MUKANYA dibasuh perlahan-lahan. Aflah memandang semua kad kredit yang dipotong-potong satu persatu. Yang tinggal hanya kad debit miliknya. Itu sememangnya duit hasil titik peluhnya berkerja di syarikat telekomunikasi dan juga syarikat papanya. Mungkin ada tigapuluh ribu atau lebih, tapi sampai bila. Baru sebentar tadi dia menelefon hotel singgahannya bersama Aleez. Mujur betina itu sudah check-out. Dia ingin mengambil beg dan pakaian yang ditinggalkan di sana.
Gagang intercom itu diangkat lalu dia mendail nombor ke kaunter penyambut tetamu.
"Selamat petang, Deveena sedia membantu."
"Selamat petang. Aflah speaking here. I'm sorry to bother you Deveena, but I need to rent a car. Mana ye saya boleh dapatkan kereta sewa?"tanyanya.
"Oh, Cik Aflah ke ni? Kereta Cik Aflah ada di sini. Atau Cik Aflah sememangnya mahukan kereta yang lain ?"
Aflah menepuk dahi. Lupa pada kereta Audi kesayangannya. Kereta itu teman sejatinya, hasil titik peluhnya juga. Mungkin si ultraman mereng yang bawa balik keretanya ke sini.
"Tak apa Deveena. Saya terlupa. Kuncinya ada di mana?"
"Ada di front counter, Cik Aflah. Do you need anything else?"
"Itu saja. Terima kasih,ya." Aflah meletakkan gagang.
Dia menyambar tas tangan Miu Miu lalu menutup pintu. Dia perlu kuat. Langsung dia tidak menyangka business trip kali ini menjadi satu malapetaka. Bukan sekali dua dia bersama Aleez pergi ke mana-mana, tapi sudah berkali-kali. Aleez teman baiknya, merangkap setiausaha peribadinya. Dia menarik nafas. Debur ombak pada petang itu seakan menghempas hatinya. Dipandangnya sekeliling. Cantik, mendamaikan. Di hujung sana, kelihatan sebuah banglo campuran kayu dengan ciri kemelayuan tersergam di lereng bukit. Pagar kayu yang mengelilingi banglo itu cukup kemas dan teratur, seakan memanggilnya ke sana. Aflah menggelengkan kepala. Dia melangkah sambil memandang kiri dan kanan. Inap desa yang berciri kemelayuan itu sungguh unik. Semua rumah tamu dan banglo tamunya dibuat daripada kayu. Ayam dan itik dibiarkan lepas bebas. Kucing-kucing juga ada yang turut bersantai di ruang pejalan kaki. Sewaktu pulang ke rumah tamunya, seekor kucing jantan berbulu hitam dan putih ralit menggoyangkan ekor di hadapan pintu. Jinak dan gebu. Aflah tersenyum sendiri. Digosoknya kepala kucing itu lembut. Sudah lama dia inginkan seekor kucing, namun mama memang tak suka membela haiwan di rumah mereka. Mungkin ada baiknya dia tinggal di sini. Berehat di sini sambil menenangkan hati. Mencari ketenangan untuk sementara.
"Selamat petang, Cik Aflah. Ini kunci kereta Cik. Kereta cik ada di tempat parkir kereta di hujung sebelah kiri bangunan ini. Boleh saya tahu Cik Aflah nak ke mana?" Mata Deveena yang bening memandangnya membuat Aflah terasa dihargai.
"Saya nak ambil barang di Primula Beach Hotel. Jauh tak dari sini,Deveena?"
"Jauh juga. Kau tahu ke jalan dalam Kuala Terengganu ni?"
Aflah sedikit terkejut. Ya Allah...lelaki itu lagikah? Dia mengetap bibir.
Deveena hanya berdehem kecil, cuba menyembunyikan tawa yang mahu keluar.
"Cik Aflah...sini Merang. Kuala Terengganu kira-kira tiga puluh minit dari sini. Jalannya bersimpang-siur, berbukit-bukit. Nanti sesat, susah..."
Aflah merenung si ultraman yang menyandar di meja kaunter itu. Lelaki itu hanya tersengih macam kerang busuk. Tapi barisan giginya yang putih dan teratur menarik perhatian. Tak macam orang gila,bisik hatinya. Kalau gila, tak kan gigi cantik macam tu sekali.
"Ni, kenalkan Imah. Dia pekerja kat sini. Bos cakap, kalau nak ke mana-mana, minta Imah atau Deveena temankan. So, Deveena on duty, kau bawa Imah. Biar dia jadi talking GPS kau,"arah lelaki itu sambil menunjukkan seorang wanita yang mungkin sebaya dengannya. Imah yang berseragam ungu itu tersenyum manis.
YOU ARE READING
Sudi Jadi Isteri Saya?
RomanceKata Irfad, dia sudah buang perasaan cinta (wekkk..menyebutnya langsung buat dia benci) jauh-jauh. Perempuan semuanya dusta! Dia pernah agungkan cinta. Dulu. Sekarang ini, maaf, boleh blah! Aflah, gadis yang serba ada. Rupa, harta mahupun nama...