BAB 6

5.5K 98 12
                                    

LANGIT membiru di luar membuat Aflah merapatkan sedikit matanya. Cahaya matahari yang menerjah masuk ke ruang dapur IDUM bagaikan panahan cahaya lampu spotlight. Dia menggenyeh-genyeh mata perlahan. Mak Yam ke surau, mengerjakan solat Zuhur. Tinggal dia dan Mak Melah yang ralit memerah kelapa. Tangannya sakit-sakit. Inilah kali pertama dia memerah kelapa. Kalau selama ini, hanya santan kotak yang diguna pakai mamanya.

"Nak buat apa dengan kelapa banyak-banyak ni Mak Melah?"

Mak Melah menoleh, berhenti seketika. "Nanti nak buat pulut durian untuk tetamu."

"Eh, ada dalam menu kita ke?" Setahu Aflah, tak ada, ataupun dia yang tak perasan.

Mak Melah ketawa kecil. "Tak ada. Kita tak terikat sangat dengan menu,Af. Kalau musim buah rambutan, kita hidangkan rambutan. Kalau musim duku, kita bagi duku."

"Kalau durian, kita bagi durian lah kan?"

Mak Melah ketawa. "Tak, kalau durian, special sikit. Kita buat dua pekara. Pertama, pulut durian. Yang kedua, kita buat lepuk durian. Haaa...sedap tu."

Aflah menongkat dagu. "Tepuk durian?"

"Bukan tepuk, lepuk." Mak Melah ketawa terkekek-kekek. Orang kota, manalah tahu makanan tradisional begitu.

"Benda apa lepuk durian tu,Mak Melah?" Keningnya berkerut-kerut.

"Ala, macam dodol juga, tapi ini pakai durian. Af nak tahu macam mana buatnya ke?"

Aflah mengangguk. Manalah tahu, satu hari nanti dia mahu mencuba.

"Ha...senang saja. Kamu ambil isi durian banyak mana kamu nak, katakan setengah kilo. Kamu campurkan isi durian dan gula dalam kuali. Jerang atas dapur dengan api sederhana hingga mendidih dan gulanya hancur. Kacau tanpa henti hingga bertukar warna perang serta bergolek dan tidak melekat di kuali. Nak buat ni kena ada dua tiga orang baru seronok, boleh berhenti lenguh. Lepas tu, Af masukkan ke dalam upih yang digelungkan dan diikat di bahagian atasnya bagi tujuan disimpan. Boleh juga disimpan dalam bekas bertutup, sejukkan dahulu baru ditutup dan simpan ditempat kering atau dalam peti sejuk. Kalau nak makan aje, ambik. Tak susah beli kat kedai."

Fuh...boleh tahan, mampu ke dia buat. Aflah hanya terangguk-angguk. Bunyi hon dari sebuah lori pick-up mengejutkan mereka.

"Panjang umur durian, dah sampai pun."

Aflah melangkah ke pintu belakang dapur. Bau durian mula mencucuk hidung. Tengit namun harum.

"Tengok saja jadi apa? Meh sini tolong angkut sama."

Aflah mencari suara. Dia tahu Irfad yang menyindirnya. Seorang jejaka berseluar pendek paras lutut dan memakai baju t-shirt hitam Metallica menuju ke arahnya. Kacak. Ada lesung pipit di pipi kanan. Berpeluh sakan lelaki itu.

"Boleh minta air sejuk segelas?"pinta lelaki itu.

Aflah tersenyum manis, pantas menuju ke peti sejuk. Dia kemudiannya menuangkan air dari peti sejuk itu.

"Terima kasih. Aflah kan?"tanyanya lagi.

Aflah mengangguk. Siapa pula ni? Pekerja baru ke?

"Imran, sepupu Irfad." Dia menghulur tangan.

Ohhh...inilah Imran. Kacaknya tak kalah pada si ultraman. Boleh tahan, berbudi bahasa pula tu. Jauh fiilnya dengan si ultraman. Aflah tersenyum tanpa menyambut huluran tangan itu. "Aflah. Kuli Irfad,"balasnya bersahaja.

Imran ketawa terbahak-bahak. Terlepas peluang mahu bersalam dengansi cntik manis dihadapannya.

Irfad berdehem kuat. Jeans yang koyak rabak pada lutut dan t-shirt hijau Green Day itu membuat dia seperti penyanyi kumpulan rock. "Dah, jangan nak berangan lama-lama,Im. Dia nak ambil air untuk aku pula."

Sudi Jadi Isteri Saya?Where stories live. Discover now