"Pesan Abah"
Nizam merenung abahnya dari tingkap. Dia lihat abahnya termenung seorang diri, memandang bukit, dan di atas bukit ada pemancar cahaya.
Nizam merasakan dia harus dekat dengan ayahnya pada ketika ini. Dia harus "heart-to-heart" dengan ayahnya, memohon maaf kerana memalukan nama keluarga di Cheras Perdana.
Perlahan-lahan Nizam buatkan ayahnya secawan kopi, dan terus membawa gelas itu pada ayahnya.
"Bah.."
Ayahnya memandang Nizam.
"Ni kopi."
"Hmm, terima kasih."
Nizam beranikan diri, duduk sebelah ayahnya. Pemandangan di atas bukit itu seperti lukisan tipikal Pendidikan Seni darjah dua. Ada pemancar satelit telekomunikasi atas bukit, dan dibawahnya Sungai Langat. Dan sebelah Sungai Langat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang.
"Bah, Nizam minta maaf, bah. Nizam tak sengaja nak malukan abah. Nizam niat bergurau je kat dorang. Nizam ikut kawan-kawan, tapi kitorang tak ada niat buruk pun. Nizam nakal. Nizam tak sengaja, bah."
Ayahnya diam, memerhatikan bulan di sebalik pemancar satelit tu.
"Biasalah, umur-umur kau ni. Nakal. Ikut kawan-kawan."
Ayahnya memeluk bahu Nizam. Nizam rasa janggal, tapi rasa selamat. Dia teringat semasa dia masih kecil, bila abah keluar dari penjara.
Masa tu dia kecik sangat. Dia rasa bersalah dengan ayahnya.
"Nizam janji Nizam tak malukan abah lagi."
"Jangan berjanji kalau kita tak tahu hujung pangkalnya nanti, Nizam. Jangan jadi macam abah, janji juga abah dengan mak ayah abah.."
"Tok, nenek?"
"Hmm. Abah dah buat silap dengan diorang. Sampai sekarang nenek kau tak suka abah. Abah harap kau faham, aku buat macam ni sebab aku tak nak kau jadi macam abah."
Nizam diam mendengar pesan ayahnya.
"Dulu, abang Khairul kau tu, kena libas dengan abah teruk sebab dia hisap gam. Lepas tu, sampai orang telefon Teledera, report, aku pukul anak. Siapa tak geram bila dapat tahu anak abah hisap gam?"
Nizam diam dan dengar. Dia dah mula rasa bersalah sebab hari tu dia hisap bob marley dengan Azlam.
"Kau ni sebenarnya bernasib baik je tau, tak kena macam abang kau. Sekarang, kau tengok abang kau, macam tu. Ni semua salah abah. Sebab tu abah tau, kau terasa, sejak dia balik dari Summercamp hari tu, macam abah lebihkan abang Khairul kau. Abah rasa bersalah je dekat dia, kau faham?"
Nizam angguk, tanda faham.
"Kira baiklah aku kurung kau sebulan. Masa aku kecik dulu, aku nakal, tok kau kurung aku dalam reban ayam, kongsi nasi dengan ayam. Kau kira ok lah, kau masih boleh makan sambal ayam favorite kau, ha, tadi, mak kau masak sayur masak lemak pucuk paku. Kau cuma tak boleh keluar rumah, tu pun kau rasa aku menyeksa kau? Kau tak kenal erti seksa lagi, Zam."
Nizam tunduk dan cuba menahan rasa bersalah pada ayahnya.
"Dah, besok kau boleh keluar dah. Cuma janji dengan abah, kau nak buat jahat, ingat abah dulu. Sekurang-kurangnya kau tak perlu kongsi nasi dengan ayam, macam aku."
"Baik, bah."
Nizam salam cium tangan ayahnya, dan terus masuk ke dalam biliknya.
--
"Nak Mengembara"
"Tahun ni raya dua kali, kan, Long?" tanya ayah pada Ail dalam kereta.
ANDA SEDANG MEMBACA
Cheras Perdana vol 1
Novela Juvenil"And if you have five seconds to spare Then I'll tell you the story of my life Sixteen, clumsy and shy." Kisah seorang yang berusia 16 tahun di Cheras Perdana.
