Bab 3

1.3K 36 2
                                    

ZUHAYR sudah pun pergi tetapi Ayuni masih bersandar di daun pintu. Memejamkan mata memikir resah hati.

Terasa sepi.

Terasa dingin.

Terasa dengan sikap tak peduli seorang lelaki bergelar suami.

Rasa kecewa datang lagi untuk kesekian kali. Beria-ia dia sediakan juadah untuk meraikan hari yang hadir setahun sekali dalam hidup tetapi setiap kali jugalah rasa bahagia itu ditepis oleh suaminya.

Sejak dari hari ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama sehinggalah kepada kali ini, sudah lapan tahun dia meraikan hari istimewa ini tanpa Zuhayr. Tak tahu kenapa setiap kali pada tarikh 7 Januari, lelaki ini mesti menghilangkan diri dari rumah.

Bagi Ayuni, kalau Zuhayr tak mahu ucap selamat hari jadi kepadanya atau Zuhayr enggan bisik 'selamat menyambut hari ulang tahun perkahwinan kita' di telinganya, tak apa. Yang dia harap ialah Zuhayr ada bersamanya. Duduk bersama, makan sama-sama, senyum dan ketawa sama-sama. Dia tak minta banyak, kan? Hadiah pun dia tak mahu. Kehadiran Zuhayr menemani dia dan anak mereka, Eisya, memadai sebagai sesuatu yang akan dihargainya sampai mati.

"Betul ke Si Zul tu cintakan kamu?"

"Betullah, umi. Kenapa umi tanya soalan pelik macam tu?"

"Kamu tengok tak macam mana arwah ayah kamu layan umi? Cuba bandingkan dengan gaya suami kamu layan kamu. Sama tak?"

Ayuni menggeleng sendiri. Tiga soalan yang pernah ditanya oleh ibunya terasa terbeban dalam fikirannya.

Dahulu, dia sering menafikan. Dahulu, dia sering katakan yang cara seorang lelaki dengan seorang lelaki lain meluah rasa cinta tak akan sama. Ayahnya dengan cara dia. Zuhayr dengan caranya yang tersendiri.

Malangnya, semakin lama, semakin dia tak nampak sinar cinta itu. Semakin lama bersama Zuhayr, semakin dia tak yakin pada cinta yang pernah dilafazkan. Semakin hilang rasa percaya.

Waktu nak kahwin dahulu beria-ia masing-masing mengaku bahawa mereka saling cinta. Masing-masing beria-ia sampai tak menyempat-nyempat mahu disatukan. Sudahnya, selepas lapan tahun, kenapa begini yang terjadi?

Hambar!

Ayuni menggeleng. Mata dipejam rapat. Nafas dihela berkali-kali. Diri dipujuk seperti selalu.

"Tak apa. Selagi boleh sabar, aku akan terus sabar. Biarlah Zul nak cakap apa atau nak buat apa pada aku, aku akan bertahan. Sebab kami ada Eisya. Demi Eisya, aku sanggup tanggung apa saja."

Ya, dia mesti kuat demi Eisya. Eisya perlukan ayah dan ibunya. Perlukan kasih sayang mereka sepenuhnya. Dia akan bertahan demi kebahagiaan satu-satunya cahaya mata mereka. Dia akan sabar hadapi kerenah Zuhayr. Apa pun juga!

Dari dalam bilik, kedengaran deringan telefon bimbitnya. Berlari Ayuni untuk mendapatkan telefon itu dengan harapan agar encik suami yang menelefon atau menghantar pesanan bersama ucapan.

"Siapa WhatsApp aku ni?" soalnya sambil jari laju menekan keypad untuk membaca pesanan yang dihantar daripada sebuah telefon tanpa ID. Unknown caller.

Selamat hari jadi, Ayuni. Selamat menyambut hari ulang tahun perkahwinan juga. Saya doakan semoga hidup awak sentiasa bahagia di samping suami tercinta. Semoga Allah sentiasa merahmati diri awak, mencurahkan rezeki yang melimpah ruah kepada awak dan semoga awak sentiasa berada dalam jagaan-Nya.

Tangan sedikit ketar saat mata berlari dari satu baris ke baris yang lain. Meskipun pesanannya hanya pesanan biasa-biasa namun hati tetap tertanya-tanya.

"Siapa yang hantar?"

Dia yakin dia menerima ucapan ini daripada orang yang sama. Siapa, Ayuni tidak tahu. Namun si unknown caller ini berjaya menghidupkan hatinya. Menceriakan wajahnya.

"Wahai unknown, terima kasih, ya. Sejak dua tahun lepas, awak tak pernah jemu hantar berbagai-bagai ucapan kepada saya. Selamat berpuasalah, selamat hari rayalah, selamat hari merdekalah dan yang penting selamat hari jadi untuk saya. Siapa pun awak, saya doakan awak selamat selalu. Selamat pagi, unknown!"

DI TAMAN LARANGANWhere stories live. Discover now