Bab 9

1K 28 2
                                    

PUAN SARAH merenung setiap langkah yang diatur oleh anak tunggalnya ketika memasuki ruang tamu. Wajah yang kusam itu menyebabkan Puan Sarah berasa tak sedap hati. Spontan wajah Hamid di belakang yang sedang membimbit briefcase Hud dipandang. Melihat gelengan Hamid, hati tuanya semakin tak keruan. Ada sesuatu yang sudah berlaku dan dia perlu tahu!

"Hud Hulaif!" panggilnya.

Hud berhenti melangkah. Serta-merta dia memusingkan diri. Apabila terpandangkan ibunya, dia laju menepuk dahi.

"Mak..."

"Menonong aje kamu, kan? Sampai mak yang duk tercongok tunggu kamu ni pun kamu tak nampak."

Hud sudah pun duduk di sebelah ibunya. Tangan Puan Sarah dicapai dan jemari ibunya dikucup lembut. Kemudian dia mengucup dahi ibunya pula.

"Maaf, mak. Saya betul-betul tak perasankan mak tadi."

Puan Sarah hanya mampu menggeleng.

"Apa ajelah yang kamu duk fikir, Hud?"

"Tak fikir apa pun."

"Macamlah mak nak percaya cakap kamu tu."

Hud sengih.

"Mak dah jadi James Bond ke? Daripada aktiviti harian saya sehinggalah kepada apa yang ada dalam otak saya ni, semua mak nak siasat. Semua mak nak tahu."

"Ah, nampaknya Hamid dah buka rahsia mak suruh dia jadi spy mak, ya?" Sepasang mata Puan Sarah kini berkalih kepada Hamid yang setia berdiri di tepi tangga.

"Kamu buat apa berdiri kat situ, Mid? Pergi ke bilik kamu. Berehat."

"Boleh ke, puan? Tuan Hud..."

"Dah mak saya suruh berehat tu pergi ajelah."

"Baik, bos!" Hamid berlalu bersama sengihan.

Hud ambil peluang itu untuk luahkan rasa tak puas hati kepada ibunya.

"Mak, kalau mak nak tahu aktiviti harian saya, apa yang saya buat di pejabat, ke mana saya pergi, dengan siapa saya makan tengah hari atau apa-apa ajelah... Kan lebih baik kalau mak tanya saya terus? Yang mak pergi tanya budak Hamid tu pasal apa?" soalnya.

Puan Sarah lontar keluhan.

"Kalau mak tanya kamu, kamu nak beritahu ke?"

Hud sengih, mempamerkan gigi yang tersusun cantik.

"Mak dah agak dah. Kamu tak akan cakap punya. Kamu tu kan suka berahsia?"

Jelingan ibunya menyebabkan Hud tak senang duduk. Rasa bersalah sebab dah buat ibunya terasa hati. Lantas dipeluknya tubuh kurus Puan Sarah.

"Janganlah marah, mak. Lebih lima belas tahun saya hilang mak. Hilang kasih sayang mak. Jangan sebab benda kecil macam ni, buat mak merajuk. Sedih saya, mak."

Puan Sarah melarikan jemari ke wajah tampan itu. Wajah yang banyak mengambil iras wajahnya sendiri namun mewarisi sikap tegas dan fizikal Haji Ibrahim, arwah suaminya. Suami yang telah memisahkan dirinya dengan anak yang baru dilahirkan hanya kerana percayakan fitnah ibu mentuanya yang memberitahu bahawa dia isteri yang curang. Tanpa sebarang bukti dia telah dihalau dari rumah. Tanpa sebarang bukti dia digantung tak bertali.

Dia dibiarkan hidup sendirian, membawa diri hingga ke Sekinchan. Di pekan kecil itulah dia membina hidupnya. Membina harapan dan bersama doa, agar satu masa nanti kebenaran akan terbukti.

"Mak!"

Puan Sarah tepis semua kisah lama itu ke tepi.

"Mak risaukan kamu."

"Mak, umur saya dah tiga puluh lima. Dah tua dah. Tak payahlah mak nak risau sangat."

"Oh, dah tua, ya? Tahu pun diri tu dah tua tapi tindakan kamu macam budak sekolah, kamu tahu tak?"

"Tak. Saya tak tahu pun."

"Ya Allah. Jangan nak buat tak tahu, Hud. Hamid dah ceritakan semua pada mak."

"Tentang apa?"

"Tentang kamu yang setiap hari pergi intai isteri orang itulah!"

Hud tak dapat menahan dirinya daripada tertawa.

"Intai isteri orang, mak?"

"Gelaklah. Gelak!" Mencerlung mata Puan Sarah memandang Hud. Dia sambung.

"Benda ni bukan perkara kecil, Hud. Perbuatan kamu tu berdosa tahu!"

"Saya tak kacau dia pun."

"Yang salah tetap salah, Hud."

"Mak, saya tak buat salah."

"Tak buat salah kamu kata? Kamu dah jadi stalker dia, Hud."

Hud geleng.

"Tak. Saya tak stalk dia pun."

"Jadi, apa yang kamu buat selama ni? Yang kamu pergi ke kawasan perumahan dia setiap kali habis waktu pejabat tu, bukan mengintai namanya? Yang kamu upah PI untuk tahu kisah hidup dia itu apa pula? Jangan cakap kamu tak buat salah bila dia kamu puja macam tak ada perempuan lain dah dalam dunia ni. Kamu tu obsess dengan dia, Hud. Mengaku ajelah!"

"Saya tak kacau dia pun."

"Sebab dia tu umpama bunga di taman larangan, sebab itulah kamu tak kacau dia, kan?"

"Saya tahu had saya, mak. I know that she is forbidden because she belongs to another man. Saya tahu!"

Puan Sarah diam sejenak. Cuba mencari ayat yang sesuai. Dengan Hud, dia kena bijak mengatur bicara. Kalau tidak, pasti dia kalah kerana Hud bukan senang nak beralah dengan dia.

"Hud, apa yang kamu buat ni tak betul."

"Kan dah cakap tadi yang saya tahu apa saya buat? Cuba mak cakap kat mana yang tak betulnya? Ada mak dengar saya ketuk pintu rumah dia?"

Puan Sarah geleng.

"Ada mak dengar yang saya kacau dia, sentuh dia, usik dia. Ada?"

"Tak adalah."

"Tahu pun."

"Hud..."

"Mak, saya pergi sana dengan Hamid. Kalau Hamid pun tak faham kenapa tiap-tiap hari dia perlu bawa saya ke sana, mak rasa ada orang lain yang tahu apa tujuan saya tak?"

Baru Puan Sarah nak buka mulut, Hud dah sambung.

"Tak, mak. Saya yakin, tak ada siapa tahu apa tujuan saya ke sana. Mak nak tahu kenapa? Sebab saya jarang suruh Hamid hentikan kereta. Saya jarang turun pun. Yang saya buat, sambil kereta melintas depan rumah dia, saya toleh. Kalau nasib saya baik, dia ada dekat luar dan dapatlah saya tengok dia. Tapi selalunya, saya cuma dapat tengok bumbung rumah dia aje pun."

Hud tergelak halus ketika dia bercerita.

"Hud, mak tak ada masa nak bergurau tau. Tak ada masa nak melawak dengan kamu. Mak susah hati, yang kamu boleh pula nak main-mainkan mak."

"Saya pun tak main-main, mak. Dah mak nak tahu sangat, saya beritahulah. Saya yakin mak dah percaya yang saya tak langgar undang-undang pun. Betul tak?"

"Hentikan apa yang kamu buat tu, Hud. Tak ada faedahnya."

Hud enggan menjawab. Dia diam seribu bahasa.

"Hud, mak rasa dah tiba masanya untuk kamu kahwin. Daripada kamu duk angaukan perempuan tu, baik mak pasangkan kamu dengan perempuan lain. Jadi, apa kata kalau mak lamar anak Datin Zizah untuk kamu?"

DI TAMAN LARANGANWhere stories live. Discover now