Bab 1

3.4K 51 3
                                    

Prolog 1

SESEKALI dia menoleh ke arah lelaki yang sedang terbaring di atas katil. Lelaki yang tidak mampu berbuat apa-apa kecuali untuk mengerdipkan sepasang mata.

Dia tak tahu apa yang lelaki itu mahu. Selama ini, lelaki itu hanya terlantar tanpa suara. Menahan kesakitan yang ditanggung tanpa ada sedikit pun rungutan. Namun tiba-tiba saja pada waktu subuh tadi, Haji Ibrahim meraung. Terkejut semua orang dibuatnya.

Itulah kali pertama lelaki itu mengeluarkan bunyi selepas hampir tiga bulan diisytiharkan lumpuh oleh doktor-doktor yang merawatnya. Lumpuh selepas jatuh dari tangga di dalam rumah besar mereka.

Selepas penat meraung, Haji Ibrahim meracau dan menyebut entah apa-apa. Apabila doktor datang merawat, mereka cakap lelaki itu hanya berhalusinasi.

Bagi Hud Hulaif, ayahnya bukan berhalusinasi. Dia dapat rasa bahawa ada sesuatu yang mahu dikatakan oleh Haji Ibrahim kepadanya. Dan apabila dia merapatkan telinga kepada bibir kering Haji Ibrahim, dia dapat menangkap perkataan yang satu itu.

"Laci?"

Ayahnya kerdipkan mata sekali menandakan betul apa yang Hud sebut.

"Okey, ayah... Macam biasa. Kalau apa yang saya cakap ni ayah setuju, ayah kelipkan mata sekali. Kalau tak setuju, kelipkan mata dua kali. Boleh, ayah?"

Lelaki itu kelipkan matanya sekali tanda setuju.

"Ayah mahu saya buka laci dalam setiap almari yang ada dalam bilik ayah ni. Betul?"

Hud melihat ayahnya kelipkan mata sekali. Tanda betul apa yang dikata.

"Ayah nak saya cari apa? Duit?"

Dua kali kerdipan untuk soalan itu.

"Bukan? Ayah nak saya cari surat wasiat ke?"

Sekali lagi lelaki itu kelipkan matanya dua kali yang bererti bukan itu mahunya.

Hud sebut lagi nama-nama benda yang mungkin ada dalam laci. Gambar, keris, pistol, buku nota, ledger, nombor akaun syarikat... Namun semua itu bukan yang dimahu oleh Haji Ibrahim.

Sudahnya, Hud garu kulit kepala yang tak gatal. Dia kelihatan gelisah. Jelas dari bahasa tubuhnya yang Hud sedang berada di hujung kesabaran. Lelah mencari benda yang tidak diketahui.

Kalau aku ada scanner, aku scan dah otak ayah ni. Entah apa ajelah yang dia suruh aku cari, rungut Hud dalam hati.

Lepas satu, satu benda lain disebut dan ditunjuk. Namun tetap saja Haji Ibrahim kerdipkan matanya sebanyak dua kali.

Darah muda Hud yang baru berumur 15 tahun itu mula menggelegak. Kerana berang, dia terus selongkar semula semua laci. Geledah setiap apa yang ada dalam laci-laci itu kemudian ditunjukkan kepada ayahnya. Malangnya, tak ada satu pun yang tepat seperti yang dikehendaki.

"Dah habis semua laci saya buka, ayah. Dah tunjuk pun pada ayah tadi, kan? Semua ayah kata bukan itu yang ayah nak. Agaknya benda tu tak ada dalam bilik ini kut? Nak saya cari kat dalam bilik lain ke?"

Hud tersentak melihat kerdipan dua kali yang Haji Ibrahim lakukan.

"Benda tu ada dalam bilik ni? Tapi mana ada laci lain lagi dah?"

Dahi Hud berkerut. Isyarat mata ayahnya menyebabkan matanya sendiri melilau memerhati ke sekeliling bilik.

"Mesti ada laci yang tersorok ni. Betul tak, ayah?"

Cari punya cari akhirnya Hud perasan bahawa di hujung katil, ada tersorok dua buah laci. Dadanya bergemuruh. Dia tunduk. Kedua-dua laci ditarik. Yang satu, kosong. Yang kedua... Hud pandang ke arah ayahnya.

DI TAMAN LARANGANWhere stories live. Discover now