Bab 1

2.3K 43 0
                                    

Gianna Renaldi. Nama yang cukup indah saat mengetuk gegendang telinga. Nama yang masih disimpan kerana ia bagaikan diari masa silamnya yang abstrak. Tidak kira apa pandangan orang lain pada nama dan personaliti dirinya, Gianna tidak ambil kesah. Gianna memberikan sepenuh usaha dan kemampuannya untuk mencapai tahap ini.

Bersilih ganti dugaan dan cabaran yang datang dalam hidupnya. Adakalanya pilihan yang Gianna buat membawa ke lembah derita dan hakikatnya Gianna tidak punya pilihan. Tetapi Gianna sering berpegang kepada kata-kata bahawa pilihan yang salah adakalanya membawa kepada hasil yang lebih sempurna. Pilihan bergantung kepada takdir.

Gianna pernah menjadi manusia yang hidup merempat di jalanan. Mengemis dan mengekori manusia lain sambil menadah tangan dan merayu diberikan sedikit wang atau sisa makanan adalah perkara yang lazim dilakukan sepanjang empat tahun itu. Kadangkala ada yang bersimpati namun adakalanya hanya diberikan caci maki. Malu? Masihkah manusia ingin peduli untuk bercakap soal malu jika perut sedang kosong merintih minta diisi? Malu adalah kerana maruah. Dan masihkah ingin dijunjung maruah jika nyawa berada di hujung tanduk? Mungkin orang lain akan mengatakan Gianna lemah dan pengecut. Zaman ini manusia membentuk persepsi daripada spekulasi. Gianna ketepikan semua itu.

Gianna tidak menyalahkan sesiapa yang memandang hina pada budak jalanan sepertinya kerana mereka bukan Gianna. Mereka tidak tahu apa-apa. Di manakah salah pilihannya, seorang budak yang dilahirkan oleh ibunya, berpendidikan tinggi berakhir menjadi pengemis?

Hanya satu sebabnya mengapa Gianna keluar dari rumah mewah dan berteduh di tepi lorong-lorong kedai. Kerana Gianna ingin hidup. Dia tidak punya apa-apa ketika itu. Tidak punya harta, kasih sayang ataupun harapan. Hanya nyawa yang Gianna miliki. Mungkin sehingga kini dia masih tidak mempunyai apa-apa selain nyawa.

Wanita yang melahirkan Gianna bernama Annabelle Micheal berketurunan Kadazan berkahwin dengan Hendrique Renaldi, warga Itali yang bermastautin di Malaysia. Perkahwinan yang terbina atas sebab 'terlanjur'.

Kerana anak yang dianggap haram ini sudah bercambah dalam perut dan kerana nama 'Renaldi' itu lebih berharga daripada nyawa mana-mana manusia. Lima tahun selepas berkahwin, mereka bercerai dan Hendrique meninggalkan Annabelle yang obsess pada stiletto merah itu.

Daddy yang sering melindungi Gianna saat konflik rumah tangga mereka memuncak, orang yang sepatutnya melindungi Gianna sehingga ke akhir hayatnya, hilang tidak kembali. Kasih Hendrique adalah benteng yang hilang dan Gianna menjadi tempat Annabelle melepaskan dendam kesumat pada lelaki itu. Sehingga tahap hanya nyawa tidak ingin meninggalkan jasad, Gianna nekad meninggalkan rumah. Sudah tentu wanita itu tidak mencari Gianna. Untuk apa dicari anak yang ditunggu detik kematiannya?

Hendrique menemui Gianna semula dengan bantuan pihak berkuasa dan Gianna kembali hidup berteduh dalam rumah yang beratap. Masih Gianna ingat dengan jelas perkataan pertama yang dikatakan daddynya ketika Gianna melangkah masuk ke dalam rumahnya. 'Welcome home, sweetheart'. Perkataan itu jugalah membuatkan Gianna tersungkur di atas lantai dan menangis.

Gianna remaja yang baru berusia 13 tahun ketika itu menangis seolah-olah meluahkan beban kehidupan yang ditanggungnya bertahun-tahun. Pada saat remaja lain sepertinya meneroka dunia tanpa rasa bimbang. Pada saat remaja lain seusianya punya rasa ingin tahu yang membuak-buak, Gianna dipenuhi dendam yang tidak pernah padam. Pada siapa? Mungkin pada si penggemar stiletto merah atau pada Hendrique, Gianna tidak pasti. Dia marah pada segala-galanya.

Gianna mula membina hidupnya yang telah ranap dari petak mula. Hendrique ketika itu telah berkahwin dengan wanita berketurunan Melayu berasal dari Brunei, Laila Ibrahim. Wanita penyabar, lembut perilakunya dan mulia hatinya. Hendrique membawa Gianna bersamanya memeluk cahaya Islam.

Sejak itu, kehidupan Gianna yang menjadi normal dan lengkap. Sekurang-kurangnya, dari luaran. Sembilan tahun hidup dengan penderaan fizikal dan emosi oleh wanita berhati kejam dan empat tahun terpaksa melindungi diri daripada ancaman hidup di jalanan bersendirian menjadikan Gianna seorang gadis yang defensif. Masa silam yang hitam menjadikan Gianna rosak daripada segi emosi. Gianna gadis pendiam yang membawa penyakit emosi, PTSD.

Al Wazir: Permata TerindahWhere stories live. Discover now