(Gianna)
Tangannya digenggam sesama sendiri untuk meresap rasa debar yang menyesakkan. Menanti elevator sampai ke tingkat bawah dari tingkat sepuluh The Lincoln Marriott Cornhusker Hotel itu seolah-olah terlalu cepat.
Tidak tahu kenapa tetapi melangkah dengan gaun berwarna krim dan bersulam indah dan taburan manik dengan kasut rekaan yang mungkin kosnya jauh lebih tinggi daripada gaji setahun Gianna bekerja di kedai buku terpakai itu seolah-olah membuatkan dia menggalas beban. Tidak mungkin Emeeriz hanya ingin makan malam dengan melaburkan duit dengan kos pakaiannya.
Mengikut kata hati Gianna, dia ingin menurut sahaja rentak Emeeriz. Tapi sampai bila? Entahlah. Malam ini bukanlah waktu yang sesuai untuk Gianna meninggalkan dunia indah yang diperlihatkan Emeeriz kepadanya.
Pintu elevator terbuka. Umar sudah berdiri di hadapan elevator ketika Gianna mendongak. Dia melangkah keluar dari elevator. Umar memberikan Gianna laluan sebelum pemuda itu menapak di belakang di sebelah kanannya. Kaki Gianna terasa ingin cepat sekali mengatur langkah, matanya tidak sabar untuk melihat wajah Emeeriz.
Walaupun baru dua jam lepas lelaki itu hilang dari matanya, hati Gianna sesak dengan perasaan yang tidak sepatutnya. Dia rindu untuk mendengar suara itu. Gianna, ini bukan kau! Ini bukan tempat kau. Sekian lama jeritan hatinya dibiarkan. Gianna sedar tetapi dia ingin menjadi berani merebut bahagia. Mungkin kali ini dia berjaya. Mungkin saat ini adalah untuknya.
Fikir Gianna, Emeeriz menantinya di lobi namun kelibat lelaki itu tidak kelihatan. Sebaliknya Umar memintanya untuk terus ke pintu utama.
Kereta CV yang dinaiki Gianna dan Emeeriz petang tadi sedia menunggu namun hanya pemandu yang membukakan pintu belakang untuk Gianna. Curious! Tetapi Gianna menurut sahaja. Sebaik dia masuk dan pintu kereta ditutup. Umar masuk ke seat sebelah pemandu dan kereta itu meluncur.
"Encik Umar, mana Emeeriz?" Gianna tidak mampu menahan mulutnya daripada mengeluarkan bicara. Umar mengiringkan badannya sedikit dan tunduk.
"Emeer tunggu kat sana, Cik Gianna."
"Kat mana?"
"Di restoran tempat cik dan yang lain makan malam." Arh, jawapan Umar yang menambahkan persoalan membuat Gianna bertambah gementar. Bukankah mereka ada makan malam rasmi? Di mana? Berahsia sungguh!
"Lama lagikah nak sampai, Encik Umar?" Baru lima minit mencecah jalan utama, Gianna sudah bertanya. Namun Umar tidak menunjukkan soalan Gianna sesuatu yang mengganggu. Dia menjawab dalam nada yang tenang kemudian.
"Tak lama, cik. Dan cik patut panggil saya Umar sahaja," perbetulnya. Gianna mengangguk. Tidak lama? Gianna rasa dia seolah-olah duduk di atas bara api. Tidak senang duduk.
Kereta yang dinaikinya berhenti di hadapan sebuah rumah banglo berseni lama Eropah. Banglo lama yang dijadikan restoran eksklusif. Terdapat papan tanda bertulis Billy's Restaurant dengan huruf berwarna maroon. Ucapan good evening, miss diterima Gianna daripada penyambut tetamu yang berdiri ketika dia keluar dari kereta. Seperti biasa, Gianna membalas dengan senyuman.
Umar mendahuluinya ketika Gianna sudah sampai di hadapan pintu restoran. Pintu kayu berangkai dua itu ditolak dan memberi ruang untuk Gianna menapak masuk.
Cahaya di dalam restoran agak malap namun masih lagi mampu untuk Gianna melihat Katrina dengan gaun hitamnya berdiri ketika Gianna menapak masuk. Senyuman di wajah Katrina lebih ceria daripada biasa. Melihat wanita itu berdiri, empat lagi Al-Wazir yang terdiri daripada Mikhail, Rayyan, Nadzim dan Hana bangun.
"You nampak sangat wow!" Katrina memeluk Gianna mesra ketika langkah kaki Gianna sampai di tengah-tengah ruang. Gianna membalas pelukannya sambil tertawa kecil. Pakaian boleh mengubah penampilan seseorang. Dari pakaian juga, persepsi manusia boleh dipengaruhi.
YOU ARE READING
Al Wazir: Permata Terindah
RomansaBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Al- Wazir : Permata Terindah Penulis: Zulaikha Abbas Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-17-4 Harga: RM28 (Semenanjung) // RM31 (Sabah & Sarawak) Kisah lampau menjadi gelandangan akibat dibuang ibu kandungnya, Annabe...