, aku telah berjasa di dalam kes ini. Tapi, Aslan..." Aku memandang wajah Kara. "Prestasi kamu memang dah terlalu bagus dalam masa tiga bulan ini," ujar dia lagi sebelum beredar pulang.
Aku hanya menghantar Kara keluar melalui ekor mata, dan tersenyum sendiri sebelum aku melangkah kembali ke pejabat Kapten Bashar.
SUDAH hampir tiga bulan aku di unit siasatan jenayah ini. Tak aku nafikan yang aku semakin selesa di sini. Menyelesaikan kes pembunuhan memang mengujakan. Dan melihat wajah pembunuh masuk ke lokap pula melegakan aku. Rasanya seperti terlepas sudah satu amanah yang dipertanggungjawabkan ke bahu aku.
Aku juga sudah boleh mengikut rentak kerja di sini. Ada kes atau tidak, aku tahu bagaimana untuk menguruskan masaku.
Dan mengulangkaji kembali kes-kes lama adalah aktiviti yang aku paling suka sekarang. Ia membuatkan kepala aku segar. Melihatkan kes-kes pembunuhan yang lepas-lepas itu, tidak pernah pula aku sangka yang begitu ramai sekali mangsa yang terbunuh dan tidak mendapat pembelaan sekarang ini. Tapi satu kes ini benar-benar menarik perhatian aku.
Kes yang membawa aku kepada seorang perempuan tua yang aku kenal rapat dahulu. Kes kematian warga emas bernama Nek Ros yang telah disahkan mati dalam usia 50 tahun pada 2001. Dia aku kenali kerana urus niaganya dengan ayah aku, yang kebetulannya adalah seorang peruncit di kawasan kejiranan kami waktu itu. Dan Nek Ros pula adalah pelanggan tetap kami.
Nek Ros aku masih ingat kuat kerana wajahnya yang masih cantik walaupun sudah tua. Dan dia juga berbadan ramping dan suka memakai baju kebaya. Barangkali adalah nenek yang paling cantik dan bergaya pernah aku temui, juga yang paling baik.
Namun kehilangan Nek Ros ketika aku masih kecil itu rupanya adalah kerana pembunuhan. Laporan polis mengatakan yang dia telah dibunuh pada waktu tengah malam dengan senjata tajam, dipercayai pisau. Laporan siasatannya aku baca lagi dengan minat mendalam secara peribadi.
Penggeledahan ke atas rumah itu mendapati tiada pisau sesuai ditemui, sepadan dengan lebar luka Nek Ros. Juga tiada suspek untuk disabitkan kesalahannya kerana Nek Ros memang disenangi oleh orang kampung disebabkan kebaikan hatinya. Inilah yang membuatkan kes ini menjadi bertambah rumit dan setelah penyiasatan berlanjutan sehingga hampir setahun, ia akhirnya terpaksa dibekukan. Aku buka helaian laporan seterusnya.
YOU ARE READING
GINJAL - sebuah novel Bali Baim
Mistério / SuspensePenyiasatan pihak polis ke atas satu siri pembunuhan yang melibatkan ginjal mangsa. Aslan, detektif yang baru ditukarkan ke unit siasatan jenayah, dan dia terus mendapat kes sulungnya melibatkan seorang perempuan yang telah ditikam ginjal. Sedikit d...