(Emeeriz)
Batang hidungnya diusap entah untuk keberapa kali. Sudah hampir sejam lebih dia duduk di atas kerusi empuk bilik mesyuarat utama di menara 15 tingkat milik Kumpulan Al-Wazir itu namun masih tidak jelas apakah agenda mesyuarat. Izkandar mendesaknya hingga menggunakan ugutan untuk memaksa Emeeriz balik ke Malaysia menghadiri mesyuarat lembaga pengarah yang dikatakannya sebagai 'penting'.
Tetapi sejak awal situasi yang dilihat Emeeriz kini hanyalah perbalahan antara ahli keluarga besar Al-Wazir tentang sesuatu yang belum jelas.
Mengenai Gianna yang tidak sesuai untuk dijadikan isterinya. Mahu tergelak pun ada. Baru gosip sahaja yang ditulis oleh wartawan dan blogger, semua ahli lembaga pengarah kumpulan itu sudah panas punggung. Mereka tidak bertanya sama ada berita itu benar atau tidak, tanpa usul periksa terus memberikan syarahan panjang kepada Emeeriz. Kahar, adik kepada Izkandar yang paling lantang sekali menegur Emeeriz. Tidak banyak yang Emeeriz dapat tangkap bicara ayah saudaranya itu selain keturunan dan tradisi dalam keluarga.
Izkandar sebagai pengerusi hanya diam. Tidak mengiakan kata-kata adiknya, tidak juga membela Emeeriz. Tidak ada yang menghairankan kerana lelaki itu tidak pernah ambil tahu pun apa yang dimahukan Emeeriz selain tahu memberikan pilihan A atau B dan melimpahkan duit kepadanya sejak dulu hingga kini.
Bagi Izkandar, duit dan Al-Wazir adalah lebih penting daripada segala-galanya. Nyawa sekalipun sanggup digadaikan untuk mempertahankan harta. Tidak ada sesiapa yang boleh menyalahkan Emeeriz jika dia seorang yang amat sukakan duit kerana itu yang ditunjukkan Izkandar kepadanya sebagai panduan hidup.
"Boleh saya tahu tak apa sebenarnya agenda flash meeting ni? Kerja saya di Cambridge berlambak dan tertangguh atas sebab yang dikatakan 'penting'.. Tapi saya tak nampak apa yang penting tu. Saya tak boleh lepak di sini untuk dengar entah apa-apa." Tidak tahan dengan suasana yang amat membosankan, Emeeriz bersuara sekali gus membuat perdebatan antara Kahar dan Izhar, abang sepupunya terhenti.
"Emeer." Izkandar dalam nada yang mendatar. Cuba memperlihatkan dirinya yang 'bijak' mendidik anaknya di hadapan adik-beradiknya yang lain.
"Uncle tak setuju jika Emeer nak memilih perempuan itu sebagai pemegang saham Al-Wazir sebanyak 12 percent daripada saham Emeer." Kahar mengulang kata-katanya. Saham 12 peratus yang dimaksudkan daripada saham milik Emeeriz adalah saham yang akan automatik diberikan kepada isterinya jika Emeeriz berkahwin. Kahwin? Emeeriz tertawa kecil. Belum pun dia mengumumkan secara rasmi niatnya mahu berkahwin, tetapi mereka sudah tahu. Siapakah yang memberi maklumat? Mungkin salah seorang ahli keluarga yang datang ke partinya di Nebraska beberapa minggu lepas.
"Emeer dah setuju untuk berkahwin dengan Karmila," celah Puan Nirina. Karmila yang ditunangkan dengan Emeeriz hampir empat tahun lepas adalah anak perempuan sulung Kahar. Dan sudah tentu Kahar panas punggung jika perancangan mereka tidak menjadi.
"Karmila tak pernah saya anggap sebagai tunang. Saya hanya setuju untuk bertunang. Itupun sebab papa masuk meminang tanpa tanya saya dulu. Saya tak pernah setuju untuk berkahwin." Alasan Emeeriz rapuh. Dia seolah-olah mengucapkan alasan yang hanya datang dalam fikirannya saat itu. Dia tidak peduli satu pun rancangan keluarganya. Bukan Emeeriz yang datang merayu pada Kahar agar menjadikan dia menantu.
"Kalau saya boleh kahwin orang lain kenapa Emeer tak boleh, uncle? Gianna bukannya perempuan yang tak ada kedudukan pun." Ameer, abang sulung Hana masih menegakkan pendapatnya.
"Sebabnya Emeer adalah pewaris! He's our sucessor. Kalau berkahwin dengan orang yang bukan daripada Al-Wazir, harta kita mungkin jadi milik orang lain suatu hari nanti."
Suara Kahar meninggi. Dia marah kepada Ameer yang tidak reti duduk diam.
"Jadi semua ni sebab harta? Saya belum pun cakap nak berkahwin dalam masa terdekat ni. Belum juga ada kenyataan terbuka daripada saya atau Gianna bahawa kami ni sedang bercinta atau nak berkahwin tapi Al-Wazir seperti dilanda Taufan Haiyan. Terlanjur topik ni dibuka, saya juga nak beritahu tentang pendirian saya. Saya tak pernah terfikir atau terniat untuk berkahwin dengan salah seorang Al-Wazir." Suara beberapa orang kedengaran tidak puas hati dengan kenyataan Emeeriz. Izkandar meraup mukanya dengan telapak tangan.
YOU ARE READING
Al Wazir: Permata Terindah
RomansaBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Al- Wazir : Permata Terindah Penulis: Zulaikha Abbas Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-17-4 Harga: RM28 (Semenanjung) // RM31 (Sabah & Sarawak) Kisah lampau menjadi gelandangan akibat dibuang ibu kandungnya, Annabe...