BAB 17

6.7K 115 11
                                    

"HARI ni tak payah kerja, duduk rumah,"pesan Hajah Wook padanya sebelum menutup pintu bilik. Orang tua itu duduk berjam-jam lamanya di dalam bilik. Sambil berehat, dia diajar membaca Al-Quran dan bacaan dalam solat sehingga betul sebutannya. Hajah Wook juga mengajarnya mendirikan solat sunat Dhuha. Aflah lega, sekurangnya dia dapat menambah ilmu hari ini. Hajah Wook sudah turun ke bawah, bunyinya seperti ada orang lain yang memanjat anak tangga.

"Assalamualaikum orang sakit,"suara Aisha memecah ruang. Aflah tergelak kecil. Dia menjawab salam itu dengan kuat. Pintu biliknya ditolak perlahan. Tersembul muka Aisha yang tersengih kegirangan.

"Hiii...apalah Af ni. Macam dah jadi trademark, asyik ada accident dengan insiden aje. Dah lama hidup ke?"usik Aisha dengan tangannya mencubit pipi Aflah kuat-kuat.

Aflah mengaduh kecil. "Dah nasib,Sha. Agaknya balasan dosa-dosa kot,"balasnya perlahan, seakan merajuk saja bunyinya.

"Eleh, jangan nak buat drama. Boring tak? Jom...ikut Sha keluar. Kita jalan-jalan round bandar KT, lepas tu kita pergi makan ikan celup tepung. Sedap tau, sampai menjilat tulang." Terkekeh-kekeh dia ketawa. Dia mahu bertanya lagi, bertanya tentang drama yang disaksikannya hari itu. Namuun, dia tahu, Aflah tidak kan bercerita. Biarlah, nanti suatu hari nanti, dia akan bertanya. "Nak ikut ke tidak ni?"

Bulat mata Aflah mendengar pelawaan itu. Daripada dia melangut sampai ke petang, baik dia menonong ke bandar, boleh juga dia cuci mata. Lagipun kakinya tidaklah sesakit semalam. "Af mandi kejap, Sha tunggu tau." Dia bangun, mencapai tuala.

Kuala Terengganu bersimpang siur dengan manusia. Lebih-lebih lagi apabila waktu tengahari begini. Ramai penghuninya keluar untuk makan tengahari, mahupun melepaskan lelah di tempat kerja. Dia mendongak, melihat kapal terbang yang perlahan melalui ruang udara. Macam budak-budak, kata hatinya sendiri. Kereta Aisha membelah jalan, terus ke Pulau Kambing. "Kita nak ke mana,Sha?"

"Haaa...nak ajak Af rasa keropok Losong yang famous tu lah. Nak ke tidak?"soalnya girang.

"Laa...tadi cakap nak makan ikan celup tepung, ni nak makan keropok lekor pula ke. Baru tadi kita makan tengahari, kenyang lagi lah."

Aisha ketawa. "La...ingatkan ramping kurus banyak boleh isi, rupanya dah surrender. Kalau macam tu, kita pergi Pantai Batu Buruk, kita belasah ABC pula, nak?"

"Makan lagi?" Aflah juga turut tergelak. Kalau tengok pada Aisha, tak sangka gadis itu kuat makan. Nasi dengan ulaman dan asam pedas ikan baung tadi sudahlah dua pinggan dilahapnya, ada hati lagi mahu menambah menu makanan. Dia menggeleng kepala.

Gadis itu mencebik bibir,melayukan mata.

"Yalah, yalah..."

Kereta itu meluncur laju.

"Bila Nad dan Uzair bercerai secara rasmi, kita nikah ya,Ir,"tutur Nadya lembut. Dia meneguk air limau ais perlahan-lahan. Nasi ayamnya sudah lama dihabiskan, hanya Irfad yang masih menyuap satu persatu ke mulut.

"In shaa Allah."

Nadya menongkat dagu, matanya dilirikkan pada Irfad. Itu saja jawapannya. Dia mengetap bibir, cuba berkata sesuatu.

"Ir rasa kita tak perlu terburu-buru. Biar hal selesai betul-betul. Habis edah, kita nikah". " Dia menyapu mulut. Sudah lama dia tidak menjamah nasi ayam Hainan di sini. Masih lazat macam dulu.

Nadya tersenyum lebar. "Keluarga Ir macam mana?"

Irfad menyedut sirap limau. Sejuk dan menyegarkan. Dia membuang pandangan ke arah laut. Kalau umminya, dia tahu masih separuh hati mahu menerima Nadya dalam hidup mereka kembali. Walid tidak banyak memberi pendapat, hanya sekadar mengiakan. Irfad menggaru pipi. "Ir terus terang saja. Mungkin buat masa ini, susah bagi mereka untuk menerima Nad. Apa yang berlaku dulu masih berbekas di hati. Ir akan cuba pujuk mereka, dengan syarat Nad pun turut sama pujuk mereka. Boleh?"

Sudi Jadi Isteri Saya?Where stories live. Discover now