(Emeeriz)
Muzik klasik Fur Elise dari koleksi orkestra Beethoven berkumandang dalam ruangan yang luas itu. Pandangannya diarahkan ke luar dinding kaca Ty Warner Penthouse, Four Seasons Hotel. Dari bangunan pencakar langit itu, pemandangan 360 darjah bandar metropolitan Manhattan dapat dilihat.
Pemandangan yang penuh kesibukan pada waktu siang dan pandangan yang menakjubkan pada waktu malam dengan lampu-lampu berwarna-warni menghiasi setiap bangunan di bandar utama New York. Hakikatnya, tidak ada yang banyak berubah antara siang dan malam. Manusia sentiasa berkeliaran dan kenderaan tidak pernah hilang dari jalan-jalan utama dalam bandar.
Kehidupan sibuk itu sudah mempengaruhi hampir seluruh masyarakat di dunia termasuk masyarakat di Malaysia. Bandar utamanya tidak pernah tidur. Siang bekerja untuk mengejar kemewahan atau untuk mencari makan. Manakala malam untuk bersuka ria dan berhibur untuk melepaskan tekanan kerja pada waktu siang. Negara yang dahulunya penuh dengan adat ketimuran dan budaya tempatan kini banyak mengangkat budaya negara-negara barat.
Para pemilik syarikat gergasi lebih berminat melabur untuk meningkatkan industri seni berbanding melabur untuk melestarikan pendidikan agama. Dari memenuhi keperluan, masyarakat dididik untuk mengejar kemewahan. Al-Wazir adalah salah satu daripada mereka.
Mampukah dia memperbetulkan kepincangan yang telah sekian lama menjadi kebiasaan dalam pengurusan Kumpulan Al-Wazir? Mampukah dia memperbetulkan kesilapan pewaris-pewaris dua generasi sebelumnya? Hidupnya juga sudah lama pincang kerana dia insan yang kurang pengetahuan agama. Bagaimana dia mampu memimpin dengan kekurangan yang dia miliki? Membersihkan unsur-unsur tidak telus dan menyingkirkan pengurus-pengurus yang mengamalkan birokrasi dan korup adalah misinya.
Dia tidak punyai pilihan, kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai bakal pewaris. Kerusi pengerusi adalah lambang kuasa namun pemegangnya sebelum ini tidak sedar, ia datang bersama amanah daripada Tuhan. Malang sekali Emeeriz tidak boleh memilih untuk tidak menerima tanggungjawab itu.
"Emeer." Rayyan mendekatinya dan berdiri di sebelah Emeer. Bownya sudah dilepaskan dan tergantung di poket kanan kemeja putih yang dipakai. Mereka baru habis menghadiri majlis ulang tahun anak kenalan ibu bapanya. Amat susah untuk Emeeriz mengelakkan wajahnya dilihat oleh media. Oleh itu, dia meninggalkan majlis lebih awal. Membiarkan papa dan mamanya tercari-cari.
"Kita perlu bergerak cepat, Emeer. Walau apapun yang terjadi, rancangan kita mesti berjalan mengikut jangka masa yang kita tetapkan atau kita takkan berjaya."
"Aku tahu."
"Bagaimana kau nak pastikan Gianna terima lamaran kau dalam masa seminggu? Papa dan mama kau dah datang sini untuk pastikan kau balik." Seminar perniagaan hanya alasan untuk mereka datang ke US. Izkandar sudah tidak termakan dengan alasan Emeeriz untuk mengelak. Malah dia sendiri sudah kehilangan alasan untuk menolak.
"Setiap kali kita ada plan, mesti ada backup."
"Apa yang susah sangat nak dapat perempuan tu, hah?" Tergeleng-geleng kepala Rayyan. Hanya satu sahaja yang Emeeriz boleh lakukan sekarang. Menembusi ke dalam zon selamat Gianna. Semuanya akan menjadi mudah selepas itu.
"Trust me. Kalau aku tahu apa masalahnya dengan rancangan mendapatkan Gianna, kita takkan menunggu selama ini," cebik Emeeriz.
"Kau salah tekniklah, bro. Gia bukan..."
"What?" Emeeriz memintas sambil menoleh pada Rayyan dengan pandangan menikam. Rayyan masih tidak faham. Dia meneruskan ayatnya.
"Maksud aku Gianna bukan budak kampung atau Cinderella step sister. Kau bagi dia barang yang dia boleh beli dengan duit dia sendiri," komen Rayyan.
![](https://img.wattpad.com/cover/66729465-288-k695554.jpg)
YOU ARE READING
Al Wazir: Permata Terindah
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Al- Wazir : Permata Terindah Penulis: Zulaikha Abbas Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-17-4 Harga: RM28 (Semenanjung) // RM31 (Sabah & Sarawak) Kisah lampau menjadi gelandangan akibat dibuang ibu kandungnya, Annabe...