Bab 13

614 13 0
                                    

(Emeeriz)

Hujan renyai membasahi rambut dan jaket yang dipakainya. Hujan pada awal pagi membuatkan manusia lebih senang berada di atas katil dan menghangatkan diri dengan selimut tebal. Namun berbeza dengan Emeeriz. Dia tidak dapat melelapkan mata walaupun sepicing sejak balik ke penthouse. Gelisah, marah dan bimbang beradu menjadi satu.

Sebaik jam menunjukkan angka enam pagi, Emeeriz mencapai running kit, menyarungkan jaket dan tracksuitnya. Selepas menyarungkan kasut sukan dari koleksi Nike, Emeeriz memulakan lariannya ketika keadaan persekitaran masih lagi gelap. Dia tidak memanaskan badan terlebih dahulu membuatkan permulaan lariannya terasa kurang selesa.

Beberapa minit kemudian, Emeeriz dapat menyeragamkan lariannya dan dia berlari tanpa henti. Ketika nafasnya terasa sesak, Emeeriz memperlahankan larian dan lebih kepada berjoging. Selepas nafasnya kembali stabil, dia kembali berlari.

Emeeriz perlukan larian ini untuk menghadap kemungkinan dia bertemu Gianna di bandar ini. Sehari dua dia boleh bertahan. Namun tidak untuk seminggu dua. Melihat Gianna yang nampak tidak tergugat dengan perpisahan mereka, mendera perasaan Emeeriz dari dalam. Apakah selama ini hanya dia yang terhegeh-hegeh dengan Gianna?

Emeeriz terlalu gah untuk mengiakan kenyataan itu. Emeeriz tidak pernah kesah jika perempuan muncul dalam hidupnya. Mereka seperti embun pada pagi hari yang akan lenyap ketika mentari muncul di ufuk timur. Tetapi, dengan Gianna berlainan kisahnya. Dengan Gianna, Emeeriz mula merencana masa depan. Siapa, di mana dan bagaimana kehidupan Emeeriz sepuluh tahun atau dua puluh tahun akan datang, nama Gianna tetap tercatat dalam hidupnya. Gianna sempurna untuknya. Gianna diterimanya sebagai Gianna tanpa perlu memandang ke sudut lain.

Tidak sangka masa silam Gianna menghantui hidup gadis itu hingga sukar untuk dia menerima kehadiran orang lain dalam hidupnya. Gianna terlalu berahsia dan pada mulanya Emeeriz tidak ingin tahu semua itu. Dia tidak perlu tahu kerana sejak awal dia hanya mahukan Gianna. Sebagai sahabat, kekasih dan isterinya. Itu yang dia ingin Gianna faham tapi benteng yang dicipta Gianna antara dirinya dan manusia lain terlalu sukar untuk diruntuhkan.

Pada zahirnya, dia nampak gadis itu seperti gadis-gadis lain. Namun hakikatnya Gianna seperti manusia yang hidup di dalam kotak kaca di tengah ribuan manusia. Dia selesa hidup dalam dunianya sendiri. Dalam masa yang sama, Gianna tidak sedar yang dia melukai perasaan orang yang menyayanginya. Melihat dia menderita dalam dunianya yang dia ciptakan sendiri namun tidak berupaya menariknya keluar dari penderitaan itu.

Apakah yang disembunyikan Gianna? Kesan rahsia itu pada perhubungan mereka yang besar menjadikan Emeeriz panasaran. Adakah kerana dia penghidap PTSD? Jika itu sebabnya, Emeeriz tidak pernah menganggap Gianna seorang yang telah rosak. Adakah kerana penyebab Gianna mendapat masalah psikologi itu? Rekod perubatan Gianna yang ada pada Emeeriz adalah rekod sejak gadis itu berumur tiga belas tahun dan penyebab kepada penyakitnya itu tidak dinyatakan secara jelas. Adakah kerana masalah keluarganya? Atau kerana Gianna pernah hidup di jalanan atau selepas itu? Lelaki yang mengambil Gianna, siapa dia? Argggh!!! Emeeriz terasa ingin menjerit. Fikirannya sesak sehingga terasa hampir pecah.

Allah itu Maha Mengetahui. Emeeriz tidak pernah menjangka seorang gadis biasa boleh membuatnya separuh gila begini. Jika tenggelam di dalam lautan, pasti dia akan naik ke permukaan biarpun dengan kudrat manusia yang dia ada. Jika dia jatuh ke dalam lembah, biar merangkak akan Emeeriz memanjat naik ke tebingan. Namun, dia telah jatuh cinta. Ke mana dia mampu berlari? Perasaan yang menjadi anugerah dan juga ujian baginya. Anugerah kerana sayang itu milik Allah. Dan ujian kerana cinta ini mengganggu Emeeriz dalam mencari pengakhiran perjuangannya untuk mengembalikan ketelusan dalam Kumpulan Al-Wazir.

Kerana perempuan? Lemahnya dirinya! Emeeriz tidak layak menjadi seorang pemerintah jika seorang perempuan boleh menggoyahkan pendiriannya yang digenggam bertahun-tahun.

Al Wazir: Permata TerindahWhere stories live. Discover now