Juffri meneguk air itu perlahan-lahan. Semenjak ketiadaan Aflah, dia mengambil seorang pembantu rumah menemankan Engku Julia. Yuni yang mungkin separuh abad umurnya itu baru saja meletakkan sepiring donut yang masih panas.
"Makanlah,tuan. Air tangan saya. Puan tak sihat, dia ada baring di atas."
Juffri menjamah donut lalu disuapkan ke mulut. Lembut dan manis. "Terima kasih. Makcik pun makanlah sama. Puan tu pantang makan manis, takut gemuk,"guraunya sambil menjilat jari.
"Tak apalah,tuan. Nanti saya makan di dapur. Tuan nak tambahnya air?"
"Tak perlu. Makcik pergilah rehat dulu, saya nak jenguk cik puan di atas." Dia menepuk-nepuk salji gula di tangan. Apa kena pula dengan Engku Julia kali ini? Juffri melonggarkan tali leher, mendaki anak tangga ke tingkat atas. Pintu kamar beradunya ditutup rapat. Perlahan dia menolak.
"Apa kena dengan awak ni?"soalnya lembut. Dia mengusap pipi Engku Julia yang mulus tanpa sebarang calitan alat solek. Isterinya memasamkan muka. Juffri mencium dahi isierinya lama-lama.
"Kenapa awak tak cari Aflah, bawa dia balik?"
Ohh...hal ini lagikah. Juffri melompat ke katil, memeluk isterinya rapat-rapat. "Dia dah besar,Ju. Biarlah dia buat keputusan sendiri. Kalau dia dah bersedia nak balik, dia baliklah. Lagipun awak sebagai mamanya, sepatutnya menyokong. Ini asyik nak bercakar saja, mana dia ada hati nak balik."
Engku Julia mengesat pipi. Entah bila air matanya mengalir. "Kejam sangatkah Ju,bang? Ju berkeras dengan dia sebab dia satu-satunya anak kita. Ju mahukan yang terbaik untuk dia,bang." Sendunya terburai. Dia mahu berikan segala kepada Aflah. Dia mahu Aflah bahagia, hidup senang.
Dia membawa tangan isterinya ke mulut. Dicium lama tangan itu. "Ju...Ju seorang mama yang terlampau tegas. Af tu nampak saja lembut, tapi degilnya macam awak juga. Lagipun, awak rasa Eddy tu memang yang terbaik untuk Aflahkah? Baik ke apa yang Eddy buat pada Aflah?" Dia memegang dagu Engku Julia. Bertentang mata.
Nafas dilepaskan perlahan. Dia memeluk Juffri erat-erat. "Dia dah menyesal,bang."
"Bukan itu persoalannya sekarang,Ju. Persoalannya, benarkah Eddy orang sesuai, yang boleh menjaga Aflah, membahagiakan dia. Belum kahwin lagi, sudah buat hal. Bukan perkara kecil pula tu...kalau awak, masa saya bertunang dengan awak, saya tiduri perempuan lain, awak akan maafkan sayakah,Ju?"
Diam. Hanya bunyi nafas dihembus keluar.
Juffri bangun, membuka butang baju satu persatu. "Awak fikirkan sendiri,Ju. Saya nak mandi. Nanti saya nak pergi Mines Resort, nak main golf dengan Hoo Chee."
Engku Julia memeluk bantal. "Saya nak ikut."
"Buat apa? Awak bukannya suka duduk tengah panas."
"Abang pergilah main golf, saya nak shopping kat situ. Takkan tak boleh kot,"balasnya separuh merajuk.
Juffri menggelengkan kepala. Perempuan. Hati susah sikit, shopping. Hati suka pun, shopping. Sedih pun ubatnya shopping. Kaya semua tauke pusat beli belah kalau macam ini. "Kalau nak ikut,cepat mandi. Kalau tidak awak pergi saja dengan teksi,"usiknya sengaja mahu melihat respons Engku Julia. Terasa perutnya dicubit kuat. Juffri mengaduh kesakitan.
"Kita tengah sedih,dia main-main,"marah Engku Julia.
Ha, yelah tu. Makin sedih, makin banyaklah jawabnya barang yang dibeli isterinya nanti. Juffri mencapai tuala. Baik dia mandi dulu, nanti tahulah dia memujuk sang ratu yang sedang berduka itu.
Pusat beli belah itu sentiasa penuh dengan pengunjung. Engku Julia bersandar di bangku keseorangan. Masih ada satu jam lagi sebelum Juffri selesai bermain golf. Dia termenung, menyisir rambut yang baru siap dibelai di salon. Mungkin ada baiknya dia ke spa sebentar. Boleh juga merehatkan badan. Bunyi namanya dipanggil mengganggu lamunan. Dia lantas menoleh. Dilihatnya Rania dan Belinda tercegat di sebelahnya.
YOU ARE READING
Sudi Jadi Isteri Saya?
RomanceKata Irfad, dia sudah buang perasaan cinta (wekkk..menyebutnya langsung buat dia benci) jauh-jauh. Perempuan semuanya dusta! Dia pernah agungkan cinta. Dulu. Sekarang ini, maaf, boleh blah! Aflah, gadis yang serba ada. Rupa, harta mahupun nama...