NAFAS panjang dihela. Air mata diseka. Kepala digeleng.
"Kenapa ni, aunty? Kenapa sedih sangat ni?" Suara prihatin Syakila menyapa lagi.
"Tak ada apa-apa, Ella."
"Jangan macam ni, aunty. Tell me, please!"
"Bila aunty tengok kamu bergurau dengan abangnya tadi, tiba-tiba aje aunty teringat pada Azi, Ella."
"Oh!" Syakila lap air mata yang menitis di pipi Puan Hanita.
"Don't cry, aunty! Tak mahu sedih-sedih, okey. Ella dah balik ke mari pun."
Ada sesuatu dalam kata-kata dan wajah Syakila yang memberi semangat kepada Puan Hanita. Menyemarakkan satu rasa dalam dirinya. Rasa yang pernah berkubur kini mengocak semula. Dengan penuh semangat dia menoleh ke arah kawan baiknya.
"I seronok sangat bila dengar you nak balik ke mari, Zana."
"Betul tu. Sampai tak tidur malam I dibuat dek perempuan ni, Zana," sampuk papa Zuhayr, Encik Zubir.
Puan Zana berbalas senyum dengan suaminya, Encik Jefri.
"Dah lama kami nak balik ke sini, Hani, Zubir. Tapi you pun tahulah keadaan macam mana, kan?"
Encik Zubir dan Puan Hanita mengangguk.
"You dengan Jefri masih tak boleh maafkan kami ke?" tanya Puan Hanita dalam sebak.
"Taklah. Jangan ingat macam tu, Hani. I tak pernah marahkan you dengan Zubir."
"Tapi you marahkan Zul, ya tak?"
Puan Zana menarik nafas panjang. Sesak rasa dada. Beginilah yang dirasai setiap kali mengingati kisah lama. Perlahan-lahan, dia mengungkap rasa hati.
"Mula-mula dulu memang I marahkan Zul. Terutama selepas Azilah meninggal. Tapi bila difikirkan semula, ini semua takdir. Zul dengan Azi tak ada jodoh. Dan umur Azi pun memang ditakdirkan tak panjang. I dah terima kenyataan tu." Sayu suara Puan Zana meluah rasa.
"Tapi I lain. I tetap salahkan perempuan miang tu. Kalau dia tak goda Zul, semua ni tak berlaku."
"Syyy!" Puan Zana menyuruh Puan Hanita memperlahankan suaranya.
"I betul-betul sedih, Zana. I nak sangat Azilah jadi menantu I. I kecewa bila Zul cakap dia nak kahwin dengan perempuan tu walaupun I tak bagi. Sebab itu sampai sekarang I masih tak dapat terima perempuan tu dalam hidup kami. I tak boleh!"
"I pun sama. I benci tengok dia. Meluat," sahut Encik Zubir.
"Dah lapan tahun mereka kahwin, Hani, Zubir."
"Biarlah berapa puluh tahun sekali pun, Zana. Kami akan tetap bencikan perempuan tu."
"Tapi you all kan dah ada cucu?"
"Eleh, entah ya entah tidak budak tu anak Si Zul."
Puan Zana dan Encik Jefri berbalas pandang. Tak sangka sampai begitu sekali pasangan suami isteri yang juga sahabat baik mereka ini membenci menantu, isteri yang menjadi pilihan Zuhayr sendiri. Mereka fikir segala-galanya akan berubah bersama masa namun nampaknya perasaan benci itu sangat dahsyat. Ia meresap dan menyerap nun jauh ke lubuk hati paling dalam.
"Dah, dah... Tak mahu sedih-sedih lagi, aunty! Ella kan ada?"
Puan Hanita segera memeluk Syakila.
"Janji dengan aunty yang Ella akan ganti tempat Azi. Tempat yang perempuan tu tengah isi sekarang mesti Ella rampas. Janji yang Ella akan rebut Zul daripada dia," pintanya.
"Janji!" Syakila senyum cantik. Dia memandang jauh ke dalam anak mata Puan Hanita.
"Hani..."
Puan Hanita angkat muka dan tenung wajah Puan Zana. Menanti apa yang bakal keluar dari mulut wanita itu.
"I tak mahu Syakila ganggu rumah tangga Zuhayr." Suara yang keluar dari mulut Puan Zana kedengaran amat tegas.
Puan Hanita ingin membalas namun Syakila lebih dahulu mencelah.
"Mom, kenapa cakap macam tu?"
"Sebab mummy tak mahu kamu jadi orang ketiga, Ella."
"Taklah. Ella bukan orang ketiga. Perempuan tu ya! Dia orang ketiga yang dah rampas Abang Zul daripada Kak Azi, mummy!"
Puan Hanita angguk.
"Betul sangat cakap Ella tu, Zana. Ella bukan orang ketiga."
"Mummy, mummy tahu tak? Bila dia rampas Abang Zul daripada Kak Azi, itu maksudnya dia dah rampas abang daripada Ella juga. Sekarang ni mom, Ella cuma nak hak Ella balik. Itu aje."
"Betul tu, Ella! Ella mesti ambil balik hak Ella."
"Aunty seorang saja yang faham hati Ella ni, aunty." Syakila nampak sedih.
Puan Hanita kalihkan perhatian kepada Puan Zana.
"Zana, dah lama sangat perempuan tu rampas Zul. Bukan saja daripada Ella tapi daripada I dan Zubir juga. Dah Ella setuju nak dapatkan Zul semula, I memang akan sokong dia."
"Sayang aunty." Ella cium pipi Puan Hanita. Manja.
"Ella kena janji dengan aunty, tau. Ella mesti kembalikan kegembiraan kita. Aunty nak Ella sedarkan perempuan tu yang tempat dia bukan di sisi Zul."
"Kacang aje tu, aunty."
"Tapi Hani..."
Puan Hanita tunak memandang wajah Puan Zana.
"You tak sudi kita berbesan, Zana?"
"Bukan macam tu."
"Mom, you tengok aje dan jangan cakap apa-apa. Biar Ella dengan aunty yang bertindak. Macam mana, aunty? Setuju?"
"Mestilah!"
"Ella..."
"Mom, you nak atau tidak Abang Zul jadi menantu you?"
"Tentulah nak."
"Okey, tutup kes. Lepas ni mom, you tunggu saja berita gembira daripada kami berdua. Betul tak, aunty?"
"Yes!" Mereka saling berhigh five. Gembira bukan main.
"Erm, tapi kan aunty. Menantu aunty tu memang pandai masak, ya?"
Dahi Puan Hanita sudah berkerut.
"Tadi sewaktu Ella kat dapur, Abang Zul telefon bibik. Ella suruh bibik pasang loudspeaker sebab Ella nak dengar suara abang. Nak tahu tak apa kisahnya?"
"Apa?"
"Abang Zul suruh bibik ambil bekal yang dia bawa. Dengan bangga abang cakap kat bibik yang semua makanan tu wife dia yang masak. Adalah rendang sikit, ayam masak kuzi, spageti..."
Puan Hanita terus berdiri. Tangan dihulur kepada Syakila.
"Jom kita ke dapur. Aunty nak tunjuk pada Ella apa aunty nak buat dengan semua yang perempuan tu kirim."
Syakila senyum meleret. Tak sabar nak tengok apa yang bakal terjadi di dapur nanti.
YOU ARE READING
DI TAMAN LARANGAN
Fiksi UmumTajuk: Di Taman Larangan Penulis: Ana Sofiya Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-04-5 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Cinta yang disangka manis dan indah pada mulanya bertukar pahit apabila usia p...