KALAU Hud terkejut, dia pandai menyembunyikannya. Hanya keningnya yang terangkat sedikit. Dia juga jarakkan dirinya daripada Puan Sarah. Cemas juga apabila secara tiba-tiba topik berubah.
"Kamu ingat lagi tak pada Azreen, anak Datin Zizah tu?"
"Datin Zizah pun saya tak ingat, macam mana nak ingat anak dia, mak?" Hud menepis.
"Hesy, budak ni. Datin Zizah tu isteri Dato Fendi, kawan arwah ayah kamu. Takkan dah lupa?"
"Entah. Tak ingat dah."
"Okey, tak apa. Mak nak cerita pasal Azreen tu. Dia dah kerja sekarang. Cantik budaknya, Hud. Sopan."
Hud senyum. Tahu benar maksud pujian ibunya itu.
"Hud, kalau kamu setuju, esok juga mak telefon mak ngah dengan mak lang kamu."
"Nak buat apa telefon mak ngah dengan mak lang tu, mak?"
"Nak bincanglah. Biar mak hantarkan mereka pergi merisik ke rumah Datin Zizah."
"Tak payahlah, mak."
"Hud!"
"Saya tak nak kahwin lagi."
"Sebab apa?"
Hud sengih.
"Saya belum sampai seru nak kahwin."
"Jangan nak melawak yang bukan-bukan dengan mak, Hud."
Sengihan Hud semakin lebar.
"Betul, mak. Hati saya belum terbuka nak kahwin lagi."
"Sampai bila?"
"Tak tahulah pula sampai bila." Acuh tak acuh Hud menjawab.
"Ni mesti sebab perempuan tu, kan?"
"Perempuan mana?"
"Perempuan yang kamu gilakan itulah."
Hud tidak menjawab. Apa pun yang dia kata pasti Puan Sarah akan putar belitkan dan kaitkan dengan Ayuni. Dia diam kerana dia tidak mahu suasana jadi tegang semula antara mereka.
"Hud, dengar cakap mak ni."
"Okey."
"Kamu kena kahwin."
"Lagi-lagi kahwin. Lagi-lagi kahwin. Mak, mak dah tak suka saya tinggal dengan mak ke?"
"Hesy, kamu ni. Ke situ pula."
"Kalau bukan sebab nak suruh saya pindah rumah, baik kita sembang hal lain aje, mak."
"Tak. Mak nak bincang pasal ni juga."
"Buat apa, mak? Saya tak bersedia. Kalau saya kahwin, saya hanya akan buat anak dara orang menderita."
"Kamu tak payah nak bagi hujah basi macam tu. Kamu lelaki, bakal isteri kamu perempuan. Apa masalah kamu sampai bakal isteri kamu tu nak menderita?"
"Sebab saya tak cintakan dia."
"Kamu boleh cuba."
"Mak, hati saya ni ada satu aje."
"Semua orang pun macam tu juga."
"Memanglah. Hati semua orang ada satu aje. Jadi, biarlah Azreen tu cari lelaki yang hatinya belum berisi. Mak faham tak ni?"
"Apa yang kamu nak bagi tahu mak ialah hati kamu tu dah ada pemiliknya. Begitu?"
"Pandailah mak ni!"
Bahu Hud ditampar kuat oleh ibunya.
"Yang kamu jadikan pemilik hati kamu tu, isteri orang, Hud. Isteri orang! Bawa mengucap sikit."
"Sebab dia isteri oranglah saya tak kacau dia, mak. Saya tak ganggu hidup dia. Tengok dia bahagia, itu dah cukup bagi saya."
"Ya Allah! Dah kenapa dengan anak aku ni?"
Hud tenang memandang wajah Puan Sarah. Dia tahu ibunya kecewa. Wajah tua itu nampak cemas. Juga kelihatan amat risau. Dihampirinya semula. Dipeluk erat. Malah dahi wanita itu dikucup lembut.
"Mak, satu hari nanti, anak mak ni akan kahwin. Percayalah."
"Bila? Umur kamu tu dah tiga puluh lima, Hud. Kawan-kawan, sepupu, pak cik kamu... Mereka semua dah beranak-pinak. Kamu aje yang single lagi."
"Belum sampai jodoh saya. Sabarlah."
"Jodoh dah ada. Azreen tu tengah tunggu kamu."
"Mak, mak sayang saya tak?"
"Sebab sayanglah mak nak kamu kahwin dengan Azreen. Mak nak tengok kamu bahagia dengan dia."
Hud bangun. Dia mula berasa rimas.
"Saya tak nak Azreen. Tak nak perempuan lain juga."
"Hud..."
"Tolonglah, mak. Tolong faham hati anak mak ni. Hati saya hanya untuk..."
"Mak tak nak dengar. Jangan sebut!"
"Mak!"
"Mak dah buat janji temu dengan Datin. Nanti dia tetapkan hari dan masa untuk kita jumpa. Kamu kena bersedia. Kalau mak terpaksa heret kamu untuk janji temu tu, mak akan heret. Percayalah!"
"Garangnya!"
"Garang tak garang, kamu tunggulah minggu depan. Kalau kamu cuba-cuba nak buat perangai, tahulah mak nak ajar kamu nanti."
Bulat mata Hud pandang wajah ibunya. Nampaknya Puan Sarah dah nekad mahu memaksa. Kali ini mungkin dia tak akan berjaya mengelak.
Hud minta izin untuk ke biliknya. Tak mahu berlama-lama di ruang tamu itu.
"Baik-baik naik tangga tu. Laju-laju nanti jatuh pula karang," pesan Puan Sarah.
Hud tak peduli. Tetap juga laju langkahnya memijak dua anak tangga sekali gus. Dah tak sabar dia mahu ke biliknya. Dia rimas berada di ruang tamu. Nafasnya sesak mendengar permintaan ibunya.
Puan Sarah berasa amat-amat kecewa. Keputusan Hud untuk terus berilusi dengan bayang-bayang isteri orang tanpa nama itu amat membimbangkannya.
"Kenapalah dalam ramai-ramai perempuan dalam dunia ni, perempuan itu juga yang dia suka? Yang dia jatuh cinta? Apa yang hebat sangat tentang isteri orang tu?"
YOU ARE READING
DI TAMAN LARANGAN
Fiksi UmumTajuk: Di Taman Larangan Penulis: Ana Sofiya Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-04-5 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Cinta yang disangka manis dan indah pada mulanya bertukar pahit apabila usia p...