Bab 8

641 17 0
                                    

(Gianna)

Aktiviti menghabiskan masa pada hujung minggu Emeeriz dengan lima orang kawan-kawannya (yang baru Gianna ketahui sebagai sepupu-sepupunya) cukup unik dan agak jarang dilakukan oleh orang di Malaysia. Shotgun hunting atau dalam bahasa Melayunya, memburu! Malah, mereka pergi di tempat yang jauh dari Boston menuju ke arah Nebraska, di kawasan tengah barat Amerika Syarikat dengan menaiki jet peribadi. Semenjak berkawan dengan mereka, banyak yang Gianna ketahui tentang peribadi Emeeriz dan sepupu-sepupunya.

Cara dan kehidupan seharian mereka menimbulkan perasaan ingin tahu dalam diri Gianna. Mereka menyembunyikan sesuatu daripadanya namun dia tidak pasti kesahihan firasatnya. Setiap kali mereka terpaksa berurusan dengan melibatkan dokumen peribadi, pembantu peribadi Emeeriz yang bernama Umar menguruskan semuanya.

Kawasan Copeland Bend Wildlife Management adalah kawasan yang dijadikan tempat memburu awam di negeri yang berada dalam kawasan Amerika Syarikat. Dengan berkeluasan 1,307 ekar, tempat yang berada di bahagian tenggara Nebraska itu menjadi tumpuan mereka yang menjadikan shotgun hunting sebagai minat.

Dengan jarak sejam pemanduan dari ibu negeri Nebraska, Lincoln City, Copeland dibuka kepada orang awam untuk mempraktikkan minat mereka dengan bebas. Shotgun hunting adalah aktiviti yang lazim dilakukan di sini. Malaysia mempunyai kawasan hutan yang luas. Mungkin membuka tempat riadah untuk aktiviti lasak seperti ini boleh memberikan masyarakat tempat yang selesa untuk meneroka alam.

Gianna membetulkan kedudukan Ray-Ban yang dipakainya. Peluh nipis membuatkan sangkutan objek itu di batang hidungnya agak licin. Dia mengipas lehernya dengan topi yang dicabut dari kepala.

Sejak tadi Gianna hanya melangkah malas di belakang Emeeriz yang nampak tenggelam dalam minatnya. Gianna juga dia lupakan, langsung dia tidak menoleh ke belakang. Sudah beberapa ekor burung jatuh di hujung senapangnya membuat Emeeriz bertambah ghairah untuk terus memburu.

Akhirnya Gianna berhenti di kawasan lapang lalu memandang sekeliling. Dia tidak akan sesat kerana Gianna masih boleh melihat jalan raya dari tempatnya berdiri. Dua pengawal peribadi juga sentiasa mengawasi Gianna dari jauh.

Bunyi ranting kayu dipijak menarik perhatian Gianna dari arah laluan Emeeriz dan Nadzim. Dia berpaling ke belakangnya. Tidak ada sesiapa di situ. Hanya pokok-pokok besar dan semak samun. Gianna mengerutkan dahi. Dia salah dengarkah? Deria baunya menangkap bau rokok yang dibawa angin. Tidak ada sesiapa dalam kalangan mereka yang datang bersama Gianna hari ini adalah seorang perokok. Suasana yang terlalu sunyi membuat Gianna seolah dapat mendengar rumput dipijak dengan perlahan. Tidak ada sebab kukuh tetapi naluri Gianna menghidu sesuatu yang tidak kena kerana hatinya terasa tidak senang.

"Heloo..." Gianna meliarkan pandangan ke arah semak samun. Tiba-tiba suasana kaku seolah-olah apa sahaja yang bergerak di sebalik semak itu berhenti. Kaki Gianna sepatutnya berundur ke belakang jika dia bijak tetapi tanpa sedar Gianna menapak ke hadapan. Menghampiri kawasan itu.

"Helo. You, Rina? Ian? Hana?" ulangnya. Mungkin Hana, Katrina dan Rayyan yang berpisah daripada kumpulan Emeeriz ingin bergurau dengannya. Menakutkan Gianna untuk dijadikan bahan gelak tawa selepas ini. Namun, tidak ada sesiapa yang menyahut. Gianna melangkah semakin pantas ke arah semak kerana ingin menghilangkan ketakutannya dengan secepat yang mungkin.

"Aaarhhh!" Tarikan pada lengannya dari arah belakang membuat Gianna terjerit kuat. Dia menepis dan menendang makhluk yang menariknya.

"Hei, hei, hei!" Pegangan di kedua-dua belah bahu Gianna semakin kejap dan dia dipaksa berpaling. Mata Gianna hampir terbeliak memandang Emeeriz yang memegangnya. Matanya mendesak untuk mengecam muka lelaki itu di balik silau matahari petang dalam 0.5 saat.

Al Wazir: Permata TerindahWhere stories live. Discover now