Bab 8

990 22 1
                                    

BIARPUN Zuhayr tidak ada, Ayuni tetap meraikan kedua-dua hari ulang tahun kelahiran dan perkahwinannya. Kerana, dia masih ada Eisya dan dia juga masih ada Insyirah serta Amir. Bertemankan ketiga-tiga mereka, dia potong kek coklat yang dibeli oleh Insyirah tadi. Biarpun sebak di dalam dada, dia sembunyikan di sebalik senyum di hadapan mereka.

Selepas makan, dia buka hadiah yang Insyirah berikan. Kepala digeleng melihat baju tidur jarang warna ungu yang dibeli oleh kawan baiknya itu semasa Insyirah pergi bercuti ke London dua bulan lepas. Cepat-cepat baju tidur itu disimpan semula ke dalam kotak sebelum Eisya sempat melihat. Kalau tidak, apa akan jadi kalau Eisya suruh dia peragakan baju itu? Malulah nak pandang Amir sebab Amir satu-satunya lelaki yang ada bersama dengan mereka tadi.

Apabila Insyirah pulang dan membawa Eisya bersama, tinggallah dia sendirian. Ayuni tak mahu melayan perasaan. Jadi, dia tak betah nak duduk diam bimbang fikiran melayang memikirkan Zuhayr dan Puan Hanita. Lantas, dia sibukkan diri mengemas rumah.

Ayuni mulakan dengan membersih bilik tidur Eisya. Dalam masa 20 minit saja, segala-gala sudah tersusun semula di tempatnya. Barang-barang mainan Eisya sudah dimasukkan ke dalam kotak. Katil anaknya sudah berganti cadar dan sarung bantal yang baharu. Sampah dan habuk juga sudah divakum.

Kini dia berada di dapur pula. Cepat-cepat dia memakai glove. Sudah bersedia untuk mencuci pinggan dan mangkuk kotor yang penuh di dalam singki.

Waktu menghampiri jam 8.30 malam. Ayuni mahu mandi dan solat isyak. Lepas solat dia bercadang mahu terus tidur. Dia berasa penat sangat. Dengan ketiadaan Zuhayr dan Eisya, inilah peluang untuk dia tidur awal.

Zuhayr cukup pantang kalau dia tidur sebelum lelaki itu sampai di rumah. Malah, kalau Zuhayr ada di rumah dan sedang buat kerja-kerja pejabatnya, dia disuruh menemani lelaki itu sehingga Zuhayr siapkan semua. Dalam penantian itu, hampir sepuluh kali dia disuruh bancuh kopi.

Tak pun, Zuhayr akan suruh dia masak sesuatu yang ringkas buat kudap-kudap. Jangan harap dia boleh terlelap. Zuhayr tak suka. Kalau dia pamer muka bosan, pasti dia akan dimarahi. Zuhayr akan kutuk dia macam-macam. Pemalaslah, kaki tidurlah, penyeganlah! Setiap kali kena kutuk, dia diamkan saja. Dia dah malas nak bertekak dengan Zuhayr. Bukan boleh menang pun!

"Ah, lega dapat baring," ujarnya sambil menutup mata. Baru dia hendak terlelap, tiba-tiba telefon bimbit jenama Huawei miliknya berbunyi. Menyangka Zuhayr yang menelefon, laju telefon dicapai dan diletak di tepi telinga.

"Assalamualaikum, abang."

"Dah tak tahu nak tengok nama pemanggil ke?"

Aduh, disangkakan suami yang menelefon, rupa-rupanya bukan. Suara garang mama mentuanya yang membingit di telinga.

"Maaf, mama. Saya ingatkan abang yang call tadi."

"Ni, aku nak beritahu kau. Lain kali tak payah bekalkan apa-apa dari rumah kau tu. Aku tak lalu nak makan masakan kau."

Ayuni kaku sekejap. Terkejut kena sembur secara langsung dengan mentua.

Bagi salam tidak, intro lembut-lembut tak ada, dia terus serang aku. Memanglah mak mentua aku ni garang sungguh! Hatinya berbisik.

"Hari ni, hari jadi saya, mama. Hari ulang tahun perkahwinan juga. Saya masak lebih. Sebab itu saya kirimkan pada abang untuk bagi mama. Tak sangka mama tak lalu nak makan."

"Lain kali tak payah nak kirimlah. Buat meloya tekak aku aje."

Ayuni dah terbiasa dengan ayat-ayat kasar sebegitu. Cepat sahaja dia mencelah.

"Tak apa, mama. Nanti suruh abang bawa balik semua Tupperware saya tu."

"Aku dah buang."

"Mama buang? Apa yang mama dah buang?" Keliru sedikit Ayuni waktu ini.

DI TAMAN LARANGANWhere stories live. Discover now